Apa Akan Jadi Tahun 2000-2004?

Oleh Fathi Aris Omar [e-mel: wanparis@yahoo.com]

Seramai 680,804 pengundi baru, 95 peratus daripadanya berusia bawah 30 tahun, akan diluluskan pada Januari tahun depan. Banyak pihak sedih jumlah ini tidak terlibat dalam pilihan raya ke-10 yang lalu. Kalaulah mereka dapat mengundi tentunya Barisan Alternatif berjaya menawan lebih banyak kerusi. Pilihan raya umum ke-11 tentunya disertai oleh 680,804 pengundi baru ini dan banyak pihak gembira serta berharap jumlah ini akan menyokong parti-parti alternatif.

Sebenarnya pandangan itu silap dan tersasar sama sekali. Tiap-tiap tahun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka pendaftaran baru. Secara purata setiap tahun 200,000 pengundi baru akan mendaftar, sebahagiannya didaftarkan oleh jentera parti-parti politik (tentunya melalui SPR). Jika pilihan raya ke-11 akan diadakan pada tahun 2004, terdapat sekurang-kurangnya 1.5 juta pengundi baru akan menyertai pilihan raya ke-11. Sebahagian besar pengundi baru ini anak-anak muda yang baru layak menyertai proses pilihan raya. Apakah mereka akan mengundi parti-parti alternatif?

TIDAK! Bukan kerana faktor perubahan politik masa depan, dan bukan juga anak-anak muda sudah pro-Barisan Nasional, dan bukan kerana reformasi sudah mati, atau parti-parti alternatif tidak menarik perhatian mereka. Bukan, bukan faktor itu. Itu semua faktor-faktor di luar jangka.

Ada SATU faktor yang boleh kita jangkakan mengapa pengundi-pengundi baru ini, didaftarkan mulai tahun 2000 hingga 2004, tidak akan memihak kepada parti-parti alternatif, malah menguntungkan BN. Faktor itu ialah penyelewengan dalam daftar pemilih (electoral roll). Inilah jatung yang sudah berlubang dalam jasad demokrasi pilihan raya.

Setiap kali pilihan raya (sejak 1986, malah lebih awal dari itu) saya mendengar wujudnya penyelewengan pilihan raya. Setiap kali! Tetapi tidak pernah ada organisasi atau kempen yang serius dibuat untuk memastikan pilihan raya berjalan secara bebas, telus, jujur dan adil.

Tentunya parti-parti politik bertemu dengan SPR, malah dengan pihak polis, untuk “meninjau” soal amalan pilihan raya, kemudian membuat desakan, memberikan kenyataan tetapi itulah sahaja “kepedulian” mereka terhadap amalan pilihan raya. Tidak lebih. Semua tenaga, wang, masa dan tenaga dihabiskan untuk berebut kerusi.

Hairan, sungguh menghairankan bagaimana kekecewaan mereka itu berlangsung tanpa sedikit pun bangkit berkempen MEMASTIKAN pilihan raya itu bebas, jujur, telus dan adil. Menjelang pilihan raya, SPR menjadi sasaran. Selepas pilihan raya, SPR menjadi sasaran kritikan lagi. Dalam tempoh senggang itu, masing-masing parti dan wakil-wakil rakyat melupakan kembali soal-soal keadilan dan kebebasan amalan pilihan raya.

[Nota: Bukan parti-parti politik alternatif tidak berusaha apa-apa tetapi sangat sedikit dan tidak menyumbang ke arah amalan pilihan raya yang benar-benar demokratik]

Pilihan raya hanya layak disertai dalam keadaan semua parti politik berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, level playing field. Pengadil mestilah adil. Jangan seperti lakaran rakan saya Zunar dalam Harakah terbaru 3 Disember, 1999 (halaman 3).

Dalam permainan bola sepak, pengadil yang tidak adil kena baling batu! Keputusan yang kontroversi selalunya di-boo oleh penonton tetapi kalau sudah jelas kejelekan mutu pengadilan, apakah patut penonton bolasepak menikmati sukan ini? Begitu juga sukan pilihan raya!

Bagaimana parti-parti politik, khususnya dari barisan parti pembangkang, boleh menghabiskan berjuta-juta ringgit dan mengerahkan jiwa raga seluruh jentera parti SEMATA-MATA untuk menerima kekalahan demi kekalahan demi kekalahan? Apa erti sorakan kemenangan untuk beberapa buah kerusi?

Antara tahun 2000-2004, inilah lagi penyakit yang bakal dialami oleh parti-parti alternatif. Penyakit ini sangat serius. Mari kita senaraikan penyakit itu,

1. perubahan sempadan setiap sembilan atau 10 tahun sekali. Ertinya, pilihan raya 2004 nanti tidak lagi memakai sempadan DUN dan Parlimen yang ada pada pilihan raya 1999. Semua parti politik ini tahu apa erti “gerrymandering” yang dibuat oleh SPR dan BN. Gerrymandering ialah perubahan kawasan-kawasan pilihan raya supaya menguntungkan parti-parti yang memerintah.

2. Apabila ada pendaftaran baru pada setiap tahun, maka wujudlah fenomena berikut

(a) perpindahan pengundi, yakni pengundi luar masuk ke kawasan-kawasan DUN yang dimenangi oleh parti-parti pembangkang. Jadilah kes-kes, pengundi tidak pernah menjejakkan kaki atau tidak pernah kenal alamat rumah yang didaftarkan di sesuatu kawasan! Mula-mula kerja tidak beretika ini dibuat oleh BN dan dibantah oleh parti-parti pembangkang. Kemudian, semua parti politik sama-sama terlibat dengan najis pilihan raya!

(b) pengundi palsu yang menggunakan nombor kad pengenalan palsu atau nombor kad pengenalan bertindih (dengan seseorang yang memegang IC sebenar). Sebenarnya mereka ini tidak wujud sebagai rakyat Malaysia, oleh itu mereka tidak layak mengundi tetapi “hantu-hantu” inilah yang keluar mengundi.

Penyakit yang disebut di atas itu ditambah lagi dengan beberapa najis pilihan raya yang lain,

(1) kewujudan nama-nama pengundi yang telah mati (yang sepatutnya dibuang) sebab berpotensi dirasuk oleh hantu-hantu!

(2) undi pos yang meragukan, tidak telus, dan sangat-sangat tertakluk pada “kejujuran dan profesionalisme” SPR. Sedangkan SPR itulah yang diragukan, bukannya undi pos sahaja!

(3) kertas undi dicetak berlebihan, kertas undi sudah diconteng, kertas undi disapu lilin, kertas undi hilang (khususnya apabila blackout atau lampu padam yang berleluasa suatu waktu dahulu), kertas undi ditanda nombor daftar pemilih, kertas undi tidak cukup, peti undi dibawa ke tempat lain dahulu (sebelum dewan pengiraan), peti undi sudah terbuka sebelum wakil calon sampai ke dewan pengiraan, peti undi sampai lewat dan macam-macam najis pilihan raya --- semuanya dapat disenaraikan dengan terperinci oleh mereka yang sudah lama menyertai pilihan raya.

Saya tidak kisah pasukan Terengganu tidak boleh masuk pertandingan akhir Piala Malaysia tahun ini (kalah menang, adat pertandingan) TETAPI saya mahukan mutu pengadilan yang tinggi dan berwibawa. Sebab itu FIFA mula memperkenalkan sistem dua orang pengadil. Sebab itu hukuman bagi penerima rasuah dalam sukan bola sepak (akibatnya bilangan gol dan kalah-menang ditentukan di tangan tahi judi!) dikenakan tindakan buang daerah! Tetapi kenapa pesalah pilihan raya boleh terlepas begitu sahaja?

Jangan berharap tahun 2000-2004 menguntungkan parti-parti alternatif kerana dalam kekalahan BN yang teruk ini, macam-macam penyelewengan pilihan raya akan direkacipta lagi.

Satu-satunya cara untuk memastika kemenangan kita menumbangkan BN ialah AMALAN pilihan raya yang BENAR-BENAR demokratik dan telus.

TUNTUTAN RAKYAT UNTUK AMALAN PILIHAN RAYA YANG JUJUR, BEBAS, TELUS DAN ADIL

(1) daftar pemilih baru (pendaftaran semua SEMUA pengundi) yang meyakinkan dan tiada sebarang keraguan, bukannya daftar pemilih yang ada kini, penuh dengan keraguan yang ganjil-ganjil

(2) menghapuskan sistem undi pos

(3) menandakan jari dengan dakwat yang tidak mudah hilang selama 3 hari

(4) media milik kerajaan yang bebas dan adil melaporkan idea-idea parti politik bertanding

(5) mengaktakan peraturan “kerajaan sementara” atau caretaker government

(6) SPR yang turut disertai oleh wakil-wakil organisasi bukan kerajaan (NGO), wakil parti politik, tokoh berwibawa dan pemantau bebas tempatan serta antarabangsa.

Jika tuntutan ini gagal diperjuangkan dan gagal pula ditegakkan, pastilah pilihan raya hanya satu KONSPIRASI antara ahli-ahli politik untuk menafikan kehendak rakyat yang sejati.