KUALA LUMPUR, 10 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad melantik sembilan menteri baru, menukar portfolio beberapa menteri dan menggugurkan tiga menteri apabila mengumumkan kabinet barunya hari ini.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri manakala Tun Daim Zainuddin masih memegang portfolio Kewangan.
Dr Mahathir membuat kejutan dengan mengumumkan pelantikan Datuk Musa Mohamed sebagai Menteri Pendidikan. Musa akan dilantik sebagai senator.
Menteri baru yang lain ialah Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Dr Rais Yatim, Datuk Dr Fong Chan Onn, Datuk Ong Ka Ting, Datuk Nazri Abdul Aziz, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Effendi Norwawi dan Datuk Azmi Khalid.
Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Kementerian Pertahanan dari Kementerian Pendidikan manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin berpindah ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dari Kementerian Belia dan Sukan.
Tiga menteri yang digugurkan ialah Datuk Amar Dr Sulaiman Daud (Pertanian), Datuk Dr Ting Chew Peh (Perumahan Dan Kerajaan Tempatan) dan Datin Paduka Zaleha Ismail (Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat).
Dr Mahathir bagaimanapun mengekalkan dua lagi menteri wanita -- Datuk Seri Rafidah Aziz di Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri dan Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman yang berpindah ke Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat dari Jabatan Perdana Menteri.
Menteri kanan lain yang terdiri daripada pemimpin parti komponen Barisan Nasional dikekalkan pada portfolio masing-masing.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik kekal sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai Menteri Kerja Raya dan Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, Menteri Perusahaan Utama.
Datuk Seri Syed Hamid Albar kekal sebagai Menteri Luar.
Dengan pelantikan Dompok, Sabah, sebagaimana juga Sarawak, kini mempunyai tiga wakil dalam Kabinet. Yang lain ialah Tan Sri Kasitah Gaddam (Tanah Dan Pembangunan Koperasi) dan Datuk Pandikar Amin Mulia (Jabatan Perdana Menteri).
Menteri dari Sarawak ialah Datuk Amar Leo Moggie (Tenaga, Komunikasi Dan Multimedia), Datuk Law Hieng Ding (Sains, Teknologi Dan Alam Sekitar) dan Effendi.
Dengan pelantikan Azmi bermakna Perlis sekarang mempunyai seorang menteri Kabinet buat kali pertama.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah, yang diramalkan akan dilantik sebagai menteri, tiada dalam senarai pelantikan yang diumumkan itu.
Terengganu juga tidak mempunyai wakil dalam Kabinet itu memandangkan Barisan Nasional tewas bagi semua lapan kerusi Parlimen yang ditandinginya di negeri itu pada pilihan raya umum bulan lepas.
Lima daripada sembilan menteri baru itu merupakan mereka yang dinaikkan pangkat daripada timbalan menteri. Mereka ialah Hishammuddin, Azmi, Nazri, Fong dan Ong.
Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman, yang tewas bagi kerusi parlimen Sik pada pilihan raya lepas, dilantik semula ke portfolio sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau akan dilantik menjadi senator.
Ramai di antara mereka yang dilantik sebagai timbalan menteri adalah muka baru. Mereka termasuk Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, Khaled Nordin, Datuk Anifah Aman, Datuk Zainal Dahlan, Datuk Tan Kee Kwong, Dr Ng Yen Yen dan Tiki anak Lafe.
Bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan manakala bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Abu Zahar Isnin sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Dalam Negeri.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Shariff Omar mengambil alih jawatan Timbalan Menteri Pertanian.
Kementerian Pendidikan akan menyaksikan pasukan baru keseluruhannya dengan pelantikan Senator Datuk Aziz Shamsuddin sebagai Timbalan Manteri dan Datuk Dr Mahadzir Mohamad Khir sebagai Setiausaha Parlimen, untuk membantu Musa.
Datuk Ong Tee Keat, yang dahulunya menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia Dan Sukan.
Datuk G. Palanivel, dahulunya Setiausaha Parlimen Kementerian Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat, mengambil alih jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar manakala Datuk Shahrizat Abdul Jalil, yang dahulunya Setiausaha Parlimen Kementerian Belia Dan Sukan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Turut dinaikkan pangkat ialah Datuk Dr Shafie Salleh, daripada Setiausaha Parlimen ke Timbalan Menteri di Kementerian Kewangan.
Datuk Chor Chee Heung pula dinaikkan pangkat daripada Setiausaha Parlimen di Kementerian Pangangkutan menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Seorang lagi Timbalan Menteri Dalam Negeri ialah Datuk Zainal Abidin Zin yang baru dipilih menjadi anggota Parlimen.