DR MAHATHIR MUDAH MENANG DI PARLIMEN PUTRA JAYA

Sesuai dengan semangat korban yang dituntut oleh Islam pada setiap kali menjelangnya Aidiadha, maka sukalah saya menganjurkan kepada Dr. Mahathir untuk melakukan korban sebagaimana nukilan yang dibuat oleh Sdra. Anwar Ibrahim lewat perutusan Hari Rayanya yang memetik sejarah silam Imam Nawawi yang diminta oleh Sultan Malikus Saleh untuk mengeluarkan fatwa mewajibkan rakyat mengorbankan harta mereka bagi membantu negara dalam perang. Tetapi Imam Nawawi dengan tegas menyatakan bahawa Sultanlah terlebih dahulu harus mengorbankan segala harta yang dimilikinya yang kemudiannya barulah diikuti oleh setiap rakyat.

Dr. Mahathir patutlah menjadi contoh pertama seorang pemimpin negara yang wajib berkorban harta dan segala kemewahan yang dimilikinya atas keringat rakyat apa lagi diketika negara dilanda pelbagai krisis bermula dari krisis ekonomi dan kejatuhan nilai matawang, kegawatan aqidah yang melanda gadis-gadis Islam sehingga menjadi murtad sewenang- wenangnya ( akibat keengganan pemimpin UMNO untuk bekerjasama dengan pemimpin PAS bagi menggubal undang-undang anti-murtad di Parlimen), gejala bohsia, bohjan dikalangan remaja Islam, penggadaian tanah-tanah dan kampung- kampung orang Islam kepada pelabur-pelabur asing dan pelbagai lagi.

Dr. Mahathir tidak perlu berkorban wang ringgit untuk menunjukkan dirinya baik. Untuk publisiti murahan dan untuk kepentingan politiknya yang sudah sampai kepenghujung (mana tahu boleh sambung nafas lagi..) Dr. Mahathir hanya perlu korbankan mahligainya di Putrajaya yang menelan belanja RM200j. Apa yang Dr. Mahathir harus lakukan ialah mahligai itu diubahsuai untuk ditambah biliknya menjadi 4,000 atau 5,000 bilik.

Kemudian Dr. Mahathir hendaklah mengajak para penghuni setinggan yang terdapat disekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan termasuk mereka yang diusir dari kampung halaman mereka baru-baru ini untuk tinggal disitu. Kalau setinggan-setinggan ini masih tidak cukup juga, Dr. Mahathir bolehlah mengajak rakyat Burma dan Indonesia yang bakal menjadi pengundi hantu yang kini masih tersadai di Langkawi. Dan kalau tak cukup juga, bolehlah disediakan eksekutif jet yang telah dipesan dari syarikat Bombardier baru-baru ini untuk dibawa ke Sabah bagi mengangkut pengundi-pengundi hantu yang masih melepak di Kawang, Sekong, Likas dan tempat lain lagi untuk tinggal dimahligai tersebut.

Dr. Mahathir boleh bayangkan...5,000 bilik, bererti 5,000 keluarga bakal tinggal bersama PM. Kalau satu keluarga ada 4 orang pengundi, bermakna akan ada 20,000 orang pengundi duduk dimahligai Dr.Mahathir yang sudah pasti menjadi pengikut dan pengundi setia Dr. Mahathir. Inilah pengorbanan dua hala namanya dimana Dr. Mahathir mengorbankan mahligainya untuk pulangan undi yang bakal menyelamatkannya pada pilihanraya umum akan datang. Kalau Dr. Mahatir masih juga mungkin ragu-ragu dengan pengundi-pengundi (hantu) yang duduk dimahligainya, maka bolehlah mereka diberi status pengundi pos. Kemudian suruhlah Datuk Harun Din (Pengerusi SPR) pangkahkan kertas-kertas undi tersebut bagi pihak mereka. Datuk Harun Din memang cukup mahir selok belok penipuan sebegini.

Soal Putrajaya belum digazetkan sebagai kawasan pilihanraya Parlimen....Dr. Mahathir usah bimbang. Datuk Harun Din, Pengerusi SPR, adalah seorang yang bergeliga otaknya. Dia bisa aturkan untuk Dr. Mahathir dengan sekelip mata sahaja. Apa sangat

susahnya. Kan Parlimen boleh dijadikan 'rubber stamp' untuk mencapai matlamat ini? Apa sangatlah mission sekecil ini berbanding mission menghancurkan Anwar Ibrahim serta ahli keluarganya. Akhirnya Dr. Mahathir boleh menang mudah dikawasan Parlimen Putrajaya setelah rakyat Kubang Pas (u) menolaknya. Soal penolakan rakyat Kedah keatas kepimpinan Dr. Mahathir jangan dipertikaikan lagi. Bukti terbaru kehadiran mereka dalam perhimpunan yang diadakan di Mergong pada Khamis lepas (malam Jumaat) yang dianggarkan berjumlah 100,000 orang dan berjalan dalam keadaan hujan lebat dimana pemimpin-pemimpin PAS, Dr. Wan Azizah dan Dr. Chandra Muzaffar turut berucap adalah manifestasi kebencian mereka diatas kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh Dr. Mahathir.

Sikap hadirin untuk terus bertahan walaupun hujan lebat cukup untuk dijadikan bukti bahawa rakyat Kedah komited untuk melihat kehancuran Dr. Mahathir. Kalau Dr. Mahathir mengira dia boleh selamat bertanding di Lumut kerana disana akan terdapat banyak undi pos dari kalangan tentera laut, maka biarlah saya katakan bahawa sebahagian besar tentera laut juga sudah muak (nak muntahpun ada) dengan sikap beliau.

Saya terjumpa beberapa orang anggota TLDM Sandakan baru-baru ini, mereka semuanya menyatakan kebencian mereka diatas kezaliman yang dilakukan oleh Dr. Mahathir dan kroninya. Mereka bersungguh-sungguh nak melihat PAS dan gabungannya dalam GERAK/ADIL untuk mentadbir negara ini menjelang pilihanraya umum akan datang ini.Ramai dikalangan mereka meminta saya membekalkan HARAKAH kepada mereka. Dan pada kesempatan dipilihanraya lepas, ramai dikalangan mereka yang menghadiri program ceramah Tok Guru Nik Aziz dan Dato' Fadhil Noor.

Sebagai kesimpulan, Dr. Mahathir hendaklah memikirkan secara serius cadangan- cadangan (ikhlas?) dari saya yang dibuat berdasarkan situasi semasa. Kalau tidak, saya kira tidak akan ada lagi tempat selamat yang boleh ditandingi oleh Dr. Mahathir pada pilihanraya umum akan datang ini. Bayangkan....kemana Dr. Mahathir akan pergi untuk menyelamatkan dirinya sekiranya dia ditolak oleh rakyat...kemana????

HAMZAH ABDULLAH