Make your own free website on Tripod.com

TERENGGANU DAN KELANTAN SETUJU LETAK WAKIL KEADILAN DALAM KERAJAAN

MARANG, 17 Dis - Ketua Pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Noor hari ini berkata, kerajaan pimpinan PAS di Terengganu dan Kelantan bersetuju untuk memberi ruang kepada wakil daripada parti itu berada dalam Kerajaan Negeri berkenaan.

"Pada perjumpaan kita hari ini bersama Menteri Besar Terengganu Haji Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam, kedua-dua mereka bersetuju untuk memberi peluang kepada (wakil) Keadilan untuk berada dalam kerajaan PAS di kedua-dua buah negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai beberapa pemimpin Pemuda Keadilan membuat kunjugan hormat terhadap Haji Abdul Hadi di rumahnya di Rusila, Marang dekat sini.

"Perkara itu akan dibincangkan oleh Kerajaan Negeri dengan Pengerusi Keadilan kedua-dua buah negeri iaitu Abdul Rahman Yusuf di Terengganu dan Muhamad Mustafaa di Kelantan mengenai wakil kita di jabatan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau berkata Keadilan juga berpuashati dengan sikap terbuka kedua-dua Kerajaan Negeri kepada parti berkenaan dan memberi semangat kepada anggota parti untuk meneruskan perjuangan mereka.

Ketika ditanya mengenai pertemuan hari ini, Mohd Ezam berkata penjelasan yang dibuat oleh Haji Abdul Hadi, menunjukkan kerajaan PAS Terengganu bersikap terbuka di samping tidak mengamalkan sikap diskriminasi terhadap masyarakat bukan Islam.

"Kita yakin masyarakat bukan Islam diberi layanan yang baik dan lebih adil di kedua-dua buah negeri berbanding negeri-negeri lain di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Menurut beliau, beberapa dasar Kerajaan Negeri seperti pinjaman perumahan tanpa faedah kepada rakyat di negeri ini memberi pilihan kepada rakyat untuk membuat pinjaman sama ada mengikut kaedah yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri ataupun mengikut sistem konvensional yang sedia ada.