Jangan kira nak pecat - Ust. Abd. Hadi

MARANG: Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli-ahli supaya jangan memikirkan untuk memecat orang-orang tertentu setelah mengambil alih teraju pemerintahan kerajaan negeri. Beliau berkata demikian dalam ucapan kesyukurannya selepas kuliah jumaat di Masjid Rusila.

Sehubungan itu, beliau yang dilantik menjadi Menteri Besar menyeru ahli-ahli PAS di kampung-kampung agar tidak bertindak sendiri memecat orang-orang berkenaan daripada jawatan dan tugas mereka sekarang.

"Jangan bertindak sendiri di kampung-kampung, pecat orang itu, pecat orang ini, kira nak pecat saja," katanya ketika berucap selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, pagi tadi.

Majlis ringkas itu sebagai meraikan kemenangan PAS dapat menawan negeri ini dalam pilihan raya ke-10, baru-baru ini.

Katanya, PAS bukan bertindak mahu meruntuhkan rumah sebaliknya membaiki apa-apa yang sepatutnya setelah mengambil alih kerajaan negeri.

"Kalau molek, kita kekalkan, kalau pecah, kalau boleh tampal kita tampal," ujarnya. Bagaimanapun, tegasnya,

kalau orang berkenaan benar-benar berkeadaan buruk barulah diambil tindakan terhadapnya termasuk dipecat. "Jangan kita lempar serba serbi," katanya