Pembentukan kerajaan negeri yang baru

TERENGGANU UTAMAKAN RAKYAT

 


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu yang baru, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjanji, kerajaan negeri Terengganu akan menjadikan keperluan rakyat terbanyak sebagai perkara pertama yang akan dilakukan sebaik saja membentuk kerajaan.

Antara perkara yang akan dilakukan adalah menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud, menghapuskan cukai pintu kepada semua rumah kediaman, memberikan cuti dua hari seminggu kepada semua kakitangan kerajaan negeri tanpa menambah waktu kerja di hari biasa dan lain-lain lagi.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara secara ekslusif oleh Harakah di hari pertama beliau memasuki pejabat Menteri Besar di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu Rabu lepas.

(Wawancara penuh)

Menurut Tuan Guru Menteri Besar, di samping itu, kerajaan negeri akan melaksanakan juga dengan secepat mungkin penghapusan cukai tanah, menutup premis maksiat serta menegakkan dasar Islam sesuai dengan nama Darul Iman negeri Terengganu.

Sementara itu, ke semua 10 orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) telah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Sultan Terengganu Khamis lepas.

Mereka adalah Haji Mustafa Ali (Pengkalan Berangan), Ustaz Harun Taib (Manir), Wan Abdul Mutalib Embong (Batu Buruk), Ustaz Abu Bakar Chik (Batu Rakit), Tun Mohd. Salleh Abas (Jertih), Mohd. Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Yahaya Ali (Alor Limbat), Abu Bakar Abdullah (Tepoh), Haji Awang bin Jusoh (Cukai) dan Wan Hassan Mohd. Ramli (Sura).

Menteri Besar akan memegang dua portfolio manakala yang lain akan memegang satu portfolio. Antara portfolio penting yang dibentuk oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS adalah Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah.

Ia telah diamanahkan kepada Ketua Dewan Ulama PAS, Ustaz Harun Taib untuk dilaksanakan.

Lain-lain portfolio akan dimaklumkan selepas ini.