SANUSI Junid mengumumkan kepada wartawan untuk tidak lagi menyambung perkhidmatannya sebagai Menteri Besar di Alor Setar semalam.

Ulasan Tok Ayah : Sepatutnya PM yang letak Jawatan, kekalahan UMNO bukan sahaja di Kedah tapi seluruh Negara. Isunya ialah si PM tua itu.

Sanusi tolak jadi MB -- Menerima tanggungjawab terhadap prestasi teruk BN Kedah

ALOR SETAR 4 Dis. - Tan Sri Sanusi Junid hari ini mengumumkan untuk menolak tawaran pelantikan semulanya sebagai Menteri Besar Kedah kerana merasakan beliau bertanggungjawab terhadap kemerosotan teruk Barisan Nasional (BN) negeri ini pada pilihan raya umum lepas.

Dengan pengumuman itu, kekosongan kerusi 'panas' Menteri Besar Kedah akan terus menjadi tanda tanya sehinggalah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad melantik tokoh yang sesuai untuk mendudukinya.

Sanusi yang menjadi Menteri Besar sejak tiga tahun lalu berkata: ''Dengan hormatnya saya maklumkan bahawa setelah melihat keputusan pilihan raya pada malam 29 November 1999, saya telah membuat keputusan untuk menolak sebarang tawaran atau tidak menyambung lagi tugas sebagai Menteri Besar Kedah.''

Dalam kenyataan tiga muka surat yang dibacakan di hadapan para pemberita di kediamannya di Jalan Sultanah di sini, beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan Dr. Mahathir, malam kelmarin.

Malah, pada 30 November lalu katanya, beliau telah menulis surat kepada Dr. Mahathir bagi menyatakan hasratnya untuk mengundur diri (sebagai Menteri Besar).

''Setelah berbincang secara terperinci, Perdana Menteri telah bersetuju dengan hasrat saya untuk tidak terus menjadi Menteri Besar,'' katanya.

Pada sidang akhbar yang penuh sayu itu, beliau diapit oleh dua anaknya, Azfar Nur Faruqi, 15, dan Akhari Aya Maziz, 16, serta anak saudaranya, Azman Mustaffa, 31.

Beliau yang kelihatan tenang bagaimanapun enggan menjawab sebarang pertanyaan pemberita.

Keputusan pilihan raya umum 29 November lalu menyaksikan BN Kedah kehilangan lapan (dari 15) kerusi Parlimen dan 12 (dari 36) kerusi Dewan Undangan Negeri kepada Pas.

Keputusan itu dianggap pencapaian terburuk BN kerana pada pilihan raya 1995, BN memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen dan Pas hanya mampu memenangi dua kerusi DUN, selebihnya dimenangi oleh BN.

Sejak itu pelbagai spekulasi mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar telah dipersoalkan.

Pelbagai pihak termasuk di kalangan para pemimpin UMNO sendiri meminta Sanusi selaku Pengerusi BN Kedah bertanggungjawab terhadap prestasi buruk tersebut.

Malah, ada yang dengan nada keras meminta Sanusi melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar bagi memastikan BN Kedah kembali mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Keputusan pilihan raya Isnin lalu dikatakan manifestasi daripada kebimbangan yang pernah disuarakan oleh 22 Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan 22, tiga tahun lalu.

Kumpulan tersebut pernah membantah cadangan pelantikan Sanusi sebagai Menteri Besar pada tahun 1996 kerana beranggapan pelantikan tersebut akan menyebabkan UMNO Kedah berpecah belah.

Kumpulan berkenaan yang diketuai oleh Datuk Zainol Md. Isa, telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri yang antara lain mahukan Tan Sri Osman Aroff kekal sebagai Menteri Besar Kedah.

Sejak memegang jawatan Menteri Besar, Sanusi telah mengumumkan beberapa projek termasuk tanaman padi atas bumbung, pertandingan cabut uban, program mengurut isteri dan projek Mat Jenin yang kemudiannya menjadi bahan gurauan rakyat dan parti pembangkang.

Dalam sidang akhbar itu, Sanusi menjelaskan, beliau membuat keputusan tersebut berdasarkan kepada pengalamannya yang terlibat dalam UMNO selama 36 tahun.

Tegas beliau, keputusan itu dibuat di atas kehendak dirinya dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sama ada secara 'bisikan' atau melalui akhbar tertentu.

''Pandangan musuh politik dari parti lawan dan saingan politik dari parti sendiri yang kebanyakannya disebabkan masalah peribadi, telah saya ketepikan,'' jelasnya.

Beliau mengambil keputusan itu selepas mengambil kira kepentingan parti, bangsa Melayu, Islam, rakyat dan negara.

''Jika kita sebagai pelayar tidak berdaya untuk merobah haluan angin, kita harus sanggup menyesuaikan layarnya agar matlamat, cita-cita dan tujuan tercapai,'' tegasnya sebelum mengakhiri kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan itu juga, Sanusi menjelaskan, keputusan beliau untuk menolak jawatan itu sepatutnya diumumkan pada satu perjumpaan dengan calon-calon BN yang bertanding pada pilihan raya umum lalu di Bangunan Tunku, di sini malam tadi.

''Saya telah mengumumkan kepada semua yang hadir mengenai penolakan jawatan sebagai satu 'tactical retreat' (pengunduran taktikal) dan persetujuan Perdana Menteri atas keputusan ini.

''Saya juga telah menjemput wakil-wakil akhbar untuk membuat pengumuman itu malangnya semua calon yang menang dan kalah menolak keputusan saya dan persetujuan Perdana Menteri,'' jelasnya.

Beliau pernah meminta Perdana Menteri mengumumkan penolakan tawarannya sebagai Menteri Besar tetapi terpaksa ditangguhkan kerana dikhuatiri pengumuman Dr. Mahathir itu akan disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak.

Beliau juga pernah mencadangkan kepada Perdana Menteri mengenai calon yang layak menggantikannya sebagai Menteri Besar tetapi calon tersebut tewas dalam pilihan raya umum 29 November lalu.

Bekas Menteri Pertanian itu tidak menolak pelbagai ramalan dan tanggapan akan dibuat oleh pelbagai pihak mengenai keputusan beliau itu.

''Ada yang sedih dan ada yang gembira. Ini semua sentimen semasa. Kebijaksanaan kami (Perdana Menteri dan Sanusi) akan ditentukan oleh masa.

''Dengan tindakan saya ini untuk tidak lagi menjadi Menteri Besar, saya berharap sahabat-sahabat saya dalam parti tidak akan merajuk atau kecewa,'' tambahnya.

Beliau menyifatkan segala yang berlaku sebagai dugaan terhadapnya dan tetap berpegang bahawa kepentingan parti adalah lebih utama daripada diri sendiri.

Sanusi, 56, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada Ogos 1996 bagi menggantikan Tan Sri Osman Aroff yang meletakkan jawatan pada Jun 1996.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kelab Belia Malaysia (MAYC) mula menyertai UMNO di Seremban pada tahun 1963.

Pada tahun berikutnya, beliau yang mendapat pendidikan di Universiti London dipilih menjadi Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Seremban.

Beliau dipilih menjadi Ketua Penerangan UMNO Kedah antara tahun 1978-1985 sebelum menjadi Setiausaha Agung UMNO antara tahun 1984 hingga 1988.

Antara tahun 1990 hingga 1993, beliau dipilih menjadi Naib Presiden UMNO dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dari 1993 hingga sekarang.

Ketika dalam kabinet, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah (1978-1980), Timbalan Menteri Dalam Negeri (1980-1981), Menteri Negara dan Pembangunan Luar Bandar (1981-1986) dan Menteri Pertanian (1986-1994).

Sanusi juga merupakan pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan menjadi Naib Presiden pertubuhan itu antara tahun 1971 hingga 1973.