TERENGGANU TUNAIKAN MANIFESTO PILIHANRAYA

Kakitangan kerajaan negeri Terengganu akan bekerja lima hari seminggu apabila PAS yang menerajui kerajaan negeri melaksanakan janji seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan rayanya.

Menurut manifesto itu, PAS menetapkan lima hari seminggu sebagai hari bekerja dengan dua hari cuti pada Jumaat dan Sabtu, Ia juga berjanji akan memberi cuti bersalin selama 90 hari dan cuti tujuh hari bagi suami meliputi semua kakitanagan kerajaan negeri.

Menteri Besar yang baru dilantik Haji Abdul Hadi Awang telah menyatakan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan seberapa segera yang boleh perkara itu kerana ia berkaitan dengan kebajikan rakyat.

Hadi dan anggota Exco kerajaan negeri akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing esok.

PAS juga berjanji untuk menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud dan menghapuskan cukai pintu bagi rumah kediaman.

Bagi golongan peniaga kecil PAS berjanji akan mengemaskan sistem perlesenan dan penempatan warung serta gerai sementara supaya tidak membebankan rakyat dan menyediakan tempat dan kemudahan kepada peniaga pasar malam.

Mengenai corak pentadbirannya kerajaan negeri akan memperkenalkan konsep `syura rakyat' dalam pelaksanaan dasar kerajaan dan mendaulatkan pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Dalam manifesto itu, Pas berjanji untuk memastikan polisi dan prosedur pentadbiran yang telus serta memberi kebebasan kepada pentadbir dan pegawai dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Pas juga berjanji untuk mengamalkan akauntabiliti dalam pentadbiran dan perbelanjaan wang negeri serta memilih keutamaan dalam projek pembangunan.

Kerajaan Terengganu, dalam manifesto itu, berjanji untuk berusaha mendapatkan pembahagian royalti minyak yang lebih adil daripada kerajaan pusat dengan penerimaan paling kurang 20 peratus.

Pas juga akan menjadikan syarat agar kerajaan negeri mempunyai ekuiti dalam semua pelaburan yang berasaskan petroleum dan gas dari Terengganu serta memastikan Petronas akan memberi sumbangan yang lebih besar kepada rakyat Terengganu dalam bidang pendidikan tinggi.

Dalam perundangan dan kehakiman pula, PAS berjanji akan memberi kuasa kepada undang-undang syariah dan melengkapkan Mahkamah Syariah dengan pentadbiran undang-undang jenayah dan sivil.

Jika mengikut manifesto itu, kerajaan negeri juga akan menyusun semula perkhidmatan awam negeri dengan menyatukan perkhidmatan pegawai tadbir negeri dengan pegawai tadbir agama negeri.

Mengenai dasar ekonomi negeri pula, Pas berjanji mewujudkan Majlis Ekonomi Negeri yang akan diwakili oleh semua kepakaran masyarakat serta menyusun semula dasar ekonomi negeri supaya menepati kehendak Islam dan menjadikan hasil royalti minyak sebagai pemangkin kepada penjanaan ekonomi negeri.

Badan penyelidikan dan pembangunan teknologi tinggi juga dicadangkan dalam menjana pertumbuhan dan pengembangan ekonomi berasaskan sumber semula jadi seperti petroleum dan gas, perkayuan, marin dan air, kecantikan alam, tenaga dan hasil bumi.

Manifesto itu juga menyatakan bahawa pelantikan anggota majlis Pihak Berkuasa Tempatan akan dibuat berasaskan kelayakan dan kepakaran selain daripada mewakili kaum dan agama.

PAS turut berjanji menjamin kebebasan orang bukan Islam mengamalkan agama dan budaya masing-masing serta memberi jaminan kepada mereka menikmati hak dan keadilan yang saksama.

Dalam manifesto itu, PAS juga berjanji untuk menyemak dan memperkenalkan undang-undang serta membuka semula permohonan tanah mengikut hukum syarak dengan memberi peluang pemilikan tanah bagi kediaman dan pembangunan serta mmepercepatkan pemberian geran kepada peneroka.

PAS juga berjanji untuk memperluaskan peranan wanita dalam perkhidmatan dan kemasyarakatan, memartabatkan dan memlihara wanita daripada sebarang bentuk eksploitasi serta melindungi hak dan fungsi wanita dalam pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan kekeluargaan.