ANGGOTA UMNO SOKONG PEMBANGKANG DISYOR DIPECAT

KUALA LUMPUR, 15 Dis - Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno hari ini mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perjalanan pilihan raya umum lepas termasuk mengesyorkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memecat anggota yang didapati menyokong pembangkang.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob berkata pada pilihan raya kali ini agak banyak yang dilaporkan terlibat dengan parti lawan tetapi setakat ini tidak ada di peringkat pemimpin seperti ketua bahagian.

Beliau berkata senarai nama yang dilaporkan "banyak juga tapi kita tidak boleh nyatakan sebenar kerana kita kena periksa dulu mengapa mereka ini dituduh."

"Mereka harus membuktikan sebab sekarang ini kita menganggap ini semua sebagai dakwaan, kita kena siasat supaya tidak berlaku sebarang penganiayaan," kata beliau ketika ditanya pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu di ibu pejabat Umno di Menara Datuk Onn di sini.

Khalil berkata pihaknya menerima laporan daripada beberapa bahagian mengenai anggota yang menyokong parti lawan semasa pilihan raya baru-baru ini dan sedang memproses dan memeriksa maklumat yang diterima itu.

"Di antaranya bahagian-bahagian telah menghantar nama-nama mereka yang dianggap sebagai tidak membantu jentera parti," kata beliau.

Mesyuarat selama dua setengah jam itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti.

Khalil berkata penglibatan mereka menyokong parti lawan adalah dalam pelbagai kategori termasuk yang paling serius ialah anggota itu sendiri menjadi calon parti lawan.

Beliau berkata kategori lain termasuk menjadi penyokong, pencadang atau saksi atau secara "aktif mengambil bahagian" membantu berkempen seperti menjadi penceramah dan mengedarkan risalah.

Katanya syor tindakan disiplin terhadap mereka juga berbeza-beza.

Khalil berkata laporan analisis pilihan raya dan syor-syor dan kajian jawatankuasa terhadap mereka yang dituduh membelot ini akan dibincang pada Majlis Tertinggi Ahad ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Wanita Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman turut hadir pada mesyuarat itu.