Cetusan Minda . . .



Persidangan "Turning Over

Perhimpunan Agung Umno ke-53 yang selesai pada 18 Jun lalu barangkali menyedarkan Presidennya, Dr Mahathir Mohamad bahawa dirinya telah menjadi "duri dalam daging" kepada Umno. Selama hampir sembilan bulan, mulai 2 September 1998 (tarikh pemecatan Anwar Ibrahim sebagai TPM dan Timbalan Presiden Umno) peribadi Mahathir berada di tahap paling buruk di kacamata sebahagian penduduk Malaysia, terutama mereka yang pro Reformasi dan gagasan pembangkang.

Dalam ucapan perasmiannya pada perhimpunan kali ini, antara lain Mahathir menyebut, jika dalam ucapannya itu dia menggunakan perkataan "saya", bukanlah bermaksud dia sudah menukar tabiat atau ingin menarik perhatian kepada dirinya, atau untuk membela dirinya, sebabnya, kerana musuh negara dari dalam dan luar negara sedang menggunakan "saya" (dirinya) sebagai belantan untuk membelasah dan menghancurkan Umno, sekali gus menidakkan peranan politik orang Melayu dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Mahathir menambah lagi, "usaha berterusan sedang dibuat secara bersungguh-sungguh untuk menebalkan kebencian kepada diri saya dimana kebencian ini akan menyebabkan orang Melayu menolak Umno. Mereka percaya walaupun yang akan terhasut oleh mereka hanyalah sebilangan kecil daripada orang Melayu yang menyokong Umno, tetapi mungkin dapat melemah dan menjejaskan perjuangan Umno dan mengurangkan majoriti dua pertiga bagi BN yang mana ini adalah penting bagi kestabilan negara dan kemajuannya." "Sebab itulah kali ini saya banyak menyebut ‘saya’ kerana terdapat keperluan untuk menjelaskan akan apa yang sebenarnya dilakukan oleh saya, kerana kredibiliti saya telah dijadikan satu isu pada masa ini," ujar Mahathir yang kini sudah beroperasi di bangunan indah JPM di Putrajaya.

Kenyataan Dr Mahathir sememangnya ada kebenaran. Dia sudah dijadikan ‘belantan’ dan bahan asakan dari pelbagai pihak sejak pemecatan timbalannya, Anwar. Imejnya ‘merudum’ dan jasa-jasa yang pernah dilakukan oleh beliau sepanjang memegang jawatan PM selama 18 tahun semakin dilupakan. Mahathir benar-benar tahu dan barangkali dia tidak menduga begitu kuat arus penentangan yang sedang dibawa oleh Anwar sekarang. Ini terbukti apabila media pembangkang meningkat jualannya berkali ganda, ceramah pembangkang terus mendapat sambutan dengan jumlah kutipan wang yang lumayan, keanggotaan baru PAS yang rancak bertambah. Dan terpenting sekali rakyat umum sudah berani bercerita mengenai politik anti establishment secara terbuka, dengan alasan mereka sudah matang! Arus penentangan terhadap Mahathir mungkin juga mengejutkan sebahagian besar pemimpin dan ahli Umno lainnya. Sudah ada sahabat handai, saudara mara mahupun keluarga terdekat mereka yang secara lantang menentang Umno. Yang lebih berani terus menyertai pembangkang. Cawangan baru pembangkang tumbuh bagaikan cendawan, termasuk dalam kubu kuat Umno sendiri.

Pemimpin dan ahli Umno dari pelbagai peringkat terasa bahan kebangkitan pembangkang ini. Dalam tempoh sembilan bulan, ada sesetengah pemimpin dan jawatankuasa bahagian yang ‘kelabu’ dengan situasi yang ada. Pemimpin dan jawatankuasa cawangan apatah lagi. Masing-masing dalam keadaan tunggu dan lihat, termangu-mangu dan sesetengahnya seperti ‘ayam berak kapur’. Apabila ada orang atau kumpulan penentang terus ‘menyerang’ dan ‘menyumpah seranah’ Mahathir, pemimpin ini kehilangan hujah.

Lebih melucukan sudah ada juga suara-suara kecil dan sumbang dari pemimpin bahagian mengatakan, "alangkah moleknya Mahathir berundur kerana imej Umno semakin buruk sekarang!" Mereka sedar, Mahathir menjadi punca kekalutan ini. Mahathir menghentam ulama, Mahathir mengamal kronisme dan nepotisme, Mahathir membazir wang rakyat dengan projek mega dan kediaman rasmi canggih serta pemecatan Anwar sedikit sebanyak memberi bahana kepada Umno.

Sebagai orang politik, Mahathir sedar dari mana punca segala kekalutan ini. Dia sedar, siapa yang memulakan dan siapa yang mengambil kesempatan. Dia cukup tahu, situasi serba salah di kalangan pemimpin dan ahli peringkat bawahannya. Dan barangkali perkara yang cukup menakutkan ialah ahli-ahli dan pemimpin Umno bawahan sudah kehilangan keyakinan pada dirinya dan parti.

Mahathir perlu berbuat sesuatu. Dia perlu memulihkan semula kepercayaan dengan melakukan "turning over" terhadap perwakilan dan orang ramai.

Dan akhirnya Mahathir bertindak juga. Dia kembali menjadi seorang ahli politik sebenar. Dalam perhimpunan itulah dia mendedahkan segala-gala yang terbuku. Mahathir mempunyai banyak pilihan dan antara pilihannya adalah Anwar. Dalam tempoh sembilan bulan, dia sudah melihat kekuatan dan pengaruh Anwar dalam masyarakat massa. Dan barangkali selepas meniti dari detik ke detik, dia sedang menunggu di mana pula kelemahan Anwar.

Terpulang kepada massa untuk menilai, walaupun ada pihak yang menyifatkan ia "agak terlambat". Dan apabila Mahathir menjadi manusia ‘politikus sebenar’ kita akan menunggu ‘tikaman’ demi ‘tikaman’ yang bakal dilakukan selepas ini ...

[ Balik ke Shoutus Syabab ]