Mutiara Ilmu

Sudut Mutiara Ilmu
Shoutus Syabab DPPKD

line.gif (4491 bytes)

Ketahuilah Adab Berdoa Agar Doa Dimakbulkan
Syarat Berdoa Yang Betul

Bila kita berdoa dalam masjid ataupun surau, kita akan dapat melihat ramai orang berdoa selepas mendirikan sembahyang. Cara mereka itu berdoa ada macaam-macam. Ada yang berdoa angkat tangan tinggi. Ada yang meletakkan tangan di atas lutut.

doa.jpg (3662 bytes)

Kalau yang berdoa itu secara bersendirian, ada yang kelihatan begitu khusyuk. Ada pula yang matanya melihat ke sana ke mari, walaupun mulutnya komat kamit membaca (berdoa).

Kalau pula yang mengaminkan ketika imam membaca doa, kita akan melihat ada diantaranya bercakap-cakap dengan kawan sebelahnya, walaupun tangannya diangkat menadah amin yang imam sedang membacanya.

Ada pula yang matanya berkeliaran mencari sesuatu walaupun orang lain sedang menadah amin, tetapi dia sendiri tidak memberikan perhatian khusus kepada doa itu. Pendeknya berbagai cara yang boleh kita lihat ketika kita masuk ke dalam masjid ataupun melihat orang yang sedang berdoa atau pun sedang mengaminkan doa.

Sebenaarnya doa itu adalah puncak ibadah. Kita berdoa hendaklah khusyuk, rendah diri dengan hati yang sepenuhnya. Kita mestilah berhati-hati ketika berdiri dihadapan Allah tidak dengan hati yang lalai, kerana hal ini akan melibatkan diri kita kepada kemurkaan Allah s.w.t.

Sebaik-baik atau seutama doa itu ialah doa waktu tengah malam. Yang paling cepat dikabulkan, ketika hati itu khusyuk sehingga seorang hamba menghadap kepada Allah s.w.t. secara keseluruhannya.

Alangkah indah hamba yang hina lagi miskin di hadapan Tuhan Yang Maha Agung, Maha Belas Kasihan, Maha Penyayang dengan tangan kanan dan kiri dengan hati yang mengharap sangat khusyuk lagi ikhlas. Sebahagian dari syarat doa yang dikabulkan supaya makanannya halal, terus berdoa tidak putus-putus.

Bila seorang hamba hendak berdoa kepada perkara yang penting, hendaklah kita mendahulukan dengan doa dan sedekah dengan memohan keredhaan dari Allah s.w.t Kita hendaklah taqarub kepada Allah. Hendaklah kita memperbanyakkan memohon bantuan kepada Allah, bersujud dengan wajah dahi yang mulia ke atas tanah atau debu dengan mengalirkan air mata dan merendahkan diri kepada Allah semampu yang boleh.

Pada hakikatnya bagi doa itu ada beberapa rahsia yang samar, agar kita mengangkat doa itu kepada Allah dengan hati ynag hadir dan sangat mengharapkan dengan maksud yang baik.

Adalah tidak patut sama sekali kita berdoa dengan hati yang lalai sebagaimana yang disebut tadi iaitu sambil bercakap-cakap dengan kawan-kawan di sebelah kita, mata kita liar memerhati ke kiri dan ke kanan, sambil tertawa dan tersenyum-senyum dan sebagainya lagi.

Cara ini adalah cara lalai dan tidak mempunyai keinsafan kepada selain Allah s.w.t, dan ini adalah rahsia bagi orang yang memahami Allah dalam doa mereka.

Dalam berdoa itu ketika memohon sesuatu kepada Allah, kita hendaklah bersopan dengan Allah. Kita tidak mengeraskan suara sebagaimana firman Allah dalam surah Maryam ayat 3 yang maksudnya: "Ketika mendoakan kepada Tuhannya dengan doa yang perlahan." Dalam surah al-Baqarah ayat 190 Allah berfirman lagi yang maksudnya:

"Sesungguhnya bahawa Dia tidak mencintai orang-orang yang melampaui batas." Nabi Besar Muhammad s.a.w. dalam soal doa ini bersabda yang ertinya: "Akan ada pada akhir zaman beberapa kaum melampaui batas dalam berwuduk dan berdoa." Setelah para ulama berpendapat bahawa doa itu adalah ibadah yang baik yang bebas dari riak dan ujub dari segala yang dikhuatirkan dan perkara-perkara yang merosakkannya.

Doa itu satu saranan yang menegaskan seorang hamba kepada makam Ubudiyah dengan hina, khusuk dan tenteram, kerana itulah ibadah ini diangkat lebih dari banyak ibadah. Barangsiapa yang ditenggelami kenikmatan, dan berlebihan dalam hawa nafsu serta merendahkan doa sambil berlalai dan acuh, dia akan menghadapi petaka.

Dalam soal ini Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda yang ertinya: "Barangsiapa yang tidak minta kepada Allah, Allah murka kepadanya. Sesungguhnya, bahawa Allah jika tidak diminta Dia murka." Sabda Nabi lagi yang ertinya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. belas kasih, pemurah, maka dari seorang hamba, bila menadah kedua saingannya untuk ditolaknya dengan hampa, tidak meletakkan pada kedua tangannya kebaikan." Yang demikian marilah kita berdoa dengan mengikut syarat dan peraturan yang betul sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi.

Janganlah kita berdoa sambil ketawa-ketawa, dengan hati yang tidak khusyuk dan tidak mempedulikan syarat-syarat yang ditentukan itu. Semoga doa kita dikabulkan oleh Allah.

Balik Menu Utama

line.gif (4491 bytes)