Berjayakah serangan NATO?
BERIKUTAN kegagalan memeterai perjanjian di Rambouillet
Perancis, Pertubuhan
Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengambil keputusan
melancarkan serangan ke
atas kedudukan ketenteraan Serbia di bekas Yugoslavia.
Serangan dilancarkan Jumaat lalu setelah kedua-dua pihak dalam konflik
itu tidak
bersedia menandatangani perjanjian autonomi yang diutarakan oleh kumpulan
penghubung Balkan - terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), Great Britain,
Perancis,
Jerman, Itali dan Rusia.
Objektif nyata NATO melancarkan serangan udara ke atas Yugoslavia ialah
bagi
mengelak ia daripada kehilangan kredibiliti dan memaksa Presiden Slobodan
Milosevic menerima pelan damai Kosovo.
Secara rasminya, objektif serangan NATO ialah untuk memaksa Belgrade
kembali ke
meja rundingan atau dalam bahasa yang lebih mudah ''bagi mengurangkan
keupayaan
tentera Yugoslavia melancarkan serangan ke atas penduduk etnik Albania
Kosovo''.
Objektif ini adalah tegas dan ia memberi kuasa penuh kepada NATO untuk
menentukan tahap mana kerosakan yang telah dilakukan ke atas sistem
pertahanan
Yugoslavia sebelum serangan itu dihentikan. Bagaimanapun, pada dasarnya
serangan
itu mencetuskan dilema dan pencanggahan di kalangan anggota-anggota
NATO yang
menyertai serangan udara itu.
Setiausaha Luar Britain, Robin Cook berkata, serangan udara itu boleh
dihentikan
serta merta sekiranya pemimpin Yugoslavia kembali ke meja rundingan.
Selain itu,
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), William Cohen berkata,
serangan
udara itu akan diteruskan sehinggalah Milosevic memilih ''jalan damai''.
''Pada dasarnya, objektif serangan udara ini ialah untuk memaksa Milosevic
kembali
ke meja rundingan, tetapi ia bukanlah pilihan yang sesuai kerana anda
tidak boleh
mengebom seseorang bagi memaksa mereka bekerjasama,'' kata penganalisis
pertahanan, Jonathan Eyal dari Institut Perkhidmatan United Diraja
Britain.
''Masalahnya kedua-dua objektif ini tidak selari,'' kata Eyal. Dengan
melancarkan
serangan udara, kemungkinan Milosevic akan menerima pelan damai Rambouillet
dengan memberikan status autonomi kepada Kosovo sebagaimana yang telah
diputuskan oleh NATO adalah tipis, jelasnya.
Ini bermakna tempoh masa serangan yang dilancarkan oleh NATO ke atas
Yugoslavia
sama ada panjang atau pendek akan ditentukan oleh keupayaan kerajaan
Barat
mendapatkan sokongan dari penduduk mereka sendiri serta tahap tentangan
dari
Rusia, China dan negara-negara dunia ketiga di Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu.
Satu faktor lagi, ialah keinginan NATO untuk menyelesaikan masalah Kosovo
dalam
apa cara sekalipun sebelum sidang kemuncak ke-50 pertubuhan itu pada
23-25 April
di Washington, bagi mengelakkan isu tersebut membayangi sidang kemuncak
itu.
Malahan dalam NATO sendiri, terdapat perdebatan yang hangat mengenai
serangan
itu.
Canselor Jerman, Gerhard Schroeder dipetik sebagai berkata, beliau telah
mencadangkan kepada pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) agar
menangguhkan sementara serangan ke atas Yugoslavia bagi memberi jalan
kepada
usaha-usaha diplomatik.
Bagaimanapun, oleh kerana tekanan dari pemerintah tentera NATO yang
khuatir
mengenai tindak balas Yugoslavia ke atas etnik Albania Kosovo, penasihat
politik
memberi amaran bahawa kempen serangan udara yang diselangi dengan penangguhan
bagi memberi jalan kepada usaha diplomatik sukar diterima oleh orang
ramai dan oleh
itu rancangan penangguhan di antara dua fasa itu dibatalkan.
Seorang pembuat dasar Eropah mengenai Kosovo berkata, Milosevic akan
mengambil kesempatan dengan menggambarkan tindakan penangguhan sementara
di
antara dua fasa serangan itu sebagai kelemahan Barat.
Pengkritik-pengkritik polisi Barat mempersoalkan penamatan serangan udara itu.
Apa akan terjadi sekiranya NATO menamatkan serangan udaranya dan Milosevic
meneruskan serangan-serangan ke atas Tentera Pembebasan Kosovo (KLA),
tanya
mereka.
''Tiada strategi yang benar-benar boleh memperlihatkan kejayaan,'' kata
Senator
Republikan bagi Ohio, George Voinovich, senator AS yang menentang serangan
udara
ke atas Yugoslavia.
Sesetengah penyokong NATO mencadangkan pertubuhan itu mempunyai objektif
yang lebih besar seperti menggulingkan Milosevic atau memberikan kemerdekaan
kepada Kosovo.
Jurucakap Perdana Menteri Britain, Tony Blair berkata, Milosevic dan
kroninya
bersalah kerana jenayah perang, tetapi menambah bukan polisi Barat
untuk
menggulingkan Milosevic. AS pula berkata, orang kuat Serbia itu merupakan
akar
kepada segala keganasan di negara Balkan dan menegaskan ia perlu diganti
atau
digulingkan.
Bekas Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Zbigniew Brzezinski, yang
mengulas
berhubung isu itu dalam akhbar Wall Street Journal berkata, pemimpin
NATO perlu
melakukan usaha-usaha khas untuk mengekalkan sokongan politik bagi
kempen
pengeboman yang berpanjangan.
Tentangan Rusia dan juga kritikan daripada penduduk Barat mewajarkan
kempen
pengeboman itu dilakukan secara besar-besaran dengan objektif untuk
menang bagi
tujuan politik dan ketenteraan, katanya.
Tetapi jika Milosevic berjaya mempertahankan diri dan tidak menerima
pelan damai
Kosovo, adalah sukar untuk Barat mengisytiharkan kemenangan yang meyakinkan.
''Saya bertemu dengan seorang pegawai di London yang percaya ia akan
berakhir
dengan keputusan yang meyakinkan,'' kata Eyal.
Menurutnya, pegawai-pegawai Barat bimbang, perpecahan di Kosovo dengan
Serbia
menguasai kawasan utara dari Lebuh Raya Pec-Pristina, menghapuskan
penduduk
etnik Albania dan NATO pula menguasai kawasan selatan wilayah itu,
penuh dengan
pelarian dari penduduk yang menyokong kemerdekaan dari Belgrade.
Sedikit latar belakang rentetan peristiwa sehingga NATO mengambil keputusan
melancarkan serangan ke atas Serbia. Penduduk Albania di Kosovo tidak
bersedia
menerima perjanjian yang melibatkan autonomi tetapi mereka menggesa
kepada
pungutan suara untuk kemerdekaan sepenuhnya dan melahirkan kesangsian
di atas
cadangan melucutkan senjata gerila KLA.
Kerajaan Serbia pula menolak rancangan meletakkan 28,000 tentera NATO
di
wilayahnya sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima dan merupakan
pelanggaran ke
atas kedaulatan nasional. Persidangan ditunda selama tiga minggu dan
pusingan baru
kegiatan diplomatik gigih dimulakan.
AS bertegang urat dengan wakil penduduk Albania Kosovo dan melalui konsesi
dan
jaminan meluas cuba memujuk mereka menandantangani perjanjian. Terdapat
juga
usaha-usaha sistematik bagi mempengaruhi Milosevic.
Menteri Luar Jerman, Joseph Fischer melalui jawatannya sebagai presiden
Majlis
Kesatuan Eropah mengunjungi Milosevic dan cuba memenangi hatinya untuk
menandatangani perjanjian melalui penawaran kemasukan Yugoslavia ke
dalam
Eropah. AS sebagai usaha terakhir memujuk Milosevic supaya menandatangani
perjanjian telah menghantar Richard Holbrooke ke Belgrade, perunding
yang sebelum
ini pernah memainkan peranan penting dalam perjanjian Dayton untuk
Bosnia dengan
Milosevic.
Namun pada 15 Mac lalu, apabila persidangan Kosovo diadakan semula di
Paris,
kedua-dua pihak lebih menjauhkan diri daripada sebelumnya. Pihak Serb
terus
menolak kemasukan tentera asing di wilayahnya. Sedikit sekali pemerhati
yang
percaya bahawa kerajaan Serb akan menukar pendiriannya.
Sebarang perjanjian yang diterima puak Serb dengan Kosovo bermakna kehilangan
rantau yang dianggap bahagian penting daripada wilayahnya sejak kejatuhan
kerajaan
Turki Uthmaniah. Secara rasminya, Kosovo masih merupakan sebahagian
daripada
wilayah Serbia tetapi hakikatnya ia inginkan kemerdekaan daripada cengkaman
Belgrade.
Akibatnya pilihan ketenteraan mengambil tempat di pentas Balkan. Jika
pihak NATO
tidak melancarkan serangan sebagaimana yang dikatakannya ia tentulah
akan
menjejaskan maruahnya. Untuk tujuan ini lebih 400 kapal terbang termasuk
enam
pengebom B-52, pesawat canggih f-117 Stealth, seluruh armada ke-6 tentera
AS dan
kapal pengangkut kapal terbang Perancis terlibat dalam operasi itu.
Namun sejauh manakah serangan udara dapat memberikan jaminan bahawa
kerajaan
Serbia akan tunduk kepada permintaan kumpulan penghubung.
Pihak Serb juga mempunyai beberapa kelebihan. Walaupun ia tidak dapat
menandingi
keunggulan serangan udara NATO, tetapi ia memiliki tentera darat yang
berpengalaman. Beberapa hari lalu, di kawasan sempadan Kosovo terdapat
sejumlah
besar unit infantri dan kereta kebal.
Sejak lama dahulu pakar ketenteraan telah mengingatkan bahawa kejayaan
ketenteraan di Kosovo dapat dilakukan jika serangan udara disertai
dengan serangan
darat. Tetapi sehingga kini kedua-dua pihak Amerika dan Eropah tidak
bersedia
melancarkan serangan dari darat. Selain daripada terpaksa berhadapan
dengan jumlah
kecederaan besar di kalangan tentera mereka, ia juga mengundang masalah
politik
dalaman. Terdapat mereka yang beranggapan tujuan serangan udara NATO
itu
sebagai perubahan dalam hubungan ketenteraan di rantau Balkan.
Masalah yang terbuku sejak beberapa dekad lalu tidak boleh diatasi dengan
pengeboman," kata Boris Majorski, perwakilan Rusia ke rundingan di
Paris.
Kerajaan Perancis juga memperlihatkan sikap kesangsian mengenai serangan
ketenteraan. Mereka juga kelihatan bimbang dengan duluan yang diwujudkan
kerana
menurut pandangan mereka sesebuah negara tidak akan menerima kehadiran
tentera
asing di tanah airnya.
Adalah sukar untuk meramalkan perkembangan yang berlaku bekas Yugoslavia
pada
hari-hari mendatang ini .
Apa yang penting ialah nyawa penduduk Islam yang satu demi satu akan
melayang
hanya daripada tindakan lembab kuasa besar kerana sikap Rusia yang
tidak suka
kepada campur tangan ketenteraan dan sikap Perancis pula yang ragu-ragu
sejauh
manakah tindakan AS dapat memberi kesan kepada penduduk Kosovo keturunan
Albania.
AS sebagaimana diketahui sentiasa bersikap berat sebelah dengan penduduk
dan
negara Islam, oleh itu bagaimanakah bantuan ketentaraannya di Kosovo
benar-benar
dapat membantu penduduk terselamat daripada penyembelihan pengganas
Serb.
Biarpun serangan NATO bertubi-tubi ke atas kedudukan tentera mereka
pasukan
Serbia tetap melancarkan serangan keganasan ke atas etnik Albania yang
mengakibatkan ramai terbunuh.
Apakah serangan NATO boleh menggugat Milosevic dan dia beralah untuk
kembali
ke meja perundingan. Sama-samalah kita tunggu episod menarik di Balkan
ini.