Siapa MB baru Kedah?

PENGUMUMAN Sanusi menolak pelantikan semula sebagai Menteri Besar Kedah walaupun agak terlewat, adalah suatu tindakan yang terpuji dan perlu dihormati oleh semua pihak.

Tanda-tanda supaya bekas Menteri Pertanian itu berundur dari kerusi tertinggi kerajaan negeri itu sebenarnya sudah terlihat sebelum pilihan raya umum lagi apabila beberapa nama termasuk seorang pegawai tertinggi kerajaan disebut-sebut bertanding dalam pilihan raya dan akan dilantik menjadi Menteri Besar.

Sebagai politikus yang bergiat aktif dalam UMNO selama 36 tahun dan menjadi wakil rakyat selama 25 tahun, Sanusi tentunya sudah terhidu isyarat tersebut dan sepatutnya bersedia dari awal lagi untuk 'bungkus kain baju' dan menerima kehendak ramai.

Mungkin beliau berpendapat masih banyak lagi agenda yang belum selesai dan perlu diteruskan untuk penggal akan datang, menyebabkan beliau begitu keberatan untuk melepaskan kerusi panas tersebut.

Sanusi perlu menyedari hakikat bahawa pemimpin datang dan pemimpin pergi. Begitu adat dalam UMNO yang mana politik catas-mencatas sentiasa berlaku, jika nasib tidak menyebelahi maka "tertonggenglah".

Pemerhati berpendapat, kehilangan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen ke tangan Pas pada pilihan raya lalu adalah manifestasi 'kebencian' dan rasa tidak puas hati rakyat kepada Pendana Menteri tetapi bukan 100% pentadbiran Sanusi sendiri. .

Rakyat menunggu masa yang sesuai untuk memberi suatu 'pengajaran' kepada Dr. Mahathir dan Sanusi bahawa apa yang cuba dilakukannya di Kedah tanpa mengambil kira kepentingan rakyat adalah sesuatu yang silap dan tidak wajar diulangi. Kita tahu bahawa setelah tiga tahun setengah mentadbir Kedah dengan menghadapi pelbagai masalah termasuk untuk mengubah minda kakitangan kerajaan dan rakyat negeri ini supaya lebih terbuka, Sanusi akhirya terpaksa akur bahawa dia gagal untuk melakukan semua itu.

Walaupun tempoh tersebut terlalu singkat untuk dijadikan kayu ukur bagi menilai prestasi Sanusi.

Cabaran yang dihadapi oleh Sanusi sebenarnya bermula kira-kira tiga tahun setengah lalu, apabila beliau 'dihalang' dari kembali ke Kedah oleh 22 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN)

Kumpulan 22 ini yang diketuai oleh Speaker DUN Kedah pada masa itu, Datuk Zainol Md. Isa menghantar memorandum kepada Perdana Menteri meminta supaya Sanusi tidak dilantik sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, semuanya menjadi jernih apabila Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (ditaktor) campurtangan dan mereka semua meminta maaf kepada Sanusi serta sedia menerimanya menjadi Menteri Besar.

Semua yang terlibat nampaknya akur dan "takut" kepada nasihat Presiden UMNO dan bersedia membuang yang keruh. Tetapi tidak bagi Sanusi. Walaupun dia memberi jaminan tidak berdendam dengan Kumpulan 22 itu, namun pemerhati berpendapat Sanusi menggunakan kedudukannya selepas itu untuk 'meminggirkan' beberapa orang kuat kumpulan tersebut.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Seri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim contohnya, yang lantang menentang beliau, terpinggir setelah tewas dalam pemilihan Ketua Bahagian dan akhirnya tidak dicalonkan walaupun mendapat sokongan rakyat bawahan.

Konflik dalaman yang menimpa UMNO sehingga wujudnya team Sanusi dan kumpulan antiSanusi ini tidak memberi keuntungan kepada sesiapapun kecuali Pas yang akhirnya mendapat habuan 12 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lalu - sesuatu yang tidak pernah terbayang oleh parti pembangkang itu.

Sekarang, semuanya telah kembali tenang. Mereka yang mengharapkan Sanusi berundur, kini sudah boleh tersenyum. Namun timbul pula persoalan siapakah yang akan menggantikan Sanusi yang dilihat sebagai tokoh dinamis yang kreatif dan penuh dengan idea.

Pemerhati berpendapat setakat ini tidak ada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah yang boleh menandingi Sanusi khususnya dari segi pemikiran, kepetahan berhujah dan kredibiliti sebagai seorang pemimpin.

Beberapa nama disebut-sebut mengambil alih tempat Sanusi. Antaranya ialah bekas Exco kanan, Datuk Syed Razak Syed Zain, ADUN Jitra yang juga bekas Rektor Insaniah, Prof. Datuk Dr. Osman Ishak, dan ADUN Tanjung Seri yang juga bekas penerbit rancangan agama RTM serta pengampu, Fadhil Hanafi.

Namun, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya pendapatnya siapa yang layak menggantikan Sanusi berkata: ''Dia mestilah Ahli Dewan Undangan Negeri. Itu sahaja. Kita tidak ambil orang lain. Saya tidak tahu hendak buat kriteria.''

Ada yang berpendapat, hanya mereka yang mempunyai latarbelakang agama sahaja layak menjadi Menteri Besar Kedah bagi menghadapi 'kewibawaan' ADUN-ADUN Pas yang semakin bertambah di DUN dan mereka nampaknya mempunyai keyalayakan begitu baik.

Jika itu menjadi kriteria dan bagaimana UMNO Terengganu menggunakan agama sebagai senjata untuk melawan PAS maka, Fadzil Hanafi mempunyai peluang yang cerah untuk merasai kerusi empok Menteri Besar kerana pemegang Ijazah Perundangan Islam dari Universiti Al-Azhar ini memiliki ciri-ciri tersebut. Namun, pemerhati berpendapat, kriteria tersebut tidak mencukupi kerana calon Menteri Besar mestilah seorang yang mempunyai ramai penyokong bawahan dan berpengaruh dalam parti. Dan Fadzil dilihat sebagai 'orang baru' dalam UMNO yang masih belum dikenali ramai walaupun boleh digunakan agama sebagai landasan politik.

Tetapi pandangan tersebut mungkin tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri kerana katanya, semua ahli UMNO mempunyai latarbelakang agama termasuk nbeliau juga nak mengaku sebagai "ulamak".

''Saya tidak fikir ada ahli UMNO yang tidak mempunyai latarbelakang agama,'' ujarnya.

Kalau pengalaman pula diambil kira untuk dilantik sebagai Menteri Besar, sudah tentu Syed Razak yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat mempunyai peluang yang selesa.

Lagipun, hanya beliau sahaja yang menang di kawasan Parlimen Kuala Kedah setelah berjaya mengekalkan kerusi DUN Kubang Rotan. Kerusi Parlimen Kuala Kedah, kerusi DUN Anak Bukit dan DUN Pengkalan Kundor dimenangi oleh Pas.

Tetapi tidak semestinya mereka yang berpengalaman mampu mentadbir negeri dengan baik dan begitu juga sebaliknya, mungkin mereka yang tidak ada pengalaman tetapi berkebolehan, mampu berbuat sesuatu yang terbaik jika diberi peluang.

Pemerhati mengambil bekas Menteri Besar, Osman Aroff sebagai contoh tokoh yang tidak berpengalaman semasa dilantik menjadi Menteri Besar tetapi mampu melaksanakan tugas tatapi akhirnya tercundang juga oleh mereka yang suka menikam kawan yang terdapat ramai dikalangan ahli UNMO.

Pokok pangkalnya, kata pemerhati itu lagi, peluang hendaklah diberi kepada mereka yang berkebolehan menjalankan tugas dengan baik dan sokongan serta kerjasama ahli-ahli UMNO sendiri amat penting bagi memastikan calon tersebut dapat memimpin dengan lancar.

Jika faktor pendidikan diambilkira untuk memilih Menteri Besar, Prof. Dr. Osman mempunyai peluang yang cerah walaupun dia orang baru dan dikatakan calon bidan terjun dalam pilihan raya lalu.

Pemerhati berpendapat, calon baru mungkin mudah dibentuk untuk menghadapi pelbagai cabaran kerana mentadbir sebuah negeri memerlukan seseorang yang cerdik dan mampu menentukan arah hala tuju dan masa depan negeri.

Bukan sahaja situasi dalam negeri yang perlu ditangani, seorang Menteri Besar juga perlu bijak dan mampu memahami pergolakan luar negara kerana mereka juga akan berurusan di peringkat antarabangsa.

Dr. Mahathir sendiri menurut pemerhati, tidak banyak pengalaman semasa bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn melantiknya menjadi Perdana Menteri dan beliau berjaya membuktikan bahawa pemilihannya adalah tepat walaupun melangkaui beberapa pemimpin kanan dalam UMNO.

Walau apapun spekulasi yang dibuat, pastinya kebijaksanaan mengatasi segala-galanya. Yang penting dan perlu diambilkira ialah calon Menteri Besar mestilah boleh diterima bukan sahaja oleh ahli UMNO, tetapi mestilah mandapat restu daripada Mahathir dalam istilah sekarang KRONI PM.

Jika tidak, angin perubahan yang bertiup dari Pantai Timur dan meninggalkan kesan yang bukan sedikit di Kedah pada pilihan raya lalu akan menyerang lagi lima tahun dari sekarang.

Dan jika ia berlaku, ahli-ahli UMNO di negeri ini tidak perlu lagi bersusah payah mencari calon Menteri Besar kerana tugas tersebut mungkin diambilalih oleh orang Pas pula. Hanya masa yang akan menentukan....Insya-Allah.

Saya berpendapat DR MAHATHIRLAH JADI MENTERI BESAR KEDAH...semua ambil untuk dia.

Ubahsuai oleh : TOK AYAH