TOL DIHAPUSKAN

Pembayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud di sini dihentikan mulai pukul 4 petang ini sebagai memenuhi janji kerajaan Pas Terengganu dalam manifesto pilihan rayanya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Datuk Tan Boo Dik berkata arahan menghentikan kutipan tol itu dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

"Saya terima arahan daripada kerajaan negeri supaya operasi kutipan tol di jambatan itu dihentikan petang ini juga bagi menunaikan janji kerajaan negeri Pas," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Jambatan sejauh 13 km itu diselenggara oleh kerajaan negeri. Jambatan itu yang menghubungkan Padang Hiliran dengan pekan Batu Enam mula digunakan pada 1990.

Kadar bayaran tol itu ialah 50 sen sehala bagi kereta dan van, RM1 bagi lori dan bas sementara lori berganda RM2.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa pekerja masih mengawal lalu lintas di situ apabila berlaku kesesakan kerana orang ramai belum mengetahui mengenai penghapusan bayaran tol berkenaan.

Kebanyakan pemandu yang melalui kedua-dua belah laluan plaza tol itu membunyikan hon kenderaan masing-masing serta mengangkat tangan sebagai tanda bagus dan perasaan gembira di atas penghapusan kutipan tol.

Pada mulanya kutipan tol itu cuma bagi kenderaan yang bergerak dari pekan Batu Enam ke bandar Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, bayaran tol di jambatan itu ditambah bagi kedua-dua laluan iaitu pekan Batu Enam ke bandar Kuala Terengganu dan sebaliknya pada 1993.

BERNAMA