Teknologi Maklumat

-         Kita perlu perubahan minda

 

DALAM era kini bidang teknologi maklumat tidak asing bagi masyarakat. Perkembangannya dibantu dengan kesungguhan pihak atasan dan pusat-pusat pengajian tinggi, baik awam mahupun swasta. Tetapi, ramai juga tahu bahawa kesungguhan ini tidak selaras dengan kehendak yang sepatutnya dirancang. Mungkin terlalu pantas atau umumnya masyarakat Malaysia terlalu terikut-ikut tanpa menyedari akan kepincangannya.

Pandangan ini agak kontra, sewajarnya Muslimah bertemu dengan seorang tokoh pendidikan untuk bertukar pendapat. Kebetulan pula beliau yang dimaksudkan, DATUK DR. SYED OTHMAN ALHABSHI merupakan Presiden/Ketua Eksekutif Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Sebuah pusat pengajian tinggi swasta dan menawarkan kursus akan topik yang diperbincangkan.

syed.jpg (4259 bytes)
Datuk Dr. Syed Othman

Datuk Dr. Syed Othman berkelulusan B. Ec. (Hans) Universiti Malaya dalam bidang Statistik, M.S. (Statistik) Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat dan Ph.D dalam Ekonometrik dari Universiti Birmingham, United Kingdom. Ketokohan beliau juga disegani kerana lebih dua puluh tahun berkhidmat sebagai ahli akademik di empat buah universiti. Antaranya sebagai Dekan Fakulti Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia serta Universiti Islam Antarabangsa dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) di Universiti Utara Malaysia.

UNITAR adalah sama seperti universiti swasta lain di Malaysia. Menawarkan pelbagai kursus termasuklah kursus Teknologi Maklumat. Bercakap mengenai pendidikan saya lehih berpendapat pendidikan adalah berterusan tanpa erti penamat. Bersifat mahu mendengar, belajar dan di mana-mana sahaja. Dalam era teknologi maklumat segalanya pasti datang maka bagi mereka yang menolak dan tidak mahu menerimanya tentu sahaja akan ketinggalan," ulasnya pembuka bicara.

"Dalam pendidikan, bidang IT merupakan yang terkini. Misalnya kalau dahulu membuat kira-kira cukup sahaja dengan mesin kira tetapi kita sekarang menggunakan komputer. Tetapi, sekadar membuat kira-kira dengan komputer juga dikira ketinggalan kerana komputer berupaya memproses data, menganalisa dan sebagainya. Lihat sahaja kini, pasaraya-pasaraya besar, pusat membeli-belah dan segalanya menggunakan sistem kod (barkod). Dengan pembacaan harga, komputer berupaya menganalisa barangan tersebut, nilai stok terjual dalam sehari, sebulan dan setahun. Semuanya boleh berlaku serentak dan darinya boleh dianalisa dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara." Menurutnya lagi, adanya teknologi sebegini pengurusan manusia turut mudah, senang, cekap dan pantas. Aktiviti-aktiviti yang berlangsung juga lebih sistematik. Katanya lagi, perkara ini manusia harus faham begitu juga dengan isu Sekolah Bistari. Beliau berpendapat jika dahulu sistem syllabus dan kokurikulum diperkenalkan adalah untuk golongan pertengahan, ianya satu tindakan bijak. Tetapi, jika ia terus dipraktikkan buat golongan cerdik pandai ianya kurang bijak. Kepuasan buat mereka yang cepat tidak tercapai. Bagi yang sederhana mahupun yang kurang berupaya (cacat) pula, pencapaian mereka mungkin tidak setanding dengan yang cepat.

"Mungkinkah cara dan pendekatan pendidikan perlu perubahan agar golongan sederhana berpuashati dan yang ekstrim ini ikut berpuashati? Jadi, pendidikan sebagaimana? Adakah pendidikan biasa boleh diteruskan? Saya rasa masalah yang timbul adalah pendidikan akan datang bukan lagi pendidikan secara untuk ramai tetapi setiap individu itu perlukan pendidikan yang khusus. Bukan setakat peringkat sahaja tetapi minat juga. Kerana kemampuan dan kecemerlangan seseorang itu bukan terhad pada satu aspek sahaja." Berbalik kepada isu yang diperbincangkan, UNITAR juga mempunyai pendekatan tersendiri. Pendidikan bistari diserapkan mengikut kemampuan, minat serta kepantasan pelajar. Maksudnya, para pelajar diberi peluang untuk menghabiskan matapelajaran lebih awal. Segalanya berdasarkan teknologi maklumat, penggunaan CD rom dan segala bentuk teknologi.

Apabila menyentuh peranan IT khususnya internet, Datuk Dr. Syed Othman lebih menegaskan akan penggunaan positifnya. Bagi beliau soal negatif adalah perkara kedua yang tidak ada kesudahan. Negatifnya adalah perkara kecil yang diperbesar-besarkan.

"Pada pendapat saya, sikap ini lebih bersifat negatif. Sangat negatif. Sebab apa saya perhatikan banyak orang terharu dengan apa yang ada dalam internet. Cuba tanya kepada generasi muda ini, jika mereka tengok hari-hari tentu mereka jemu. Hakikatnya, manusia cepat jemu. Kalau mereka hendak tengok hari-hari lama kelamaan pasti mereka jemu juga akhirnya. Dan saya tidak nampak perkara ini perlu dirisaukan sebab penggunaan ke arah kebaikannya lebih banyak dari keburukan."

"Yang buruk ini selalunya berlaku kepada mereka yang nakal dan yang sengaja mencari. Tapi, kalau kita adakan satu cara yang mana orang tidak akan bersembunyi apabila menggunakan komputer. Mereka ini malu untuk melihat di hadapan orang lain meskipun suami atau isteri. Betulkan? Maka, apabila kita wujudkan persekitaran sebegini mereka tidak akan menengok dan akan berasa malu. Lama-lama minat itu habis, sekali memang berkeinginan untuk melihatnya lagi. Kerana ini lumrah manusia."

"Paling penting kita melihat akan kebaikannya yang banyak. Takkan kerana sebab yang satu kita menolak semuanya. Kerajaan Saudi halang sampai lima bulan dahulu internet ini, kini sedar bahawa tanpanya melambatkan manusia serta maklumat dan akibatnya banyak merugikan negaranya sendiri. Segalanya bermula sebab ketakutan yang diperkatakan tadi."

Mungkinkah peranan MIMOS mahupun manusia yang kurang berkesan?

"Saya betul-betul tidak kisah akan perkara ini. Saya perhatikan anak saya melayari internet. Siapa sekalipun jangan biarkan mereka melihat seorang diri. Wujudkan persekitaran sedemikian.

Misalnya membiarkan mereka duduk seorang diri dalam bilik yang berkunci, pastinya pelbagai perkara akan berlaku. Di pejabat pula, siapa yang boleh melayari internet dalam salah laku negatif?" "Soal internet maniac pula, ianya soal kecil. Sebagai contoh anak saya main chit chat sampai dua tiga pagi.

Ketika itu di tingkatan tiga. Saya beri peluang tapi tidak lama sebulan dua jemu. Manakala keputusan peperiksaannya turut cemerlang. Tidak ada apa penghalang dan alasannya." Menyentuh soal pengisian dalam perisian teknologi maklumat ini yang berkemungkinan tidak sejajar dengan pembangunan insaniah, Datuk Dr. Syed Othman sekadar menyimpulkan kesalahan tersebut jatuh di bahu masyarakat kita sendiri. Jarang memasukkan bahan-bahan bercorakkan islamiah. Kalau adapun dari kalangan orang yang bukan Islam dan orang Islam lain dari ahli sunnah wal jamaah. Pada beliau tidak perlu menyalahkan orang lain yang sekadar memainkan peranan untuk merosakkan kita sedangkan kita tidak berusaha untuk memajukan diri dan agama kita sendiri.

"Kita adalah pengguna. Apa yang ada kita guna. Kalau kita sendiri hendak memasukkan maklumat sering kita tidak buat. Saya perhatikan banyak yang hendak dibuat, bermacam-macam kita usaha tapi tidak menjadi. Saya cukup kecewa. Contohnya saya mempunyai beratus-ratus artikel untuk dimasukkan ke dalam homepages tapi yang kelihatan cuma 20 sahaja. Orang kita jugakan? Maknanya kita mesti menggalakkan orang kita sendiri yang mengisi pengisian ini agar lebih berbentuk islamik." "Kita sememangnya terlewat dalam teknologi maklumat. Pada tahun 1990, MIMOS didirikan, barat telah lebih 15 tahun dan sampai sekarang berapa cepat masyarakat yang menggunakan IT. Saya rasa tidak sampai sejuta. Jadi, bagaimana kita ingin kata begitu dan begini kerana umumnya masyarakat kita cukup takut dengan perkara baru ini. Tanpa sebab yang tidak nampak. Selalunya orang nampak perkara buruk berbanding perkara baik. Seolah-olah setitik dakwat dalam kertas putih yang besar. Perlukah kita takut akan setitik hitam berbanding dengan warna putih yang luas. Inilah andaiannya." Bagi beliau segalanya bermula dengan perubahan minda positif. Logiknya melihat perkara negatif ini akan mendatang mudarat dan sebagainya tetapi mengapa ada yang teringin untuk membuat dan melihatnya. Jadi, manusia pokok pangkalnya. Minda mereka harus matang, berfikiran kreatif dan positif. Begitu juga kalau kita melihat seseorang, biarlah yang positif. Beri penghargaan kepada yang positif. Dengan melihat perkara positif automatik seseorang manusia akan berfikir bahawa dengan bersikap positif pasti orang lain akan hargai. Dengan itu mereka yang negatif jadi positif.

"Buat apa kita sibuk memikirkan titik bengit perkara kecil. Banyak lagi kebaikan dari internet dan IT ini. Al Quran telah mendidik kita agar berbuat perkara baik dan berulangkali diulang ayatnya misal soal solat, zakat dan sebagainya tetapi perkara yang ditegah amat sedikit berbanding yang disuruh. Di sini kita simpulkan sahaja bahawa yang haram telah autoriti untuk tidak dibuat dan secara automatik tidak akan dilakukan tetapi berapa banyak perkara yang baik dan halal dibuat?" "Pada saya jika dengan teknologi kita dapat menyelesaikan banyak perkara, pasti dalam teknologi itu sendiri ada masalah. Begitulah yang berlaku meskipun berjaya, dalam masa yang sama masalah tetap ada dan tidak akan berhenti. Ini teknologi bukan maklumat. Maka, saya tetap terima bahawa ini adalah satu cabaran bagaimana hendak mengurangkan masalah. Agar orang menggunakan juga turut merasa senang. Dan yang lebih penting manusia itu sendiri," tegasnya menutup bicara.

Oleh SUZILAWATI ROZAINOR ABAS