Subject: Kabinet Wasiat Seorang Tua

KABINET WASIAT SEORANG TUA



Intrig dan tekateki yang menyelimuti perbarisan kabinet baru seorang diktator tua untuk membawa Malaysia ke alaf baru berakhir dengan satu anti-klimaks. Masih ramai "kuda-kuda" tua yang diperbariskan walaupun hampir semua kuda tua itu mempunyai rekod prestasi yang mencurigakan kerana terbabit dengan pelbagai salahlaku yang condong kepada rasuah.

Rakyat, begitu tidak puashati dengan perbarisan itu sehinggakan ada beberapa pihak yang menggelarkan kabinet baru itu sebagai 'kabinet wakil undi pos' dan wakil rakyat yang menganggotai kabinet itu digelar dengan 'WUP' dan tidak dengan gelaran YB ataupun YAB. Rupanya, 'WUP' bererti Wakil Undi Pos.

"Kenapakah dia gunakan lagi kuda-kuda tua?" demikian kelohan beberapa orang lama di anjung sebuah masjid di ibukota sambil menunggu  waktu berbuka puasa. "Ah, kalau tak digunakan kuda tua, takkan dia mahu mengharapkan semua kepada kuda muda?" tanya seorang pula. "Apa pula kuda muda?" tanya seorang pula; "keldailah, kalau begitu?" Demikianlah reaksi segolongan orang Melayu di masjid itu. Mereka lebih faham akan psikologi politik kerana mereka sudah lama sangat dengan politk tanahair. Mereka sudah melihat semuanya. Pengisytiharan kemerdekaan di padang Kelab Selangor, pekikan  di Stadium Merdeka oleh Bapa Kemerdekaan dulu, Peristiwa 13 Mei dan pelbagai peristiwa lagi.  Yang paling baru sekali mereka juga telah menyaksikan betapa rakyat bangkit bersuara lantang di masjid itu.

Orang-orang lama di Kampung Baru memang terkenal dengan pengalaman  politik mereka kerana ramai  yang bertungkus lumus di Suleiman Kelab ketika kerajaan British mahu memperkenalkan Malayan Union dulu. Justru itu, setiap kali ada perubahan besar dalam polisi kerajaan ramai anak-anak muda yang berminat mempelajari cara menganalisa politik negara akan bergegas ke sana mencungkil pendapat golongan lama di masjid Kampung Baru itu. Sejarah telah menunjukkan betapa ramalan golongan tua di Kampung Baru selalu mengena sasarannya.

Sememangnya, pilihan MAHAFIRAUN mempunyai ciri-ciri yang memeranjatkan kerana tidak ada pemimpin UMNO daripada Kelantan dan Terengganu yang disertakan. Alasan ringkas darinya menyatakan bahawa kuota perlantikan senator sudah pun habis. Kerana itu dia tidak memilih sesiapa dari kedua-dua negeri yang kalah teruk pada  Barisan Aternatif. Alasan ini memang tidak rasional kerana BN telah memenangi satu kerusi parlimen di Gua Musang. Apa salahnya kalau Tengku Razali dilantik ke jawatan menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri.

TEKATEKI STRATEGI  MAHAFIRAUN

Sebenarnya banyak tekateki yang dicetuskan oleh perlantikan ahli kabinet baru itu:

a) Jawatan Menteri pelajaran telah diberikan kepada seorang bekas Naib Chansellor Universiti Sains Malaysia, Dato Dr. Musa Muhammad yang mengaku bahawa beliau bukannya seorang ahli politik. Kemudian, timbalan menterinya pula ialah Dato Aziz Shamsuddin yang baru sahaja dilantik sebagai seorang senator beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan.  Setiausaha politik kementerian pula ialah seorang baru juga yang dulunya bertugas sebagai seorang pensyarah universiti dan kerap menulis berita politik yang condong mengampu kerajaan.

Perlantikan ini memberi keyakinan para analis bahawa Aziz Shamsuddin akan memainkan peranan yang besar dalam mengemudikan kementerian pelajaran. Kerana itu MAHAFIRAUN  tidak mahu melantik seorang menteri kanan yang berpengalaman kepada kementerian itu. Jika ramalan ini tepat, adalah dijangkakan para guru akan memngambil peranan yang lebih besar dalam arena politik negara, selepas ini.

b) Perlantikan Dato Seri Najib kepada kementerian pertahanan dilihat sebagai satu strategi untuk membolehkan Najib menggunakan pengaruh lamanya dalam menangani masalah penentangan warga tentera terhadap BN. Apakah Najib akan berjaya dalam tugas khas ini adalah satu perkara yang perlu diikuti setiap hari kerana ia tidak semudah yang dijangkakan. Warga tentera sudah diketahui menyimpan dendam kesumat apabila mendapati undi rahsia mereka tidak menjadi rahsia lagi dan mereka sendiri mengetahui betapa MAHAFIRAUN sudah amat curiga dengan keupayaan mereka untuk  melakukan sesuatu yang amat mencurigakan kerajaan yang memerintah.

c) Perlantikan yang mencelaru yang amat ketara telah dilihat apabila MAHAFIRAUN melantik Ramli Ngah sebagai timbalan menteri pengangkutan. Ramli Ngah bergelar Tan Seri sedangkan Ling Liong Sik bergelar Dato Seri. Dari segi pengalaman berpolitik dan kuasa  Tan Sri Ramli Ngah Talib ternyata lebih kanan daripada Dato Seri Ling. Kenapakah Ramli Ngah dilantik sebagai Timbalan Menteri sedangkan beliau layak diberi tugas sebagai seorang menteri?

Di sebalik itu pula kita lihat seorang bekas Ketua Menteri yang dilantik menjadi Setiausaha Politik dan tidak pun sebagai timbalan menteri. Ini berlaku kepada Dato Abu Zahar seorang ahli politik yang berpengalaman di Melaka.

Beberapa muka muda ('keldai' mengikut takrif orang Kampung Baru) telah dilantik sebagai menteri penuh. Ini termasuklah Azmi Khalid, Hishamuddin,  Nazri bin Tan Sri Aziz  dan Ong  Ka Ting kerana MAHAFIRAUN mahu menunjukkan campuran tenaga di antara orang lama dan golongan muda.

Kementerian Pertanian diberikan lagi kepada seorang menteri daripada Sarawak. Kali ini tugas itu diserahkan kepada Dato Affendi Norwawi yang terus meloncat masuk ke jawatan Menteri Penuh walaupun beliau dulunya menjadi seorang wakil rakyat Negri sahaja. Perlantikan ini mengenepikan permintaan pemimpin UMNO yang disuarakan di perhimpunan agung yang lalu yang mahukan jawatan menteri pertanian itu ditugaskan kepada orang semenanjung. Ternyata, permintaan itu dilupakan dengan mudah sekali oleh si diktator tua. Namun, kita boleh memahami rasional perlantikan itu kerana MAHAFIRAUN telah menganggap bahawa jawatan itu adalah hak orang Sarawak sahaja.

Sebagaimana yang dijangkakan, Hamid Osman yang kalah kepada Pak Shahnon di Sik telah diberikan tugas lamanya melalui perlantikannya sebagai senator. Jawatan bonus telah juga diberikan kepada Cheah Kwang Chye sebagai Setiausaha Politik kementerian Telekom dan Multimedia. Kwang Chye telah mengalahkan Lim Kit Siang dan menamatkan perkhidmatan parlimen beliau selama 30 tahun itu.

Senarai MAHAFIRAUN itu nampak sangat mengenepikan orang Selangor, kerana tidak ada orang mudanya  yang diberikan jawatan menteri penuh untuk menggantikan posisi yang pernah disandang oleh Abu Hassan dan Kak Leha.  Ini seolah-olah beliau tidak mengambil kira kemenangan semua kerusi parlimen yang dipertandingkan di Negeri Selangor. BN telah 'menang' semua 17 kerusi itu.

Kita tidak perlu membincangkan perlantikan muka-muka yang lain, tidak kiralah samada mereka muka lama ataupun muka baru. Orang kampung Baru kata; "Samada beliau melantik kuda tua ataupun keldai, semua lantikan itu akan menjadi kuda kayu semata-mata kerana mereka terpaksa menari mengikut rentak seorang diktator tua." Kata-kata seperti itu memang kesat bunyinya. Tetapi ia menggambarkan kehampaan rakyat di negara ini terhadap seorang diktator tua yang tidak sedar bahawa khidmatnya sudah patut lama ditamatkan.

Kalau kita lihat raut wajah MAHAFIRUAN ketika membuat pengumuman senarai kabinet itu, kita boleh simpati dengan beliau. Ternyata  beliau tidak sihat dan seolah-olah melindungi sesuatu yang amat pahit bagi dirinya. Mungkinkah beliau menyedari sentimen rakyat masakini? Mungkinkah beliau masih menyimpan kesedihan akan berkurangnya  penyertaan asing pada pertunjukan LIMA dulu yang membuatkan pengunjung pun berkurangan? Mungkinkah beliau berasa terkilan dengan tohmahan warga tentera apabila melihatkan layanan yang diberikan kepada Siti Norhaliza di Langkawi baru-baru ini? Ataupun apakah beliau merasa sedih memikirkan kuda-kuda tunggangan lama seperti Megat Joned, Mustapha Mohammad, Anuar Musa dan Ibrahim Ali tidak dapat dipergunakan lagi?

Apakah kemungkinannya MAHAFIRAUN sedang menanggung sesalan yang amat sangat di atas kesilapan strategi mengadakan pilihanraya pada tahun ini sedangkan beliau mempunyai masa yang panjang untuk mengadakannya tahun depan? Tentunya dia terlalu yakin untuk memenangi pemilu ke-10 itu dengan kemenangan besar, setelah merencana pelbagai muslihat untuk pasti menang?

Atau mungkinkah ketika beliau membuat pengumuman nama-nama itu beliau terkenangkan nama DSAI yang merengkok di Sungai Buluh? Apabila kenangan itu menggamit jiwanya, dia tersentak dan tersedar betapa silapnya beliau akur dengan strategi menggunakan kes liwat sebagai alasan kukuh untuk  menipu rakyat jelata?

Semua soalan ini adalah serba mungkin. Seperti juga serba mungkinnya senarai yang dikemukakan itu akan dirombak dalam satu masa yang singkat untuk membolehkan beberapa nama yang amat rapat dengan peribadi MAHAFIRAUN menajdi menteri penuh sebagai imbohan pada jasa yang pernah mereka taburkan padanya.

Sebenarnya  banyak yang boleh dipertikaikan lagi akan perlantikan yang dibuat oleh MAHAFIRAUN itu. Bukankah ramai anggota kabinetnya  yang dikatakan mempunyai rekod  buruk dan menyalahgunakan kuasa mereka ? Apakah MAHFAIRAUN tidak gusar  akan kemungkinan beberapa personaliti yang dilantik itu akan terbabit di mahkamah atas tuduhan rasuah? Ataupun apakah beliau terlalu yakin akan kuasanya untuk mengemudikan kuasa mahkamah kalau perkara itu berbangkit kelak?

Malahan, ada berita angin yang mengatakan bahawa Tun Daim tidak akan disenaraikan dalam kabinet baru itu. Tetapi, kita lihat Tun Daim memegang dua jawatan penting. Kalau dia sudah diberikan jawatan Menteri Kewangan kenapakah pula dia diberikan jawatan menteri tugas-tugas khas? Mungkinkah jawatan menteri tugas-tugas khas itu akan diberikan pada orang lain seperti Aziz Shamsuddin ataupun Tengku Razali Hamzah. Ataupun Tun Daim memegang terus jawatan tugas khas itu dan menyerahkan jawatan kewangan kepada Tengku Razali Hamzah? Sekali lagi jawapan yang sesuai ialah serba mungkin juga.

Demikianlah tekateki pentadbiran MAHAFIRAUN. Terlalu banyak jawatan yang diserahkan kepada kuda tuanya seperti juga perlantikan nama-nama orang lama untuk menjadi wakil rakyat sedangkan rakyat tahu kebanyakan mereka itu sudah tidak berapa berdaya dan bernafsu untuk jawatan yang terlalu lama mereka pegang itu.

Menyedari hakikat ini apakah salah kalau kita katakan bahawa MAHAFIRAUN menamakan ahli kabinetnya kali ini persis seorang ushawan yang kaya raya yang menamakan orang suruhannya bagi mewarisi hartanya. Dengan  lain perkataan penamaan ahli kabinet beliau  adalah laksana penamaan pewaris satu wasiat. Apa juga tanggapan yang akan dibuat oleh rakyatnya nampak sangat pengaruh budaya kepimpinan politik Afrika sudah menyerap dalam suasana politik negara ini. Perkara ini memang tidak menghairankan kita kerana MAHAFIRAUN memang amat gemar pergi ke benua Afrika. Di sanalah beliau merasakan egonya paling dimuliakan dan disanjug tinggi. Hampir semua pemimpin Afrika pandai berpolitik dengan cara mengkotak-katikkan manusia. Ahli kabinet mereka sentiasa diubah-ubah. Para menteri selalu ditukar setiap kali mereka engkar mengikut arahan presiden mereka. Kalau mereka terus menentang mereka dituduh dengan pelbagai tuduhan termasuk meliwat dan mencuri isteri orang ataupun mempekosa budak bawah umur. Tuduhan meliwat amat gemar digunakan untuk menghapuskan karier politik seseorang yang popular di beberapa negara di Afrika. MAHAFIRUAN memang selalu melawat negara itu.

Sememangnya  MAHAFIRAUN  banyak mempraktikkan pelbagai taktik  pemimpin Afrika yang dirapatinya. Cuma diharapkan beliau sudah pun belajar satu pepatah orang sana yang mengatakan "Seseorang yang suka mencuci belakang keldai harus bersedia untuk menerima sepakannya pada satu hari nanti".

-Marhain Tua- 11 Disember, 1999.