BEKAS PENGARAH YAYASAN TERENGGANU DITUDUH TERIMA RASUAH

KUALA TERENGGANU, 14 Dis Bekas Pengarah Yayasan Terengganu Datuk Mohamed Endut hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu kerana tuduhan menerima rasuah berjumlah RM91,350 antara Januari 1989 hingga Mei 1991.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) Ahmad Bache manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mohamad K Abdul Rahman membuat keputusan, kes itu akan didengar pada 13 hingga 17 Mei tahun depan, dan memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Hakim juga memerintahkan pasport antarabangsa tertuduh ditahan.

Mohamed, 55, yang tidak mengaku bersalah di atas semua lima pertuduhan itu, didakwa melakukan perbuatan berkenaan dengan menggunakan jawatan awamnya untuk faedah sendiri, iaitu meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan membersih, mencantikkan bangunan dan asrama Yayasan Terengganu, Hulu Terengganu di atas nama W.M Enterprise dalam tempoh itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Jalan Sultan Ismail di atas nama syarikat berkenaan, yang mana Mohamed mempunyai kepentingan di dalamnya.

Kes pertama berlaku pada 14 Jan 1989, kedua - 25 Feb 1989, ketiga - 7 April 1990, keempat - 9 April 1991 dan kelima pada 27 Mei 1991.

Mohamed dituduh di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 bagi setiap kesalahannya dan jika sabit kesalahan beliau boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Semasa pertuduhan, Ahmad berkata kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah satu kes yang serius dan meminta tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin di samping pasport antarabangsanya ditahan.

Ahmad berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan seramai lapan orang saksi pada perbicaraan itu nanti.

Bagaimanapun, Mohamed semasa membuat pengakuan tidak bersalah meminta mahkamah mengurangkan jaminan kerana beliau adalah seorang pesara.

Hakim juga memerintahkan Mohamed supaya mendapatkan khidmat peguam.

Mohamed yang berasal dari kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu merupakan Pengarah Yayasan Terengganu yang pertama dan yang paling lama berkhidmat, sejak yayasan itu ditubuhkan pada Mei 1972 sehingga beliau bersara pada 30 Nov 1998.

Sebelum itu, Mohamed adalah seorang pegawai tadbir dengan kerajaan negeri Terengganu.