TIDAK MUNASABAH LEMPAR KESALAHAN, KATA WAN MOKHTAR

Oleh Abdulrahman Ahmad

KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Bekas menteri besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berkata adalah tidak munasabah melemparkan dakwaan kononnya kekalahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada pilihan raya umum Isnin lepas disebabkan faktor beliau bertanding.

"Macam-macam cerita dibuat dan ada yang marah kononnya saya orang lama ...semuanya saya sahaja ...," katanya kepada Bernama dalam satu pertemuan di kediamannya di Panji Alam, di sini hari ini.

Wan Mokhtar yang ditanya mengenai dakwaan ramai bahawa beliau menjadi faktor kekalahan BN, berkata selaku pengarah pilihan raya BN negeri beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu bagaimanapun faktor dalaman parti perlu turut diambil kira.

Mengenai dakwaan kononnya beliau mendesak pucuk pimpinan parti membenarkannya bertanding semula setelah nama beliau digugurkan, Wan Mokhtar berkata perbincangan ada dibuat dengan pucuk pimpinan dan keputusannya didapati adalah lebih baik jika beliau bertanding semula.

Wan Mokhtar bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kagasan Cukai tetapi kalah kepada calon PAS, Haji Awang Jusoh yang mendapat majoriti 436 undi.

BN Terengganu kecundang apabila PAS memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. PAS turut memenangi tujuh kerusi Parlimen manakala satu lagi kerusi dimenangi parti Keadilan Nasional.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa peluang BN lebih cerah jika beliau tidak bertanding, Wan Mokhtar berkata: "Saya nampak sebaliknya ...ramai yang mahu saya bertanding kerana jika saya tidak bertanding jentera parti tidak mahu bergerak, sebab itu saya terpaksa mengharunginya.

Wan Mokhtar juga berkata beliau bersedia menerajui BN dan perhubungan Umno negeri jika bahagian-bahagian Umno di Terengganu serta pucuk pimpinan parti masih memerlukan khidmatnya dan buat masa ini beliau sibuk menyenggara urusan Umno dan BN negeri.

Ditanya mengenai rancangan masa depan Umno di Terengganu, beliau berkata strategi parti perlu disusun semula.

"Bagaimanapun, untuk mencapai kejayaan, ia harus dilakukan melalui perjuangan yang ikhlas oleh semua pihak dalam parti. Mana-mana (orang) yang telah memainkan peranan tidak baik perlu diketepikan," katanya.

Menurutnya kekalahan BN termasuk kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai yang disandangnya sejak 25 tahun lepas, mengejutkannya kerana daripada risikan dan maklumat yang diterima menunjukkan bahawa BN masih mampu mempertahankan kuasanya di Terengganu.

Ditanya kemungkinan maklumat yang disampaikan kepada beliau itu diselewengkan oleh pelapornya, Wan Mokhtar berkata: "kalau seleweng pun pada satu dua tempat tetapi ini boleh dikatakan semua tempat kami kalah dan kami akan menjalankan siasatan."

Mengulas sama ada kekalahan BN di negeri ini dan kekalahan beliau sendiri di DUN Cukai sebagai satu penolakan pengundi terhadap parti, beliau berkata: "dakyah yang dilemparkan ke atas kerajaan BN telah kami jelaskan menerusi pelbagai cara seperti majlis dialog dengan ketua-ketua jabatan dan rakyat termasuk isu bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim."

Beliau juga tidak menafikan bahawa isu Anwar turut memainkan peranan kerana PAS mengambil peluang daripada isu itu dengan menyebarkan gambar Anwar ditumbuk di bahagian mata kononnya menggambarkan sikap buruk BN.