Kemenangan adalah pertolongan Allah

MARANG Jumaat : Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa syukur di atas pertolongan Allah memberikan kemenangan kepada PAS dalam pilihan raya umum ke-10 sehingga berjaya menawan negeri ini, kata beliau ketika berucap kesyukuran di Masjid Rusila kira-kira jam 10.30 pagi selepas kuliah jumaat.

"Allah memberikan kemenangan setelah kita memenuhi syarat-syarat kemenangan," ujarnya.

Timbalan Presiden PAS itu bagaimanapun tidak menafikan kemenangan itu juga berpunca daripada sumbangan banyak pihak termasuk diri, harta dan segala kemudahan yang diberikan oleh Allah kepada seseorang.

Sumbangan itu, katanya termasuk doa daripada rakyat seluruh negara yang sangat berharga. "Saya mengucapkan jazakumullahukhaira, semoga Allah memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda sebagai ganjaran kepada orang yang berjihad di jalan Allah," katanya ketika berucap ringkas selepas kuliah Jumaat di Masjid Rusila.

Bagaimanapun, katanya semua pihak hendaklah menyedari bahawa usaha untuk mempertahankan kemenangan adalah lebih payah daripada mencapai kemenangan.

"Jangan anggap mudah, untuk mengisi kemenangan bukan hanya beberapa hari tetapi memakan masa beberapa tahun," katanya yang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu.

Bahkan, jelasnya Rasulullah s.a.w. mengambil masa 10 tahun untuk mengisi kemenangan yang turut disambung oleh para sahabat.

Oleh kerana itu, katanya kemenangan PAS di Kelantan dan Terengganu masih tidak cukup dan perlu dimenangkan perjuangan PAS di negeri-negeri lain pula selepas daripada ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengutuskan ucapan tahniah di atas kejayaan PAS menawan negeri ini dan mengambil alih kepemimpinan kerajaan negeri.

Menurutnya, PAS adalah umpama bahtera yang mahu menyelamatkan semua rakyat termasuk kalangan bukan Islam.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli supaya meningkatkan usaha untuk menguatkan jamaah bagi mencapai cita-cita perjuangan untuk menyelamatkan rakyat di negara ini. Tambahnya, perjuangan PAS yang merupakan sebahagian daripada tuntutan agama perlu mencapai kejayaan yang lebih besar dengan niat untuk menyelamatkan manusia.

"Kalau mereka (bukan Islam) tidak mahu masuk Islam, kita tak boleh paksa mereka, kita selamatkan mereka dengan keadilan Islam," katanya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa dukacita dengan sesetengah pihak yang menakut-nakutkan golongan itu dengan hukum Islam termasuk hudud.

Sedangkan, tambahnya perlaksanaan syariat Islam yang mengandungi hukum hudud memerlukan kepada syarat-syarat tertentu. "Kena ada syarat untuk melaksanakan hukum hudud," tegasnya.