MB TIDAK TINGGAL DI RUMAH MB

Kewibawaan kerajaan BN akan tercabar lagi berikutan tindakan exco negeri Terengganu yang diketuai oleh Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang akan mengisytiharkan harta mereka bagi memastikan pemimpin-pemimpin kerajaan tidak melakukan penyelewengan.

Serentak itu juga kerajaan PAS Terengganu akan mengkaji semula semua projek mega yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu untuk memastikan pelaksanaannya bukan satu pembaziran.

Menteri Besar Terengganu, Haji Haji Awang berkata beliau akan mendengar sendiri taklimat yang akan disampaikan oleh para pegawainya bagi projek yang melibatkan kepentingan rakyat sebelum membuat keputusan mengenainya.

Arahan terbaru beliau juga supaya kerajaan negeri tidak membeli sebarang kereta baru bagi kegunaan anggota-anggota exco dan beliau sendiri. Beliau juga mengesahkan tidak akan menduduki kediaman rasmi Menteri Besar di Batu Buruk. 

Abdul Hadi berkata kerajaan PAS Terengganu juga akan mengikut contoh kerajaan Kelantan memendekkan masa bekerja bagi kakitangan kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

Mengenai cuti mingguan pada hari Jumat dan Sabtu, beliau berkata hari Khamis adalah hari bekerja sepenuh hari. Kakitangan akan tetap mendapat cuti mingguan dua hari walaupun hari Sabtu itu adalah Sabtu pertama pada bulan berkenaan, katanya.