Ketua Penerangan Pas dilantik Yang Dipertua DUN Terengganu

Ketua Penerangan Pas negeri, Hussein Awang akan dilantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang baru menggantikan Datuk Abdul Rahman Mohamad yang menyandang jawatan itu ketika kerajaan negeri diperintah Barisan Nasional (BN).

Pelantikan Hussein itu akan diumumkan Menteri Besar, Abdul Hadi Awang sempena majlis angkat sumpah semua wakil rakyat yang memenangi pilihan raya umum lalu, Isnin ini.

Hussein, 52, yang dikatakan mempunyai pertalian keluarga dengan Abdul Hadi pernah bertanding kerusi Parlimen Setiu pada pilihan raya umum 1995, tetapi tewas kepada bekas Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor dengan majoriti 4,815 undi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, Hussein tidak dipilih bertanding di kawasan itu dan tempatnya digantikan Che Ghani Ambak yang berjaya mengalahkan Tengku Mahmud dengan majoriti 3,020 undi.

Kerajaan Pas Terengganu yang diberi mandat memerintah negeri ini juga akan mengadakan persidangan DUN yang pertama, sekali gus membentangkan belanjawan negeri bagi tahun 2000, mulai Selasa ini.

Persidangan DUN yang ditetapkan selama empat hari mulai 20 Disember oleh kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad juga dikekalkan.

Persidangan DUN negeri kali ini menyaksikan BN hanya diwakili empat wakil yang akan bertindak sebagai pembangkang. Mereka diketuai Datuk Abdul Rashid Ngah (Seberang Takir), Tengku Putera Awang (Telemong), Datuk Abu Bakar Ali (Kemasik) dan Rosol Wahid (Ajil).