Kesihatan

Sudut Kesihatan
Shoutus Syabab DPPKD

line.gif (4491 bytes)

SENGGUGUT Dalam Rawatan Moden, Tradisional dan Komplimentari
Oleh DR OSMAN NASIR

CARA-cara perubatan dan rawatan moden allopathy, moden komplimentari, tradisional Cina dan Melayu untuk sesuatu penyakit akan dipaparkan kepada pembaca sekelian pada kali ini.

Tujuan saya ialah agar para pembaca tahu bahawa telah wujud di negara kita bermacam-macam cara perubatan yang boleh anda pilih untuk mengubati sesuatu penyakit dan pesakitnya. Ada jenis perubatan yang telah wujud sejak zaman nenek moyang kita dan cuba dipadamkan oleh kaum penjajah ketika mereka memerintah negara kita tapi mereka tidak berjaya dan sekarang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) melalui World Health Organization (WHO) telah mengarahkan kepada semua negara dalam dunia agar menerima semua jenis perubatan ke dalam sistem kesihatan negara. Di antara negara-negara yang telah pun menyahut arahan ini ialah negara-negara Latin Amerika, India, China dan Indonesia. Di Indonesia misalnya, perubatan tradisionalnya sudah ditaraf antarabangsa dan dibenarkan dipraktikkan di hospital kerajaan dan di balai-balai khusus pengubatan tradisional di bawah penyeliaan kerajaan.

Di negara kita Malaysia, langkah pengiktirafan perubatan tradisional dan komplimentari sedang diusahakan oleh Kementerian Kesihatan dan sekarang sudah ditubuhkan Jawatankuasa Tetap Perubatan Tradisional dan Komplimentari. Jawatankuasa ini mempunyai wakil dari setiap jenis perubatan.

Apa yang saya tulis ini hanyalah untuk pengetahuan sahaja, walaupun saya sebutkan jenis-jenis ramuan sesuatu ubat janganlah anda cuba membuatnya sendiri di rumah kerana hanya yang ahli sahaja tahu membuatnya. Lagipun kerajaan telah memperkenalkan undang-undang pengawalan ubatan tradisional dan komplimentari di mana hanya bertauliah sahaja dibenarkan memproses ubat-ubatan itu. Saya terpaksa sebutkannya di sini kerana dalam tulisan-tulisan yang serupa dalam akhbar HARAKAH, saya telah mendapat banyak panggilan telefon mengenai cara membuat ubatan itu, tapi saya telah terangkan bahawa pembuatan ubat-ubatan adalah rumit dan tidak boleh dibuat oleh sebarang orang melainkan yang telah menerima latihan mengenainya. Misalnya-mencari dan menyimpan daun, akar kayu dari tumbuhan adalah dilakukan ahlinya-botanis; mencari bahan-bahan dari haiwan dilakukan oleh zoologist dan dari bahan-bahan kimia oleh ahli kimia (chemist); sementara yang mengadunkan ramuan untuk dijadikan ubat adalah ahli farmasi terlatih di bidang perubatan tertentu.

Oleh kerana saya mahir di bidang perubatan Homeopathy, maka apabila saya hendak menulis dari segi perubatan tradisional saya menghadapi banyak masalah kerana kekurangan buku mengenainya tambahan lagi buku-buku mengenai perubatan tradisional Melayu sangat terhad cetakannya. Ini adalah kerana tidak banyak ahli perubatannya suka menurunkan ilmu dan jika anaknya enggan mengamal ilmu itu ianya terkubur bersama tuannya-betapa ruginya ilmu perubatan tradisional Melayu ini.

Kali ini saya ingin membicarakan penyakit SENGGUGUT yang biasanya menyerang anak-anak gadis. Biasanya senggugut akan hilang bila seseorang gadis itu telah berkahwin dan beranak pinak. Dan senggugut tidak akan datang lagi. Namun ada pengecualiannya di mana terdapat juga kaum wanita yang masih mengalami penyakit senggugut walaupun sudah beranak pinak dan juga pada wanita post menopaus; yakni wanita yang sudah melalui zaman menopaus tetapi darah haid datang semula.

Senggugut atau dismenorea (Dysmenorrhoea) ialah rasa sakit atau tidak selesa ketika datang haid. Senggugut biasanya bermula sejak seorang gadis berumur belasan tahun dan boleh berpunca daripada masalah kesihatan atau penyakit.

Senggugut dikaitkan dengan pengeluaran berlebihan bahan yang disebut prostaglandin dari lapisan dalaman rahim (uterus) semasa haid. Prostaglandin mengakibatkan kontraksi otot rahim dan perubahan pembuluh darah. Keadaan ini menimbulkan rasa ngilu atau sakit ketika haid. Ketulan darah haid yang membeku boleh juga menyekat aliran keluar darah dan meningkatkan tekanan intrauterin sehingga menyebabkan rasa sakit. Senggugut boleh juga disebabkan oleh penyakit seperti penyakit keradangan pelvis atau pinggul, endometriosis dan kanser rahim. la ditandai oleh rasa senak di bahagian bawah abdomen selama beberapa hari sebelum haid dan kadangkala berlangsung sehingga selesai haid. Penderita senggugut ada kalanya mengeluh akan masalah kekerapan membuang air kecil, cirit birit, pening, kembung, rasa sakit di buah dada, kemurungan dan rasa cepat marah.

Senggugut yang biasa yakni bukan kerana penyakit lain dalam tubuh akan hilang setelah anak gadis itu kahwin dan melahirkan anak pertama.

Manakala senggugut akibat penyakit pula memerlukan rawatan khusus bergantung kepada penyebab penyakit. Di peringkat ini pesakit dinasihat berjumpa doktor untuk rawatan dan ubat.

Rawatan Tradisional China

* Goreng 120 gram hati kambing, 90 gram chives (tumbuhan kecil serupa bawang), sedikit kecup. Gunakan minyak kacang tanah. Untuk dimakan.

* Goreng dengan api kecil 30 gram cendawan hitam, taruh semangkuk air, kemudian taruh 15 gram gula penyedap rasa. Ini hanya untuk haid melimpah dan rasa panas. Jangan makan jika ada kekurangan darah ketika haid. (blood deficiency) " Masak 120 gram daun sadri beserta 120 gram akar bunga teratai dengan minyak kacang tanah (peanut pil). Bubuh garam secukup rasa. Untuk haid tidak regular dan pendarahan dari faraj dengan rasa panas.

* 30 gram halia yang telah dikeringkan, 30 gram gula merah dan 30 gram buah kurma merah berbiji direbus. Minum. Baik untuk haid dengan rasa sejuk pada tubuh.

* Rebus dalam tiga gelas air-24 gram halia segar, 30 gram kurma merah dan 9 gram lada merah (red pepper). Rebus hingga airnya menjadi setengah dari asal. Minum ketika panas untuk kelegaan senggugut yang diiringi dengan rasa sejuk.

* 250 gram sotong digoreng dengan minyak sayur dan dicampur dengan 40 gram halia segar yang dihiris halus dan garam secukup rasa. Boleh melegakan haid tertekan, (relief of suppression of menstruation)

(Chine System of Food Cures-Henry C. Lu).

Rawatan Tradisional Melayu

* Ambil paru-paru ayam, jangan dibasuh, bubuh di atas tungku panas. Sudah ia masak, ambil batu tungku itu diletakkan pada celah kelangkang. Apabila sudah sejuk ambil ubat itu makan sambil duduk bertinggung di atas tungku itu.

* Ambil limau nipis atau limau kapas (Citrus aurantifolia) tujuh biji, yang masak ketujuhnya itu, ambil airnya. Kemudian ambil beras segenggam erat; rendam. Lepas itu pipis, bubuhkan di dalam air limau itu. Minum tiga pagi.

* Ambil daun bunga pekan (Jasminium curtisi) segenggam erat, bawang putih tujuh ulas (Allium sativum), lada sulah (decorticated pepper) tujuh biji, ujung melukut (Urophyllum globrum), mata kunyit (Curcuma domestika longa) dan hempedu landak (Barleria prionitis), airnya air bermalam, perbuat lempeng; dimakan atau diminum.

* Ambil daun benalu (Hemigraphes colorate) segenggam erat, lada sulah (decorticated pepper) tujuh biji, bawang putih (Allium sativum) tunggul sebiji; pipis, airnya cuka. Minum tiga pagi, lebihnya sapukan diperut dan ari-arinya.

* Ambil lengkuas (Alpinia galanga) tumbuk, ambil patinya seruas jari. Kemudian bubuh garam siam (garam halus) tiga buku, minum tiga pagi.

* Ambil daun ati-ati (Coleus atropurpureus) segenggam erat; ramas, ambil patinya. Minum tiga pagi.

* Ambil daun tembangau (Glochidion superbum); tumbuk dengan hujung melukut (Urophyllum globrum), mata kunyit (Curcuma domestica) dan jintan hitam (Nigella sativa). Minum tiga pagi.

* Ambil daun timba tasik (Adenosma caeruleum), lada sulah tiga butir, bawang putih tiga ulas, jemuju (Caraway seeds), jintan hitam sejemput; semuanya pipis dan minum ketika sudah haid.

(Warisan Perubatan Melayu-A Samad Ahmad DBP).

* Bunga ros (Rosa chinensis), sebanyak 15-20 gram bunga ros segar disedut dan diminum beberapa kali setiap hari. Dalam perubatan tradisional China juga digunakan bunga ini.

* Pokok Jarong, seluruh pokok ini direbus-9 hingga 15 gram kering atau 30-60 gram segar-dan diminum.

(Warisan Ubat Farmakopia Melayu-Hj Hassan, Singapura).

Semua contoh-contoh perubatan tradisional yang tersebut di atas hanyalah sedikit dari lautan ilmu tradisional kita dan ianya sekadar untuk pengetahuan pembaca. Jika ada yang bermasalah, sila jumpa dengan ahli perubatannya untuk rawatan dan ubat.

Rawatan Moden Allopathy

Ada berbagai ubat yang mungkin diberi pada pesakit berdasar kepada hasil pemeriksaan doktor-seperti anti-prostaglandin drug dan pil rancang. Penggunaan botol air panas dan mandi air panas juga disarankan.

Rawatan Moden Homeopathy

Satu lagi rawatan moden komplimentari ialah Homeopathy yang menggunakan ubat-ubatan tanpa dadah dan tanpa racun (drug).

Pesakit dinasihat berjumpa doktornya untuk mendapat ubat yang tepat yang akan diberi berdasarkan gejala-gejala pesakit. Di antara ubat-ubatnya ialah Apioline, Belladonna, Cantharis, Pulsatilla, Phosporus, Mercury, Sabina, Inula, Murex, Natrum Muriaticum.


#

Balik Menu Utama

line.gif (4491 bytes)