MARANG: Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan tidak akan menekan golongan wartawan sekalipun media massa memberikan laporan berat sebelah kepada PAS sebelum pilihan raya umum baru-baru ini.
"Saya tak tekan wartawan, masalahnya ialah golongan yang memiliki saham yang banyak dalam media ini, mereka paksa supaya diselewengkan berita.
"Saya yakin pemberita beri maklumat yang betul tetapi diolah oleh pihak atasan yang dikuasai oleh Qarun-Qarun Barisan Nasional," ujarnya ketika menjawab pertanyaan wartawan di rumahnya.
Tambahnya, golongan itu yang mempunyai saham yang banyak dalam media massa yang menentukan penyiaran dari semasa ke semasa berdasarkan kerajaan mereka untuk mempengaruhi rakyat yang tidak berpelajaran.
Katanya, semasa keputusan pilihan raya baru-baru ini, pihak TV menyiarkan calon-calon PAS yang menang terlalu lewat hingga larut malam walaupun banyak keputusan itu diketahui lebih awal.
Sebaliknya, kata beliau keputusan di Sabah dan Sarawak disiarkan lebih awal berikutan kejayaan calon-calon BN di negeri itu.