PAS DALAM KONTEKS PILIHAN RAYA
              
Oleh: Wan Nik Yussof Ngah 
Mukadimah 
Sesungguhnya  perjuangan  Islam  yang diperjuangkan oleh 
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada  hari  ini merupakan warisan 
perjuangan  dari  Rasulullah  SAW.  Semasa  hayatnya, 
baginda telah melaksanakan  tugas  perjuangan  dengan  penuh 
tabah dan ketaqwaan.  Apa yang  diimpikan oleh baginda tidak lain 
ialah untuk mempastikan Islam terus terbela, berkembang dan memerintah dunia 
ini.  Maka atas hasrat inilah PAS mengikuti dan mencontohi sunnah  
Rasulullah  SAW  tersebut  demi  mempastikan Islam  
menguasai dan memerintah negara kita ini. 
Fikrah Para Pejuang Islam 
 Sehubungan dengan itu,  setiap  pejuang  PAS  
bertanggungjawab memahami  tugas  dan  tanggungjawab  
serta  membuat persiapan  rapi  bagi  mempastikan  
kemenangan  Islam.  Firman Allah SWT; Surah Al-Anfaal (60), 
maksudnya,  Dan siapkanlah bagi  menghadapi   mereka 
(musuh),   hendaklah   membuat persiapan yang secukupnya - 
sedaya upaya  kamu  dengan  segala  kekuatan yang perlu. 
Surah As-Saaf (4), maksudnya, Sesungguhnya Allah amat kasih kepada  
orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun rapi seumpama 
suatu binaan kukuh.Surah At-Taubah (5), maksudnya, "Tawanlah mereka, kepunglah 
mereka dan tunggulah mereka di setiap tempat pengintipan". Dan Firman Allah SWT 
lagi dalam Surah An-Nur (55), maksudnya, Allah telah berjanji kepada orang-orang 
yang  beriman  di antara kamu dan  mengerjakan  amal-amal 
yang  soleh  bahawa  Dia  sungguh-sungguh  akan  
menjadikan  mereka  berkuasa di bumi, sebagaimana  Dia  
telah  menjadikan  orang-orang  yang   sebelum mereka 
berkuasa. 
 Sementara Rasulullah SAW pula bersabda, "Apabila satu-satu tugas diberi 
kepada  orang-orang  yang tidak layak, tunggulah saat kegagalannya". 
Diriwayatkan oleh Abu Musa, ketika Rasulullah s.a .w memerintah seorang 
sahabatnya untuk melaksanakan perintahnya, baginda bersabda, "Sampaikan khabar 
gembira dan jangan menakut-nakuti. Permudahkanlah dan janganlah mempersulitkan". 
 Diriwayatkan daripada Said bin Burdah dari ayahnya, dari neneknya, 
sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah mengutusnya bersama Mu'az pergi ke Yaman. 
Sebelum berangkat Rasulullah s.a.w berpesan, "Permudahkanlah dan jangan 
mempersulitkan. Sampaikanlah khabar gembira dan janganlah menakut-nakuti. Dan 
bertimbang rasalah dan jangan selalu berselisih". Diriwayatkan oleh Jabir dan 
Abu Hurairah,  sabda Rasulullah s.a.w "Peperangan itu tipu daya".Daripada 
Abu Hurairah sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda, "Janganlah kamu mengharapkan 
bertemu dengan musuh. Tapi jika kamu bertemu dengan mereka maka bersabarlah". 
 Daripada Anas bin Malik meriwayatkan "Pernah Rasulullah s.a.w berperang 
dengan mengajak Ummu Sulaim. Bahkan beberapa wanita Ansar juga pernah ikut 
berperang bersama baginda. Tugas wanita-wanita Ansar itu ialah memberi minum dan 
mengubati pasukan yang terluka". 
 Daripada Abu Hurairah dan daripada Nabi Rasulullah s.a.w , sesungguhnya 
bersabda, "Barangsiapa yang keluar dari taat dan memisahkan diri dari jema'ah, 
lalu dia mati, maka matinya secara jahiliah. Barangsiapa yang berperang secara 
membabi buta dengan emosi kerana membela atau mempertahankan umatnya, lalu dia 
terbunuh, maka dia terbunuh secara jahiliyah. Dan barangsiapa yang memusuhi 
umatku sehingga dia pukul mereka semua tanpa mempedulikan orang-orang yang 
seharusnya dijamin  keamanan mereka dan tanpa mengabaikan janji-janji 
mereka yang dia buat sendiri, maka dia bukan termasuk golongan aku, dan aku pun 
bukan termasuk golongannya. 
 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w bersabda, 
"Barangsiapa yang melihat sesuatu yang tidak menyenangkannya pada pemimpinnya, 
maka hendaklah dia bersabar kerana sesungguhnya orang yang memisahkan dirinya 
dari jemaah walaupun sejengkal lalu dia mati, maka kematiannya adalah seperti 
kematian orang-orang jahiliyah". 
 Dari Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w besabda, "Allah akan 
menjamin orang-orang yang mahu berjihad di jalanNya, orang yang keluar dari 
rumahnya hanya untuk berjihad di jalan Allah dan membenarkan kalimahNya, maka 
Allah akan membalasnya dengan balasan syurga, atau akan mengembalikan ke 
rumahnya di mana dia berangkat, bersama-sama pahala atau ghanimah". 
 Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Nabi s.a.w bersabda, "seorang yang 
terluka dijalan Allah dan Allah pasti mengetahuinya, maka pada hari kiamat kelak 
dia akan datang dengan membawa luka yang masih baru, warnanya adalah warna darah 
dan baunya bau minyak kasturi". 
 Dan Saidina Ali Karramallah hu Wajhah berkata,"Perjuangan yang benar 
dengan  tidak  mempunyaj  strategi teratur lagi berkesan, akan 
tewas apabila berhadapan  dengan  perjuangan yang batil tetapi teratur 
rapi". 
 Asy-Syahid Hassan Al-Banna, menyebut dalam Risalah At-Ta'lim; bagi 
setiap orang masing-masingnya mempunyai jalan yang ia sukai, maka hendaklah kamu 
berlumba-lumba ke arah perkara kebaikan dan kebajikan. 
 Amalan atau pekerjaan merupakan buah hasil daripada ilmu pengetahuan 
dan ikhlas, seperti firman Allah (at-Taubah:105), bermaksud, "Dan katakanlah, 
bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang mukmin akan melihat 
pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan 
yang ghaib dan yang nyata". 
 Pergorbanan ialah menyumbangkan jiwa raga, harta benda, masa dan hidup 
serta segala sesuatu untuk mencapai matlamat kita. Sementara taat setia 
bermaksud menjunjung perintah dan melaksanakannya dengan serta merta, sama ada 
ketika susah atau senang, ketika bersedia atau terpaksa. Demikian lagi, tetap 
pendirian bermaksud sentiasa berada di dalam jama'ah dengan terus bekerja dan 
berjuang bersungguh-sungguh demi mencapai matlamat perjuangan sekalipun akan 
memakan masa yang lama. 
  Hassan al-Banna 
 Fikrah yang ditanam oleh Hassan Al-Banna kepada ahli Ikhwanul Muslimin 
adalah sama dengan amalan/kerja dalam PAS iaitu  "memimpin masyarakat 
dengan cara menyebarkan seruan-seruan kebajikan dan dakwah Islamiyah di kalangan 
mereka, dan dengan jalan memerangi segala keburukan dan perkara-perkara mungkar 
dan dengan menggalakkan ahli-ahli masyarakat itu mengamalkan sifat-sifat yang 
mulia serta dengan menyuruh mereka berbuat kebaikan dan menyegerakan 
perkara-perkara kebajikan. Selain daripada itu, ia hendaklah berusaha sedaya 
upaya untuk menarik fikiran orang ramai supaya suka dan cinta kepada idea dan 
ajaran Islam dan sentiasa mencorakkan lapangan-lapangan kehidupan mereka dengan 
corak keIslaman. 
 Kemudian Fathi Yakan menyarankan kepada para pejuang Islam agar 
mengambil kira persoalan penguasaan dalam kehidupan dakwah dan pendakwah. 
Menurutnya: 
  "Penguasaan ialah kemampuan para pendakwah untuk menarik orang ramai 
dan memperkembangkan mereka sekalipun mereka itu terdiri daripada berbagai 
bentuk mentaliti, kecenderungan, status dan ilmu pengetahuan yang tidak sama. 
Kejayaan dakwah tidak akan tercapai tanpa penguasaan." 
  "Penguasaan membawa pengertian kemampuan peribadi, keahlian di sudut 
akhlak, sifat imaniyah dan anugerah Allah yang dapat menolong para pendakwah dan 
menjadikan mereka sebagai menara hidayah dalam masyarakat mereka." 
  Penguasaan terbahagi kepada penguasaan dalaman dan luaran. Penguasaan 
luaran ialah menguasai mereka yang berada di luar gerakan dakwah dan tanzim. 
Penguasaan dalaman ialah menguasai mereka yang telah berada dalam tanzim; yakni 
menguasai mereka yang telah ditanzimkan dan telah menggabungkan diri ke dalam 
amal-amal Islam dan gerakan Islam. 
  Melihat kepada fikrah perjuangan PAS, keyakinan yang ada adalah 
kekuatan dasar Islam yang menjadi tonggak perjuangan PAS. Justeru itu, benar 
sekali padangan Dr Ali Syari'ati bahawa ajaran Islam adalah menjadi sebahagian 
daripada faktor dasar yang berkesan membawa perubahan sosial. Seruan dalam 
al-Quran menyebut perkataan al-Nas bermaksud seluruh manusia.