SIDANG PARLIMEN ISNIN INI TIDAK SAH, KATA KIT SIANG

KOTA BAHARU, 16 Dis - Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata bahawa persidangan Parlimen yang bermula Isnin ini tidak sah dan perlu dibatalkan kerana tidak mengikut prosedur.

Beliau berkata, notis memanggil kesemua 193 anggota parlimen menghadiri mesyuarat pertama, penggal pertama, Parlimen Kesepuluh selama empat hari itu yang dikeluarkan pada 13 Dis tidak mengikut prosedur iaitu mendapat nasihat jemaah menteri kerana pada masa itu kabinet belum ditubuhkan.

"Mengikut perlembagaan, parlimen baru boleh bersidang apabila dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat kabinet," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Lim berkata Parlimen masih boleh bersidang pada Isnin ini tetapi notis baru perlu dikeluarkan dengan mendapat perisytiharan baru dari Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai pertemuannya dengan Nik Aziz, Lim berkata DAP meminta kerajaan negeri Kelantan memberi peruntukan yang tetap kepada sekolah-sekolah Cina dan Tamil sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kepada kaum berkenaan yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri itu.

Ditanya sama ada soal pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dibincangkan dalam pertemuan dengan Tuan Guru Hj Nik Aziz itu, Lim berkata : "Apa-apa undang-undang Islam tidak patut dilaksanakan ke atas orang bukan Islam."