KUALA LUMPUR: Presiden Parti KeAdilan Nasional (KeAdilan), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail memberikan jaminan beliau dan lain-lain calon parti itu yang menang dalam pilihanraya yang lepas akan meneruskan perjuangan dalam KeAdilan dan pakatan Barisan Alternatif (BA).
Menurutnya, KeAdilan tidak akan menjadi seperti parti serpihan, Semangat 46 (S46 ) kerana kewujudannya adalah berikutan kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden Umno.
Manakala KeAdilan pula diasaskan kepada semangat kebangkitan rakyat yang akan terus menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan sebagainya, katanya.
"Anwar Ibrahim adalah satu contoh pemimpin yang menentang rasuah dan salahguna yang dihadapkan dengan pelbagai tuduhan yang menjatuhkan beliau," katanya dalam pertemuannya dengan Harakah di sini Jumaat lepas.
Menurutnya, meskipun KeAdilan hanya memenangi 5 kerusi parlimen tetapi sebenarnya parti itu mendapat kemenangan moral yang besar kerana berjaya mengurangkan majority Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya yang lepas.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan BA ditukarkan namanya seperti Barisan Rakyat dan menggunakan satu logo untuk semua parti gabungannya, Wan Azizah berkata, partinya ada membincangkan perkara-perkara itu untuk mengukuhkan lagi pakatan itu.
Menurutnya, pilihanraya yang lepas tidak menunjukkan ia dijalankan dengan adil dan bebas oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana ada banyak penipuan dilakukan di pelbagai tempat dan penggunaan media yang ketara.
"Ada yang mengeluarkan gambar saya sebagai calon yang bertanding atas tiket BN dan media dikawal ketat. Mereka juga menggunakan taktik mengedarkan gambar orang yang dipancung kepala dalam rusuhan di Timur-Timur sebagai bahan kempen mereka," ujarnya.
"Ini untuk menakutkan masyarakat bukan Islam daripada memberikan sokongan kepada BA," tambahnya lagi.
Mengenai sokongan besar yang diterima oleh BA daripada kalangan masyarakat Melayu, Wan Azizah berkata, masyarakat Melayu melihat peristiwa Anwar melibatkan soal keadilan dan Islam yang memberikan gambaran bahawa negara ini memerlukan perubahan.
Manakala masyarakat bukan Islam pula, meskipun melihat reformasi satu keperluan, tetapi telah ditakutkan dengan propaganda berubi-tubi yang menakutkan mereka, katanya.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas bahawa sokongan besar Melayu kepada BA menandakan Umno perlukan perubahan dan Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno perlu meletakkan jawatan.
"Itu terpulanglah kepada pemimpin Umno sendiri untuk membuat ulasan," jelasnya.
Wan Azizah berkata, BA akan terus berkembang sebagai satu pakatan yang mantap dan mendapat komitmen yang tinggi daripada semua parti yang terlibat.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh penyokong BA yang memberikan sokongan dan pengorbanan untuk kejayaan pakatan itu dalam pilihanraya yang lepas.
"Sokongan yang ditunjukkan betul-betul menandakan BA didokong oleh rakyat, dipelopori oleh rakyat dan disokong oleh rakyat," katanya.
"Saya merasa bangga kerana rakyat tanpa dibeli dan disogok memberikan sokongan kepada perjuangan untuk menegakkan keadilan untuk semua dan Islam sebagai ad-Din" ujarnya lagi.