Muslimat

Sudut Muslimat
Shoutus Syabab DPPKD

line.gif (4491 bytes)

Pandangan
Wanita mengalah, setakat mana batasnya?

BERTAHUN-TAHUN menanggung seksa, menderita makan hati berulam jantung namun insan yang bergelar wanita tetap setia kepada suami. Jika hanya sekadar sekali dua pasangan melatah, tersasar melakukan kesalahan, mereka mudah memaafkan. Malah dalam kes-kes tertentu si isteri masih sanggup menerima suami ke pangkuan meskipun jelas terpamir di depan mata kecurangan dan keserakahan. Kenapa mengalah ? Semula jadi wanita begitu atau takut ditinggalkan suami ? Cik Azalina Othman Said, peguam muda yang semakin membina nama dalam bidang perundangan menjelaskan setakat mana batasnya.

Pengalaman dalam mahkamah, lazim punca pertelingkahan rumah tangga akibat suami cari pasal. Bukan sebab saya pro wanita tetapi daripada kajian, baik bangsa, kaum atau peringkat umur mana sekalipun rata-rata disebabkan lelaki. Kebanyakan terbabit dengan pihak ketiga, sama ada hubungan dengan wanita lain, kahwin lagi atau mempunyai hubungan dengan perempuan simpanan, sehingga sanggup tinggal sebumbung tanpa nikah, dedahnya.

Wanita katanya, walau dalam jawatan apa sekalipun, menteri, peguam, doktor atau kerani, golongan ini cukup ringkas. Mereka cuma mahu keluarga yang serba sederhana, ada suami, anak-anak dan hidup tanpa gangguan orang luar.Tetapi apabila suami buat perangai, wanita sangat kecewa dan putus harapan. Lebih-lebih lagi jika didapati suami dijangkiti penyakit kelamin atau AIDS, hati mana tidak derita? Namun kegetiran menanggung rasa sakit hati tidak sampai membuka hati wanita lantang 'menghalau' suami daripada hidup. Selepas fikirkan anak dan rumah tangga, hati wanita mudah sejuk dan terima si suami semula.

Masalahnya apabila wanita memberi maaf, lelaki mengambil kesempatan tidak serius dengan apa yang berlaku. "Alah bini aku, macam mana buruk pun perangai, dipujuk-pujuk cair juga. Itu yang selalu diucapkan. Dalam hal ini, lelaki naik kepala dan mengulangi lagi perangai tidak senonoh. Kecuali apabila adik-beradik perempuan itu gengster atau ada mentua kaya-raya, saya tidak fikir lelaki berani lagi buat perangai.

Ada juga masalah lain, misalnya si isteri terlalu asyik mengawal pergerakan atau selalu sangat mengajak suami mendampingi keluarga sebelahnya. Perkara ini memberi tekanan dan kebosanan kepada suami.

Memang ada faktor pendorong dan kita boleh salahkan kedua-dua pihak tetapi ia bergantung kepada sikap. Daripada apa yang saya baca, Rasulullah s.a.w juga banyak godaan tetapi lihat bagaimana baginda mengendalikannya. Dalam kes keluarga campur tangan misalnya, suami tidak boleh terima, lantas menjadikan isteri seperti musuh. Sekali gus menjadikan penyebab si suami mengadakan hubungan di luar atau kahwin satu lagi. Isteri disuruh diam tanpa berhak bertanya apa-apa, alasannya mereka menggunakan duit sendiri. Nafkah zahir dan batin disempurnakan, cuma mereka mahu menjalin hubungan dengan wanita lain akibat tidak puas hati.

Maka timbullah soal ego, siapa betul siapa salah. Sesetengah isteri suka berleter. Lazim wanita bersikap begitu kerana tidak tahu tindakan lain yang perlu dibuat. Perkara ini mendesak suami bertindak ganas. Mereka panas baran dan pukul dengan alasan mulut isteri celupar dan kurang ajar. Apabila adik-beradik campur tangan, ego lelaki semakin menggelegak dan mula tidak mempedulikan isteri, jelasnya.

WANITA MUDAH MEMAAFKAN?

Azalina turut menjelaskan, wanita yang sering memaafkan, mudah mengalah atau takut ditinggalkan bukan lagi isu yang menyebabkan wanita harus menderita dan terseksa jiwa raga. Hanya wanita yang mengalami sahaja tahu jawapannya kenapa mereka berbuat begitu.

Ada bersikap pemaaf dan mengalah kerana bersebab. Selepas bertahun-tahun berkahwin tidak mungkin senang-senang mahu melepaskan segala-galanya kepada wanita lain. Sekelip mata segala apa yang dimiliki selama ini dengan mudah dirampas orang. Sebab itu wanita berfikir panjang untuk bercerai-berai atau menerima semula kehadiran suami.

Kata Azlina, teringat kata-kata ayahnya. Apabila lelaki berkahwin, kasih sayang yang ada pada keluarga dan adik-beradiknya kena alihkan kepada isteri dahulu. Malang ramai yang tidak mahu melakukan. "Kita tidak bertujuan memisahkan ikatan kekeluargaan tetapi keutamaan perhatian disalah erti menyebabkan rumah tangga kucar-kacir.

Banyak wanita yang saya jumpa, mereka cukup ringkas. Tidak minta dicerai, hanya kerana suami tidak mampu. Tetapi hal lain yang membuat mereka bertindak. Dan apabila seseorang wanita ke mahkamah, itu tandanya mereka terlampau sangat makan hati. Banyak bersabar bertahun-tahun, menahan derita dan sengsara, namun akhirnya, apabila ia sudah hilang, mereka mengambil tindakan, untuk berpisah. Biasanya sesudah membuat sunat iktiharah, wanita rasa lebih baik pergi.

Mungkin dengan berpisah ada kebaikannya tetapi selalu bila isteri sedia untuk melangkah, suami pula menahan. Menggunakan anak-anak sebagai alasan supaya isteri jangan pergi. Itulah yang kadangkala membuat kita tidak faham. Bila si isteri tidak mahu dan suruh suami pergi kepada teman wanita, barulah si lelaki 'gila talak'. Kalau kita hayati surah an'Nisa memang nyata kebenarannya, Janganlah kita senang membenci isteri kerana sesungguhnya kebencian itu ada membawa kebaikan.

Lazim begitulah, bila isteri tidak layan, tawar hati atau berkenan dengan orang lain barulah suami panik dan menggelabah. Tetapi masa isteri sayang, suami tidak mempedulikan. Dalam satu kes isteri pendam derita enam tahun, sampai satu peringkat dia bosan. Suami pula sudah tua dan teman wanita tidak mahu, masa itu bila isteri ambil keputusan untuk mengalah, kita nampak lelaki panas punggung, selarnya.

KUASA LELAKI

Saya bukan ahli psikologi, tetapi kalau saya menjadi lelaki, tentu berdetik di hati untuk melepaskan isteri. Saya akan teringat, apa akan jadi kepada anak-anak dan bagaimana perangai ayah tiri yang akan mengambil tempat saya nanti.

Malangnya apabila lelaki bersikap ego mereka lupa semua itu. Saya tidak tahu, apakah ini berkaitan dengan soal istilah kuasa lelaki. Memang dalam al-Quran ada menjelaskan, lelaki itu diberi hak dan kuasa tetapi andai dia memahami Islam yang sebenar, bukan suka-suka mereka boleh memilih wanita lain untuk dikahwini. Islam menyarankan, kahwinlah dengan wanita yang memerlukan perlindungan. Contohnya wanita susah, janda atau balu. Sebaliknya mereka pilih yang muda-muda, sedangkan isteri sendiri jauh lebih baik, masih muda dan mampu memberi kepuasan zahir dan batin.

Saya lebih gemar menggantikan istilah ego lelaki dengan kuasa. Sesetengah lelaki sengaja mengadakan hubungan dengan wanita lain semata-mata mahu menggunakan kuasa yang kononnya itu hak mereka. Begitu juga mereka menggunakan kuasa untuk mendapatkan anak-anak.

Contohnya, Islam kata hadanah atau penjagaan anak adalah hak isteri tetapi ada satu kes, suami sengaja mengadakan rancangan tangkap khalwat ke atas isteri. Apabila gertak menjadi, mereka berharap anak-anak akan diserahkan kembali ke pangkuannya.

Ugut mereka, kalau tidak mahu anak diserahkan kepada suami, jangan minta cerai. Jika cara menggunakan anak tidak menjadi, ada menggunakan duit dan harta benda. Ada lelaki yang sanggup halau isteri keluar dari rumah jika isteri membuat bising. Sedangkan dalam Islam, apabila berlaku perceraian, lelaki yang patut pergi.

Sebab itu, selalu saya suarakan, kalau mahu menjadi lelaki, kena pikul tanggungjawab dan bersifat gentleman. Jika jatuh hati dengan wanita lain, dan isteri tidak boleh terima, berpisahlah cara baik. Jangan dera lagi hati isteri atau main tarik tali. Masalahnya mereka tamak dan hendakkan semua. Dia cinta perempuan sana dan sayang wanita di sini, menyebabkan keadaan tunggang terbalik, jelasnya.

GAWAT BAWA HIKMAH

Katanya lagi, daripada pengamatan, kesan kegawatan ekonomi menyebabkan permohonan cerai semakin kurang. Banyak lelaki tidak keluar malam, ke kelab atau karaoke.

Bila duit sudah tidak ada, mereka menjauhkan diri daripada GRO atau melepaskan perempuan simpanan. Memang mengejutkan bila ramai playboy bertukar sikap. Ini membuktikan kesan kegawatan ekonomi membawa kebaikan.

Menjawab persoalan, wanita yang tidak tahu keputusan mana yang perlu dibuat, katanya, "Mereka ini seperti ding-dong. Sekejap hendak bercerai, esok lusa tidak mahu pula. Sesetengahnya amat cemburu, baru melihat suami dengan wanita lain, mereka mohon perceraian.

Ada juga terlalu memberi muka. Walaupun tahu suami tidak nikah dan malah beranak pinak, si isteri masih sanggup terima. Ia bergantung kepada cinta, kalau benar-benar sayang, jahat macam mana pun perangai suami, masih sanggup menerima. Ia seperti hubungan antara emak dan anak, si anak cukup jahat, jadi penagih dadah misalnya namum si emak tetap terima.

Dalam hubungan suami isteri pun begitu, apabila wanita bertemu peguam, bukan bermakna sudah tidak sayang lagi kepada suami. Mereka terpaksa bertindak kerana tidak tertanggung 'sakit'. Macam orang menghidap barah menyebabkan kaki terpaksa dipotong. Walaupun sukar terima hakikat mereka terpaksa mengorbankan sesuatu yang selama ini menjadi hak,jelasnya.

Azalina menjelaskan sikap pemaaf dan senang mengalah, menyebabkan 80 hingga 90 peratus wanita memberi peluang kedua. Saya tidak fikir mengalah satu kelemahan wanita. Secara semula jadi Tuhan menjadikan wanita itu lembut dan pemaaf. Tambahan pula wanita bersifat sensitif, tidak mudah melupakan seseorang yang sudah tinggal sebumbung kemudian hasil perkongsian itu pula mereka dapat zuriat. Saya fikir jika sekadar membabitkan emosi, wanita mampu terima semula suami ke sisi, kecuali jika dapat lelaki sadis, misalnya mendera, kaki pukul atau kaki terajang. Jika itu yang menimpa, mereka nekad menghindarkan diri, jelasnya.

Akuinya lagi, memang ramai wanita mengalah yang menyebabkan lelaki naik lemak. Pada anggapan lelaki bukanlah satu perkara yang memualkan jika bermain kayu tiga, sebab mereka tahu ada isteri atau wanita yang sanggup terima walaupun lebih 10 kali kena tangkap khalwat. Wanita memang terkenal dengan budaya cepat memaafkan sebab malas nak kecoh dan gaduh-gaduh. Apalagi bila kes terseret ke Mahkamah Syariah dan menyentuh bab agama. Wanita yang pada asalnya mahu mencari hak, lazim terkeliru apabila dibacakan hak untuk lelaki. Mulalah mereka tertanya-tanya, Apakah aku seorang Muslim yang baik andai tidak membenarkan suami kahwin lain, Melihat kelemahan wanita, lelaki mengambil kesempatan, takut-takutkan atau pujuk isteri yang akhirnya menyebabkan isteri juga yang makan hati.

Wanita yang beranak pinak, lebih matang memikirkan masa hadapan. Apabila melihat suami berubah, mereka cepat memaafkan tetapi sekali wanita memaafkan, kepercayaan tidak wujud lagi sepanjang hayat, they can forgive, but never forget, ujarnya. Menurutnya lagi atas dasar tersebut, orang tua mahu anak-anaknya berilmu, supaya tidak sewenangnya 'dipijak' suami. Jika kita berpelajaran dan tahu hak, ditinggalkan suami bukan bererti kita sudah sampai ke garisan penamat hidup. Mungkin itu bahagian masing-masing kerana diduga dengan cara demikian.

Ada di luar sana pasangan tiada masalah tetapi anak pula menderita sakit leukimia, suami kena kanser dan si isteri terpaksa menghabiskan sebahagian hidup merawat mereka.Kenapa tidak tengok kebaikan yang kita dapat, kalau semuanya sempurna, berapa orang hendak ingatkan Tuhan? Ada sesetengah perkara tidak boleh diubah, kecuali kita sendiri yang mesti hijrah dan menjadikannya sebagai cabaran.

Masalahnya kita terlalu manja dan terlalu takut. Dapat suami jahat tidak apa, suami liar pun tidak apa, suami ada simpan perempuan lain pun tidak apa sehingga memberi peluang berkali-kali.

Misalnya ada lelaki yang sanggup pilih perempuan yang memang sah jadi pelacur, tidak cantik dan tidak bermoral. Bukan mereka hendak sangat dengan wanita itu, tetapi sesat digoda iblis. Golongan ini melatah sampai tidak ingat isteri di rumah yang jauh lebih baik. Kalau begitulah kehendaknya, biar dia pergi kalau itu pilihannya. Sebab lelaki ni, kalau memang sudah gila perempuan bukan boleh diubah sekelip mata. Biarkanlah mereka pergi dan kita yang tinggal kena tabah hadapi dugaan. Tetapi kalau sudah wanita itu sendiri yang cinta sangat, orang cakap pun marah, terimalah suami seadanya tetapi jangan sesekali merungut atau komen.

Cuma saya simpati, ada sesetengah wanita hanya mendiamkan diri walaupun tahu suami berzina dan terang-terang di depan mata buat perkara tidak senonoh. Tolonglah, jangan bertahan sehingga ke peringkat demikian. Usah bimbang lagi dengan cemuhan jiran tetangga atau takut dengan gelaran janda. Sebagai wanita, ada masa kita harus menjadi pemaaf, mengalah dan menerima dugaan Tuhan dengan sabar tetapi sampai satu peringkat kita harus mengorbankan sesuatu demi masa depan yang lebih baik. #

Balik Menu Utama

line.gif (4491 bytes)