Make your own free website on Tripod.com
Kuliah Reformasi 7

CARA GUNA INTERNET UNTUK REFORMASI

Kenapa kerajaan selalu berkuasa? Sebab ia kuasa minda rakyat.
Bagaimana ia kuasai minda rakyat? Kerajaan kuasai minda melalui media.
Sebab itu, kerajaan kawal media dengan sepenuh-penuhnya.

Tetapi rakyat sudah ada pilihan. Rakyat tidak bergantung pada media
kerajaan sahaja. Rakyat juga bergantung pada kaset ceramah, buku
politik dan Internet. Kaset, buku dan Internet adalah media-media baru
~ media yang menyalurkan suara rakyat dan media yang mengkritik
kerajaan.

Di negara-negara yang dikuasai oleh pemerintah diktator dan kejam (ala
Mahathir), rakyat langsung tidak boleh bersuara. Rakyat tidak boleh
berkumpul, rakyat tidak boleh berceramah. Oleh itu, rakyat duduk dalam
dunia sendiri. Tidak ada maklumat, dan jahil apa yang berlaku di
sekelilingnya.

Dalam media, kerajaan sentiasa baik walaupun rakyat dengar cerita
kezaliman kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan hidup mewah dan menindas
rakyat tetapi tidak dilaporkan oleh media. Tidak pernah ada silap pada
pemimpin kerajaan, pada jentera kerajaan dan pada pegawai-pegawai
tinggi kerajaan. Yang ada, salah dan "jenayah" orang yang menentang
kerajaan.

Untuk mengatasi keadaan ini, rakyat menubuhkan persatuan-persatuan
sulit dan mengumpul duit secara sulit. Kemudiannya, mereka menubuhkan
akhbar bawah tanah (underground press). Akhbar bawah tanah ertinya
akhbar yang tidak ada "pemit", diedarkan secara sulit untuk ahli-ahli
tertentu sahaja supaya jentera kerajaan tidak dapat mengesannya. Di
negara komunis contohnya, Al-Quran tidak boleh dibaca. Oleh itu,
gerakan rakyat menyebarkan Al-Quran secara sulit. Mereka juga menyebar
idea-idea demokrasi dan juga melaporkan perkembangan luar negeri agar
rakyat terbuka mata.

Orang yang buta huruf tidak tahu apa yang terjadi sebab dia tidak tahu
membaca hal-hal semasa. Begitu juga orang yang jahil maklumat. Samalah
dengan orang yang buta huruf. Syarat untuk membawa perubahan ialah
melalui celik huruf dan pendidikan. Syarat untuk melalukan perubahan
politik ialah pendidikan politik. Pendidikan politik hanya boleh
disalurkan melalui media-media yang bebas dan adil. Bukan media yang
ada kini.

Di negara kita, "underground media" sudah wujud. Tetapi bukan secara
sulit, malah diedarkan secara jelas. Antaranya, kaset ceramah
pembangkang, buku-buku politik dan kini, Internet. Internet kini sudah
sama taraf dengan akhbar harian. Setiap hari ada berita dan cerita.

Untuk meneruskan reformasi, kita perlukan internet. Kelebihannya ialah
internet boleh berada di mana-mana. Kerajaan sukar mencari siapa di
belakang laman web reformasi. Tidak salah memiliki internet. Tidak
salah baca bahan-bahan dalam internet. Kita boleh berhubung melalui
internet secara rahsia. Kita boleh tulis apa sahaja tentang kerajaan
melalui internet. Orang yang tidak ada kemahiran menulis pun, boleh
menulis dalam internet. Oleh itu, internet menjadi "underground press"
bagi gerakan reformasi.

Untuk menggunakan internet, kita mesti ada komputer dan talian
telefon. Kosnya tidak mahal. Antara 1500-2500 ringgit sahaja. Jika
anda tidak mampu, berkongsilah membeli komputer dan mendaftar talian
Jaring atau TMNet. Setiap rumah penyokong reformasi mesti ada internet.
 

Selain itu, wujudkan kelab-kelab komputer di sekolah, di pejabat, di
surau, di masjid dan kedai-kedai kopi. Sesiapa yang hendak membaca
internet, bolehlah dikenakan sedikit bayaran untuk mengurangkan kos.
Mintalah panduan daripada mereka yang mahir komputer atau ada
kemahiran IT. Galakkan masyarakat belajar melayari internet. Ajarkan
kepada mereka bagaimana nak cari alamat laman-laman reformasi.

Jika sesuatu tempat tidak ada komputer atau kemudahan internet,
cetaklah bahan-bahan internet dan kemudian fotostat. Kini, semua ceruk
kampung sudah ada kemudahan fotostat. Penyokong-penyokong pembangkang
dan reformasi di mana-mana pun ada mesin fotostat. Kos fotostat kini
sudah murah. Oleh itu, cetak bahan-bahan internet dan letakkan di
tempat-tempat kunjungan orang ramai. Contohnya surau, masjid, kedai
kopi dan stesen bas.

Oleh kerana laman-laman reformasi tidak ada wartawan, maka semua
penyokong reformasi mesti menulis kepada webmasters. Tujuannya, agar
berita-berita dari semua tempat dapat disebarkan melalui internet.
Jika penyokong reformasi tidak mengambil kesempatan daripada internet,
maka kita tidak ada apa-apa media lagi bagi pihak kita. Lama kelamaan,
rakyat akan percaya media kerajaan 100 %. Tidak ada alternatif. Tidak
ada pandangan kedua. Akhirnya pemikiran rakyat dijajah oleh kerajaan!

Marilah kita menyokong bahan-bahan reformasi di internet. Galakkan
penggunaan internet supaya kesedaran politik boleh berkembang melalui
internet. Apabila pemintaan ramai, makin banyaklah laman-laman
reformasi akan wujud. Macam-macam bentuk penulisan boleh dirancang.

Ayuh, GUNAKAN BAHAN-BAHAN REFORMASI dari Internet.

(bersambung Kuliah 8)
**cetak dan sebarkan kepada rakan-rakan