Wan Mokhtar mengaku bertanggungjawab

- Tetapi Dr. Mahathir masih tak sedar diri

KUALA TERENGGANU, Ahad - Ketua Badan Perhubungan Umno Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, hari ini berkata beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada pilihan raya Isnin lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli Umno dan penyokong BN supaya tidak menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain.

Beliau yang menyifatkan dirinya sebagai jeneral yang kalah dalam peperangan, menyalahkan diri sendiri kerana gagal mempertahankan Terengganu daripada dirampas Pas.

Katanya, sikap menyalahkan orang lain boleh menimbulkan lebih banyak masalah dan merendahkan semangat serta menghilangkan kepercayaan akar umbi.

Sebaliknya, kata Wan Mokhtar, tumpuan kini perlu diberikan untuk memperkuatkan parti dan meningkatkan semula semangat juang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Tidak dapat dinafikan kekalahan ini amat menyakitkan dan memberi pengajaran kepada semua pihak. Oleh itu, kita harus bekerja lebih kuat untuk menghadapi masa depan dan terus mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap Umno," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan dengan jentera pilihan raya Umno bahagian Kuala Nerus, dekat sini hari ini.

Pada pilihan raya umum Isnin lalu, BN hanya mampu mengekalkan empat daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala semua lapan kerusi Parlimen dimenangi pembangkang

Wan Mokhtar sendiri yang bertanding di DUN Cukai, kalah kepada calon Pas, Awang Jusoh dengan majoriti 436 undi.

Bekas Menteri Besar selama 25 tahun itu berkata, beliau akan terus memberi sokongan penuh dan khidmat kepada parti untuk mengambil balik Terengganu daripada Pas.

Untuk menghadapi masa depan, katanya, beliau sedia berundur dan memberi peluang kepada tokoh baru yang sudah dilatih untuk mengambilalih kepemimpinan parti.