JANJI BOLEH DITUNAI KALAU DAPAT KERJASAMA, KATA NIK AZIZ

KOTA BAHARU, 10 Dis - Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata janji PAS untuk menegakkan syariat Islam di Kelantan akan dapat ditunaikan sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak terutama antara rakyat dan kerajaan.

Beliau berkata, rakyat mesti mematuhi sepenuhnya setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Kalau kerajaan meminta kaum muslimat menutup aurat, mereka mesti mengikut arahan, jangan buat acuh tak acuh sahaja. Begitu juga dengan keluarga di rumah, mereka mesti bertindak selaras antara suami, isteri dan anak-anak," katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Pejabat PAS di sini, hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata adalah sukar bagi kerajaan untuk menunaikan segala janjinya sekiranya masing-masing pihak mempunyai haluan yang tersendiri.

"Begitu juga dengan golongan belia, kalau kerajaan minta mereka berhenti mengambil dadah, mereka juga mesti mengikut arahan, jika tidak hasrat kerajaan negeri yang berasaskan pemerintahan Islam tidak akan terlaksana," katanya.