Turun Pangkat

Assalamu'alaikum,

Pembentukan kabinet baru menyaksikan seorang Bekas Menteri Besar dan Ketua Menteri telah mengalami proses penurunan pangkat apabila hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen sahaja.

Walaupun soal perlantikan jemaaah menteri adalah hak dan kuasa PM, tetapi adalah lebih manis seandainya perlantikan itu lebih munasabah dan boleh diterima akal dan fikiran.

Bagi Ramli Ngah Talib, jawatan Timbalan Menteri yang ditawarkan kepadanya seolah-olah merendahkan kedudukan beliau selaku Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO negeri di mana 2 orang bawahannya mendapat taraf menteri penuh.

Jika kuota negeri yang menjadi halangan, apakah tidak boleh Ramli bertukar tempat dengan Nazri Aziz? Atau takut sangatkah Mahathir melucutkan jawatan Rafidah Aziz?

Apa yang sebenarnya tersirat dalam hati Mahathir, berkemungkinan beliau tidak mengiktiraf lagi Ramli selaku Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO negeri dan ingin memberi isyarat lampu merah kepadanya supaya berundur - sama dengan warna lampu yang disuluh kepada Najib Tun Razak.

Meletakkan kedudukan Ramli setaraf dan sebaris dengan Zainal Abidin Zin, bekas orang kuat Parti Melayu Semangat 46 yang juga rakan karib Ibrahim Ali adalah kurang manis.

Di Melaka, Nasib Abu Zahar Ithnin lebih malang dari Ramli. Jika tidak silap, tidak pernah dalam zaman sebelum Mahathir, seseorang bekas MB/KM hanya diberi jawatan SU Parlimen apabila "diarahkan" berpindah ke pusat.

Sebagai Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO negeri, beliau diarah bekerja di bawah Abdullah Ahmad Badawi, Zainal Abidin Zin dan Chor Chee Heung di Kementerian Dalam Negeri. Persoalannya, siapalah Zainal Abidin Zin dan Chor Chee Yeung jika ingin dibandingkan dengan Abu Zahar. Jawatan dan kedudukan mereka dalam parti amat jauh bezanya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ramai yang tidak mengetahui Chor Chee Yeung itu MP dari mana.

Penurunan pangkat Abu Zahar ini mungkin tidak dapat diterima oleh juak-juak beliau di Melaka. Tetapi siapa yang berani bersuara?

Lebih menyedihkan, Abu Zahar sendiri dilaporkan sebagai berkata, beliau menerima perlantikan tersebut dengan hati yang terbuka. Menurutnya, apa jua jawatan yang diberi oleh Mahathir adalah sesuatu yang terbaik dan tepat.

Beginilah sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang ada sekarang. Apa jua tindakan Mahathir akan diterima bulat-bulat. Tidak ada yang berani menggelengkan kepala, hanya mengangguk saja - sama seperti yang diamalkan oleh Samy Vellu.

Memang tepat hujah Haji Mahfuz Omar. Pembentukan kabinet baru itu semuanya terdiri daripada " tukang angguk" yang akan menyokong apa sahaja kehendak PM walaupun terpaksa menggadai maruah bangsa dan tanahair.

Wassalam,

Mawar Berduri.