HAJI HADI LAKSANAKAN WAWASAN ISLAM

Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang berkata wawasan beliau bagi Terengganu ialah untuk memastikan perjuangan Pas dalam melaksanakan peraturan Islam dalam segala aspek ditunaikan dan antaranya ialah menghapuskan tempat perjudian, penjualan arak dan hiburan yang berunsur maksiat.

Katanya, perubahan pertama yang perlu dilaksanakan dengan segera ialah meminda prinsip dan dasar yang sebelum ini dilihat bercanggah dengan Islam.

"Ini untuk menyatakan bahawa hukum Islam itu hukum yang tertinggi. Malah menjadi kewajipan kita yang bertanggungjawab yang diberi amanah rakyat untuk membuktikan Islam itu yang terbaik daripada segala-segalanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri raptai angkat sumpah menteri besar di Istana Maziah, di sini.

Abdul Hadi dilantik menteri besar semalam setelah menerima watikah pelantikan dari Sultan Terengganu di Istana Badariah di sini.

Beliau berkata tanggungjawab yang akan dilaksanakan ialah menunaikan kewajipannya kepada rakyat termiskin dan menderita seperti yang dijanjikan dalam manifesto parti itu.

"InsyaAllah, saya akan laksanakan perkara yang segera dilakukan mengikut proses peraturan," katanya.

Antara janji Pas dalam manifestonya ialah menghapuskan cukai pintu kediaman, cukai tanah, tol di Jambatan Sultan Mahmud dan menutup premis perjudian dan penjualan arak kecuali bagi yang bukan Islam dan mengharamkan hiburan maksiat.

Ditanya sama ada pelaksanaan undang-undang lain seperti memastikan lelaki Islam menunaikan solat Jumaat dan kaum wanita memakai tudung, Abdul Hadi berkata: "Yang itu bergantung pada kefahaman dan kesedaran dan bukan sahaja kepada peraturan dan undang-undang.

"Walaupun ada undang-undang dan ia sangat berkait dengan aspek pendidikan dan tarbiah yang memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

"InsyaAllah kita akan memberi penekanan kepada aspek ini. Satu daripada portfolio yang diberikan kepada Exco yang dilantik ada berkaitan dengan itu," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengamalkan sikap diskriminasi terhadap penyokong Barisan Nasional, beliau berkata: "Kita anggap semua yang ada adalah rakyat kita sama ada yang menyokong kita atau tidak."

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri Pas harus memberi keutamaan kepada orang yang berhak.

BERNAMA