Tol: Tak perlu bebankan rakyat

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat tidak perlu dibebankan dengan bayaran tol.

Ini, katanya kerana kerajaan negeri mempunyai sumber pendapatan lain yang dapat menampung kekurangan hasil negeri berikutan penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud.

"Kerajaan tidak mahu membebankan rakyat dengan bayaran tol di jambatan berkenaan," ujarnya ketika dihubungi di kediamannya, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar harian yang menyebut kerajaan negeri kerugian RM4.5 juta berikutan penghapusan tol di jambatan itu.

Tambahnya, walaupun mengalami kerugian sebanyak itu, kerajaan negeri lebih mengutamakan kepentingan rakyat sebagaimana yang terkandung dalam manifesto PAS dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, hasil daripada sumber lain boleh menampung pendapatan kerajaan negeri berikutan penghapusan bayaran tol itu.

Kerajaan PAS negeri menghapuskan tol di jamabatan itu berkuatkuasa pada jam 4 petang Khamis lalu.

Para pemandu kereta dan van yang melalui jambatan itu dikenakan bayaran tol sehala sebanyak 50 sen, lori panjang RM2, lori biasa dan bas RM1.