Wan Mokhtar minta ahli Umno tidak ulas Kekelahan UMNO Terengganu

- elakkan UMNO terus berkubur

SETIU: Semua pemimpin dan ahli Umno diminta tidak membuat sebarang ulasan berhubung pilihan raya umum dan perkembangan parti kerana ia boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, berkata ia penting bagi memastikan tidak berlaku percanggahan pendapat antara pemimpin dan ahli parti mengenai perkara itu.

Katanya, Umno negeri yang mengadakan mesyuarat minggu lalu sudah membentuk Jawatankuasa Bedah Siasat yang dipengerusikan Datuk Abdul Rashid Ngah untuk mendapatkan maklum balas daripada semua bahagian Umno di negeri ini mengenai punca kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, Umno Perhubungan akan mengadakan mesyuarat keduanya, minggu ini bagi mengatur langkah terbaik dalam usaha menawan semula Terengganu daripada Pas.

Oleh itu, katanya, sebarang kenyataan berhubung pilihan raya dan parti tidak dibenarkan sama sekali sebelum hasil bedah siasat itu diperolehi jawatankuasa terbabit.

Bercakap kepada Berita Minggu selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin dan penyokong Umno Bahagian Setiu, di sini semalam, Wan Mokhtar berkata, larangan itu bertujuan mengelak pencanggahan pendapat kerana mungkin dikeluarkan kerana terlalu mengikut emosi.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, hadir sama di majlis itu.

Mengulas mengenai resolusi Pergerakan Pemuda Umno negeri, beliau berkata, Umno tidak boleh menolak semua muka lama bertanding dalam pilihan raya umum lalu kerana mereka masih berpengaruh.

"Gabungan muka lama dan baru adalah untuk mengembalikan kekuatan parti pada masa akan datang.

"Ketika ini pelbagai spekulasi timbul mengenai kekalahan calon BN dan ini boleh menimbulkan krisis.

"Jadi, tidak ada gunanya kita membuat ulusan kerana cara sedemikian tidak akan menyelesaikan masalah dan mengeruhkan keadaan. Kita tunggu saja hasil kajian bedah siasat yang akan dijalankan jawatankuasa terbabit dalam masa beberapa minggu lagi," katanya.

Mengenai rancangan dan hala tuju Umno Terengganu selepas ini, beliau berkata, strategi parti perlu disusun semula dan bagi mencapai matlamat semua pihak perlu berjuang secara ikhlas.