Mahathir Dan Kontradiksi

Oleh Hassan Karim

Mahathir Mohamad seorang Presiden Parti. Beliau juga seorang Perdana Menteri. Tetapi dia cukup banyak kontradiksi. Kontradiksi bererti pertentangan. Pertentangan antara apa yang dicakap dengan apa yang dilakukan. Dalam bahasa bazar disebut ‘ cakap tak serupa bikin’

Pertama: Mahathir anggap Barat berniat jahat pada Malaysia. Memang kuasa imperialis Barat tujuannya untuk menguasai dunia. Kita kena waspada.Tetapi Mahathir  sebaliknya. Dia melantik Solomon Smith Barney, sebuah firma Amerika Syarikat sebagai penasihat pelaburan dan dasar fiskal negara;

Kedua:Mahathir anggap Amerika, Eropa musuh negara Islam, musuh negara Dunia ketiga. Dalam banyak hal ini memang benar. Tetapi Mahathir lakukan yang sebaliknya. Dia menyokong George Bush, Presiden Amerika mengebom hancur Iraq dalam Operasi Desert Storm pada tahun 1990. Iraq sebuah negara Dunia Ketiga dan sebuah negara Islam. Malaysia yang dipimpin Mahathir mengundi menyokong usul Amerika Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1990 itu untuk menghancurkan Iraq. Tidakkah ini satu dosa besar?

Ketiga: Mahathir anggap Barat hendak kuasai ekonomi negara-negara Dunia Ketiga seperti Malaysia. Ini memang benar. Memang itu tujuan Barat khususnya AS. Malah konsep negara Dunia Ketiga dah tak relevent lagi selepas Soviet Union pecah dan lemah. Dunia sekarang dikuasai AS. Dia satu kuasa besar dalam dunia unipolar atau satu kutub. Mahathir dah tahu begitu. Tetapi dia buat kerja sebaliknya yang membahayakan Malaysia sendiri. Mahathir menghantar tiga rombongan termasuk satu dipimpinnya sendiri, yang dua lagi dipimpin masing-masing oleh Daim Zainuddin dan Mustapha Mohamad. Tiga rombongan ini keliling dunia khususnya ke Barat dan Jepun. Kerja mereka ialah menjaja Bon Malaysia. Istilah Bon ini canggih. Tapi maksud sebenarnya buruk sekali dan menghina maruah Malaysia. Negara kita sekarang mengemis keliling dunia terutama ke negara Barat yang Mahathir kutuk.

Dalam bahasa orang kampung kita, Bon itu macamlah pajak. Petani bawa geran tanah jumpa orang berduit atau ceti atau lintah darat untuk pajakkan tanah bendang atau dusun mereka untuk dapatkan wang tunai. Malaysia sekarang ibarat petani miskin dan kuasa Barat itu semacam ceti atau tuan punya pajak gadai. Bon ertinya ikatan. Ikatan ertinya belenggu. Belenggu ertinya terjajah. Jadi Mahathir sekarang telah memajakkan segala hasil mahsul dan kekayaan negara kepada kuasa asing iaitu Barat yang dibencinya. Siapa yang membuka ekonomi Malaysia dijajah kuasa asing? Mahathir sendiri!

Keempat: Mahathir kata kuasa barat yang cuba merobohkan benteng dan pertahanan ekonomi negara-negara Dunia Ketiga seperti Malaysia.. Dakwaan Mahathir ini betul. Benar seratus peratus sebab AS itu kepala kapitalis  dunia yang besar. Kapitalis antarabangsa dalam istilah politik dipanggil imperialis. Memang kita kena curiga dan waspada selalu. Tetapi Mahathir dah tahu bahaya, dia buat kerja yang bahaya itu sehingga ekonomi Malaysia ditimpa malapetaka. Mahathir kena jawab sendiri soalan ini:  Sejak pertengahan tahun 1986 hingalah pertengahan tahun1997 – lebih 10 tahun lamanya, siapakah pemimpin Malaysia pada tempoh itu yang memperkenalkan dasar liberalisasi dan deregulisasi dan menjadikan penswastaan sebagai engin pertumbuhan ekonomi? Jawapannya ialah Mahathir sendiri. Liberalisasi ertinya membebas lepaskan pemodal asing termasuk
dari Barat masuk ke negara ini. Deregulasi bermakna melonggarkan semungkin-mungkinnya segala halangan birokrasi dan juga undang-undang serta peraturan pentadbiran (red-tape) untuk menggalakkan pemodal dari luar sama ada dari AS, Eropa, Jepun , Taiwan dan sebagainya. Mahathir jugalah orangnya bersama Daim Zainuddin yang melonggarkan syarat dan peraturan selama ini sehingga pelabur asing jangka pendek terlibat cergas dan berjudi di dalam pasaran saham Malaysia (BSKL). Bolehkah
Mahathir nafikan fakta ini?

Kelima: Mahathir berkata pembangkang di Malaysia berhasrat tipu menipu. Sebenarnya Mahathir sendiri pernah menipu Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li bubar Parti Melayu Semangat 46 untuk masuk UMNO kerana Mahathir ada janji macam-macam. Sudah bubar S46, dan masuk dalam UNMO, habuk pun tak ada. Janji tinggal janji. Siapa tipu siapa sebenarnya?

Keenam: Mahathir kata tiada konspirasi terhadap Anwar Ibrahim.Siapa boleh percaya pengakuan Mahathir ini? Lihat fakta sejarah apa yang telah berlaku berhubung hal Sdr Anwar. Kalau tidak ada konspirasi kenapa sebaik saja selepas Perhimpunan Agung tahun lepas iaitu Jun 1998, tiga orang penting media yang menyokong Anwar telah dipecat iaitu  Johan Jaafar, Editor Utusan Melayu; Ahmad Nazri Abdullah, Editor Berita Harian dan Sdr Yunus Said, Pengarah Operasi TV3? Tidak cukup itu kenapa paksa  Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan Ketua Pemuda UMNO sebagai syarat dibebaskan dari tahanan ISA? Kenapa dulu Mahathir berkata tuduhan-tuduhan salah laku seks dalam surat-surat layang terhadap Anwar sebagai fitnah. Tetapi selepas Perhimpunan UMNO 1998 itu fail penyiasatan polis dibuka semula selepas ditutup? Kenapa disebarkan Buku
Busuk lagi membusukkan Dalil 50 itu kepada para perwakilan UMNO dalam Perhimpunan tahun 1998 itu?

Seterusnya, kenapa Mahathir lantik Daim Zainuddin menjadi Pengarah Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN)? Tidakkah untuk lemahkan suara Anwar dalam soal pengurusan ekonomi dan kewangan negara? Kenapa menekan Gabnor Bank Negara sehingga meletakkan jawatan? Kenapa lantik Gabnor Bank Negara yang baru, satu tokoh yang kewibawaan sahsiahnya dipersoalkan? Tidakkah ini semua satu perencanaan konspirasi yang luas untuk menekan dan menjatuhkan Anwar yang melibatkan instrumen negara di bidang hukum dan undang-undang seperti Pejabat Peguam Negara, Polis dan Mahkamah.
Kenapa mesti Augustin Paul seorang Hakim yang junior dari Melaka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur secara tergesa-gesa dan mencurigakan untuk membicarakan kes Anwar Ibrahim? Kenapa tidak melantik Hakim-Hakim mahkamah Tinggi yang senior dan berwibawa untuk mengadili kes Anwar itu?

Ketujuh: Mahathir berkata bahawa penentang-penentangnya mencarut dan menghinannya. Kita setuju perbuatan mencarut, apatah lagi menghina adalah perbuatan tidak baik dan patut dihindarkan. Tetapi bagaimana dengan Buku Dalil 50? Tidakkah mencarut dan menghina?  Kenapa buku busuk itu dijadikan kanun terpenting pihak pendakwaan yang mendapat sokong an
Mahathir untuk mensabitkan Anwar? Siapa yang memulakan kerja mencarut dan menghina? Mahathir! Beliau kena jawab siapa orangnya yang menuduh Anwar telah melakukan salah laku seks dan tidak bermoral secara umum sebelum pun tuduhan rasmi itu dibawa ke mahkamah keadilan? Mahathir orangnya. Sebab itu kini Anwar saman Mahathir kerana kenyataan  fitnahnya
itu. Jadi siapa yang kerjanya memalukan orang lain, bekas teman, dan rakan seperjuangan?

Kelapan: Mahathir kata Anwar telah melakukan satu penderhakaan kerana menentangnya dan UMNO. Seingat saya Anwar hanya menentang pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang zalim, rasuah dan menyeleweng. Dia tidak menentang UMNO secara membabi-buta. Anwar menentang Mahathir yang dituduhnya rasuah dan menyelweng itu memang betul. Dia suruh Mahathir undur. Itu memang benar. Tetapi adakah kerana itu dia boleh dianggap telah melakukan penderhakaan? Penderhakaan terhadap siapa? Mahathir kena buka semula lipatan sejarah UMNO itu sendiri. Pada tahun 1969 selepas
Peristiwa 13 Mei siapakah pemimpin junior UMNO waktu itu yang menentang Tunku Abdul Rahman secara terbuka? Tidakkah Mahathir sendiri? Adakah pada waktu itu Mahathir seorang penderhaka? Pada pandangan Tunku mungkin, tetapi kepada orang UMNO lainnya atau orang Melayu mungkin tidak. Begitulah halnya penentangan Anwar sekarang. Kepada Mahathir  mungkin satu penderhakaan, tetapi kepada UMNO atau kepentingan Melayu atau rakyat Malaysia seluruhnya mungkin tidak. Sejarah perjuangan adil memang melibatkan penderhakaan ke atas kuasa yang zalim dan menindas. Ingat sejarah Nabi Musa?  Nabi Musa menentang Firaun yang zalim dan menindas.

Kesembilan: Mahathir dedahkan kononnya politik pembangkang timbulkan kebencian. Ini satu kontradiksi nyata. Siapa sebenarnya yang menimbulkan politik kebencian sepanjang masa? Mahathir yang berucap dalam perhimpunan Agung Umno semalam telah memburuk-burukkan Anwar, PAS dan Tuan Guru Nik Abd Aziz di depan beribu-ribu orang perwakilan dan
pemerhati serta para pemimpin jemputan dari dalam dan luar negara, serta liputan  secara terus melalui kaca televisyen dan radio. Tidakkah yang Mahathir lakukan itu menyemaikan kebencian orang ramai terhadap Anwar, PAS dan Nik Aziz? Apa yang Mahathir lakukan samalah seperti cerita kanak-kanak iaitu tentang seorang pencuri apabila tersepit menjerit menuduh orang lain :”Pencuri! Pencuri! Pencuri!” Tetap sebenarnya siapakah yang pencuri?

Mahathir bukan seorang negarawan. Bukan seorang pemimpin yang boleh dijadikan tauladan.Hatinya kecil walaupun umurnya tua. Dia bukan seorang tua yang berjiwa besar. Kes Anwar berhubung soal salah laku seks itu sedang dibicarakan. Masih di peringkat awal pusingan kedua ini. Salah betul masih belum selesai. Tetapi Mahathir sudah hukum Anwar mendahului mahkamah sendiri. Mahathir sengaja mahu menimbulkan kebencian rakyat terhadap Sdr Anwar. Mahathir cukup bimbang kerana rakyat menaruh belas ihsan dan simpati terhadap Anwar. Tujuan utama Ucapan Dasar Mahathir dalam perhimpunan Agung UMNO semalam ialah memburuk-burukkan Anwar sehabis-habisnya. Ini kerja menyemai rasa benci ke atas Anwar
khususnya. Mahathir bukan pemimpin berhati mulia. Dia macam remaja bawah umur yang sanggup bertegang urat leher di tepi-tepi jalan untuk memenangkan hujah benang basahnya. Kalau dalam perhimpunan Agung UMNO 18 Jun 1999 Mahathir telah ambil tugas Pendakwaraya dan Hakim dengan menjatuhkan hukum Anwar bersalah, maka adakah Mahkamah yang sedang bersidang sekarang berani menjatuhkan hukum Anwar tidak bersalah? Kita tunggu akan apa sudahnya kes ini nanti!

Mahathir menerusi ucapannya itu menunjukkan ke dunia umum bahawa beliau bukannya seorang pemimpin negara yang mempunyai sahsiah yang mulia sebagai seorang Perdana Menteri yang prihatin, ihsan, pemaaf dan tidak pendendam. Gaya Mahathir, cara Mahathir dalam soal memalukan Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, satu gaya dan cara yang asing sekali
yang berada di luar orbit budaya Melayu ataupun Islam.

Kesepuluh: Mahathir berkata projek besar yang dia bangunkan di Malaysia sekarang bukannya satu pembaziran. Ini satu pernyataan yang silap. Cuba Mahathir campurkan berapakah jumlah wang segala projek-projek mega berikut yang dijalankan hampir serentak selama hampir sedekad ini sebelum ekonomi diserang krisis. Kirakan kos membina airport KLIA, Menara Kembar Petronas dan KLCC, Ampangan Hidroelektrik Bakun, Pusat pentadbiran baru Putrajaya, Litar Lumba Formula One di Sepang, pelbagai lebuhraya bertingkat di Lembah Kelang, Projek Kota Terapung di Johor bahru, Laluan Kedua  di Gelang Patah dan banyak lagi. Jika dijumlahkan secara kasar, kosnya sekitar RM 150 bilion. Itulah puncanya imbangan bayaran Malaysia mengalami defisit besar. Itu sebabnya kepercayaan orang luar terhadap ekonomi Malaysia terjejas. Mahathir sebenarnya berbelanja boros.Dia salah urus negara kita ini.

Kesebelas:  Mahathir kata maruah bangsa (Melayu) adalah tanggungjawab UMNO. Ini tidak benar. Bukan semua orang Melayu bernaung di bawah UMNO.UMNO sekarang ibarat sebuah parti yang sudah usang sebab sudah banyak kali pecah, sudah banyak kali mati dan dihidupkan semula. Sudah ada UMNO lama, UMNO Baru. UMNO Baru pun kini pecah lagi. Cuba Mahathir lihat jika dia mendabik dada bahawa UMNO menjaga maruah orang Melayu. Fakta berikut menjadi bukti. Mahathir kena jawab berapa ramai sekarang anak-anak remaja dan muda Melayu yang terlibat dengan penyalahgunaan
dadah sepanjang UMNO memerintah negara ini selama 42 tahun? Seorang saja penagih? Seratus orang? Seribu orang? Seratus ribu orang? Atau sudah lebih setengah juta?

Mahathir kena jawab hasil dari dasar-dasar politik, ekonomi dan sosial UMNO selama lebih 4 dekad ini, berapa ramai anak-anak Melayu dan Dewasa Melayu juga yang terlibat dengan masalah sosial, masalah AIDS dan HIV, perceraian, penderaan, sumbang muhrim. Mahathir kena kira berapa ramai anak-anak Melayu yang rosak akhlaknya dan rosak akidah agamanya? Mahathir kena mengaku bahawa dia dan UMNOnya telah gagal memertabatkan Bangsa Melayu!

Mahathir adalah seorang pemimpin yang bercanggah apa yang dia cakap dengan apa yang dia buat. Pemimpin seperti ini hipokrit dan membahayakan keselamatan bangsa, agama dan negara. Mahathir mesti ditentang. Kita  tidak perlu jatuhkan dia secara kekerasan. Kita tolak umpan dan perangkap Mahathir memprovokasi rakyat supaya tembak dia kalau mahu jatuhkan dia. Kita tak perlu bunuh dia cara ganas begitu. Itu bukan budaya politik kita di Malaysia. Sebaliknya Rakyat Malaysia sekarang ambil tindakan lembut saja. Tidak payah gunakan pistol. Tetapi gunakan pensel saja. Jangan pangkah BN yang dipimpin Mahathir. Kita jatuhkan Mahathir secara demokratik. Mandat Mahathir sudah hampir tamat. Lesennya untuk memerintah sudah hampir mati. Jangan sambungkan lesennya lagi. Batalkan lesennya dengan cara menolak Mahathir dan BN dalam pilihanraya umum kali ini.