Terengganu dan Cabaran Tahun 2000

Oleh Mohamad Muizzuddin


Teruskan usaha dan jangan sekali-kali toleh ke belakang. Kita hanya boleh toleh ke belakang untuk melihat sejarah silam bagi dijadikan pedoman. Semoga kita akan mendapat jawapannya terutama sempena berkatnya bulan Ramadan ini. Insya-Allah PAS akan berjaya menjadi Terengganu sebagai negeri Contoh dalam tahun 2000 nanti.

KITA akan memasuki tahun baru 2000 dengan meninggalkan banyak kenangan pahit manis di tahun 1999. Selalunya, apabila masuk saja tahun baru, terdengarlah bermacam-macam azam baru dengan semangat yang berkobar-kobar. Apatah lagi kita telah boleh menawan Terengganu setelah bertungkus-lumus selama 40 tahun.

Namun begitu, pada hakikatnya perkara tersebut hanya untuk seketika sahaja kerana selepas sebulan demi sebulan, semangat itu lama-kelamaan akan luntur. Trend menyatakan semangat untuk bekerja keras, tingkatkan prestasi kerja dan sebagainya, sudah lama berlalu.

Sepatutnya, kita harus sedar bahawa daripada bermacam-macam semangat baru yang dinyatakan itu, berapa banyakkah yang berjaya dipenuhi atau dibawa hingga ke penghujung tahun.

Bercakap mengenai tahun baru yang akan ditepuhi, satu perkara harus diterima realitinya ialah masih banyak masalah yang berbangkit di tahun 1999 belum ada penyelesaiannya. Sehubungan itu, tahun baru 2000 nanti sebenarnya lebih merupakan waktu kesinambungan untuk membawa serta mencari penyelesaian perkara-perkara yang telah wujud pada tahun 1999, terutamanya masalah yang ditinggalakan oleh UMNO dan kunco-kunconya.

Dengan kata lain, masalah tahun 1999 adalah tahun masalah UMNO yang akan dibawa ke tahun seterusnya. Masalahnya sama tetapi penyelesaiannya belum dicapai. Inilah trend sebenarnya kerana perkembangan pembangunan yang berlaku di negara kita ini secara langsung menjadikan masalah semasa itu lebih rumit kerana peninggalan UMNO bukan perkara yang senang untuk diselesaikan.

Oleh itu, jalan penyelesaian masa kini tidak boleh sama seperti tahun-tahun lalu. Kita perlukan pendekatan yang berlainan. Pendekatan Islam yang selama ini terkubur dengan pengikut-pengikutnya (UMNO) yang lalai serta tidak mempratikan Islam secara seadil-adilnya.

Di samping itu, satu lagi perkara yang dilihat bermula dari tahun 1999 dan perlu dibawa ke tahun baru ini ialah bidang pertanian. Ia memang ada kaitan dengan kegawatan ekonomi. Usaha-usaha ke arah mempelbagaikan pertanian komersial di Terengganu masih belum mencapai tahap 100 peratus.

Tanaman seperti bawang merah, limau madu, tembikai, jagung, padi dan banyak lagi, belum meluas ke seluruh daerah di Terengganu.

Tanaman seperti bawang merah mungkin kita boleh berbangga pada awalnya apabila Terengganu menjadi negeri pertama menghasilkan bawang sendiri.

Namun kini, ada negeri lain yang lebih berjaya, malah hasilnya lebih baik serta lumayan.

Masih banyak tanah terbiar belum diusahakan dengan amaran demi amaran kedengaran bahawa kerajaan negeri akan mengambil alih tanah tersebut jika sekian lama pihak berkenaan gagal mengusahakannya.

Begitu juga halnya dengan industri perikanan sama ada di laut atau air tawar. Peluang untuk penduduk tempatan memang luas terbentang tetapi mereka yang berminat ramai dari luar Terengganu.

Di samping itu, isu pengangkutan perkhidmatan awam juga belum selesai kerana kerajaan negeri menghadapi pelbagai kerenah dari pihak tertentu.

Kerana banyak berpolitik, sehari ke sehari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun, isu ini terus berpanjangan.

Akibatnya, sektor pelancongan sedikit sebanyak terjejas juga dengan isu ini kerana pengangkutan awam merupakan 'tulang belakang' kepada industri pelancongan.

Satu lagi perkara yang perlu ditangani di tahun baru 2000 ini ialah gejala sosial di kalangan pelajar sekolah.

Bagi penduduk Terengganu, ramai yang tahu bahawa gejala sosial berterusan berlaku semuanya berkaitan rapat dengan antara sekolah, ibu bapa, guru dan pelajar.

Kaunseling demi kaunseling diberi, namun apakah kesannya. Adakah golongan pelajar yang terbabit dalam gejala sosial di negeri ini sudah dapat dibanteras atau dikembalikan ke jalan asal? Atau pemulihan mereka itu hanya sekadar 'luaran' sahaja.

Banyak lagi permasalahan atau isu yang belum dapat diselesaikan dan perlu dibawa dari tahun 1998 ke 1999 dan seterusnya ketahun akan datang. Kalau hendak diperkatakan satu persatu sudah tentu 'tak cukup mulut'. Sampai esok pun tak habis. Isu-isu seperti kemiskinan, hakisan, saliran, banjir dan sebagainya merupakan antara 'fenomena' yang memerlukan perhatian.

Isu seperti bidang pendidikan di mana banyak kolej dan pusat kemahiran didirikan di negeri ini, tetapi semua ini lemah dari segi pengusan kerana banyakknya campur tangan politik.

Dalam pada itu, jangan disebabkan isu-isu tersebut yang masih diselesaikan itu, ada pihak yang menunding jari mengatakan orang itu atau orang ini yang bersalah.

Walau apa pun jalan penyelesaian atau jawapan yang bakal ditemui nanti, kita seharusnya berhati-hati dan belajar daripada pengalaman lalu (yang dilalui oleh UMNO)

Teruskan usaha dan jangan sekali-kali toleh ke belakang. Kita hanya boleh toleh ke belakang untuk melihat sejarah silam bagi dijadikan pedoman. Semoga kita akan mendapat jawapannya terutama sempena berkatnya bulan Ramadan ini. Insya-Allah PAS akan berjaya menjadi Terengganu sebagai negeri Contoh dalam tahun 2000 nanti.

 

#