PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH TERTAKLUK KEPADA PERLEMBAGAAN

KUALA TERENGGANU, - Pelaksanaan Undang-undang Syariah di Terengganu akan tertakluk kepada peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana negara mengamalkan sistem pemerintahan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri Haji Harun Taib berkata kerajaan negeri hanya mampu melaksanakan perkara-perkara yang tertakluk di bawah bidang kuasa negeri.

"Pelaksanaan Undang-undang Syariah di Terengganu juga tertakluk kepada kerajaan pusat sendiri kerana negara ini mengamalkan sistem persekutuan dan setiap perubahan tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Cuma yang mampu kita jalankan ialah perkara-perkara yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang sedikit...InsyaAllah kita akan laksanakan sedikit masa lagi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata sistem perundangan Islam belum dihayati sepenuhnya di negara ini dan masih banyak yang perlu diperbaiki jika ingin melaksanakannya di sesebuah negeri di Malaysia.

Pas dalam manifestonya pada pilihan raya umum lepas menggariskan untuk mendaulatkan sebuah pemerintahan yang berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan memberi kuasa perundangan kepada undang-undang Syariah dengan melengkapkan Mahkamah Syariah dengan pentadbiran undang-undang jenayah dan sivil.

Sementara itu, beliau berkata sistem pendidikan di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Terengganu akan diselaraskan mengikut ketetapan yang dibuat oleh kerajaan Pas negeri mulai bulan depan.

Harun berkata dengan itu semua guru Tabika akan diberikan latihan yang lebih menjurus kepada sistem pendidikan Islam.

"Kita akan selaraskan semua aktiviti kanak-kanak di Tabika daripada segi kurikulum dan ko-kurikulum mengikut Taman Bimbingan Kanak-kanak di Yayasan Islam Terengganu dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu," katanya.

Beliau berkata jika dahulu sistem pendidikan di Tabika lebih memberatkan kepada nyanyian dan sebagainya, kini tumpuan akan diberikan kepada ajaran mengenai akhlak, doa-doa dan lagu-lagu nasyid untuk membentuk muslim yang sejati.

"Bagaimanapun, penyelarasan itu tidak lari daripada konsep asal Tabika itu sendiri iaitu untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak sebagai persediaan sebelum memasuki sekolah rendah," katanya.

Harun berkata penyelarasan itu tidak melibatkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang dikendalikan PAS.

Beliau berkata penyelarasan itu diharap dapat memenuhi matlamat kerajaan membina insan serta melahirkan generasi yang berakhlak, beriman dan bertaqwa.