BERITA ANTARABANGSA

Kosovo: Mengapa OIC membisu?

SETAKAT ini tidak diketahui sudah berapa ribu rakyat Kosovo keturunan Albania telah dibunuh secara beramai-ramai oleh pengganas Serbia. Berita-berita yang disampaikan oleh pelarian Kosovo yang berjumlah berjuta-juta orang itu, cukup mengerikan. Antaranya, rakyat keturunan Albania itu dikumpulkan beramai-ramai dan dibawa ke khemah tahanan pengganas Serbia untuk didera, sebahagian dari mereka dibunuh. Rumah mereka dibakar, harta mereka dirampas, wanitanya dirogol dan sesetengahnya terus dibunuh.

Berita terkini yang diterima ialah pengganas Serbia menahan pelarian keturunan Albania dari lari ke negara jiran. Ratusan ribu terkandas di sempadan Albania, Macodonia, Montenegro dan mereka kini sedang dijadikan 'perisai manusia' untuk berdepan dengan bom dan roket Nato.

Sepanjang sempadan itu sendiri sudah ditanam periuk api oleh pengganas Serbia, yang merupakan perangkap maut bagi pelarian etnik Albania. Sudah tentu nyawa mereka cukup terancam dan kini sudahpun ramai yang terbunuh. Pendeknya penghapusan etnik Albania (majoritinya Islam) di Kosovo itu sedang dilakukan oleh tentera pengganas Serbia secara yang amat sistematis.

Dalam perang di Bosnia Herzegovina dulu, tentera pengganas Serbia berusaha menghapuskan etnik Islam di sana, tetapi gagal. Dengan itu pengganas Serbia yang menganut agama Kristian Orthodox meneruskan kempen menghapuskan etnik Albania yang mereka ketahui majoritinya Islam.

Sesungguhnya puak Kristian Orthodox yang memerintah negara Balkan itu tidak pernah padam dendam mereka terhadap Islam sejak pemerintahan Othmaniah Turki lebih seratus tahun lalu. Pemerintahan Othmaniah berjaya menawan sebahagian negara Balkan itu dan selepas pemerintahan Othmaniah jatuh, dendam membara Kristian Orthodox itu dihidupkan kembali. Kes Bosnia Herzegovina, Kosovo adalah manifestasi jelas balas dendam itu dilaksanakan oleh mereka secara sistematis.

Kini sudah lebih dari enam bulan pergolakan di bekas Yogoslavia itu berlaku dan berjuta pelarian sudah pun meninggalkan Kosovo dengan penuh azab sengsara, sementara ratus ribu lagi terperangkap kerana dihalang tentera pengganas Serbia untuk keluar dari Kosovo dan sedang menunggu giliran dibunuh beramai-ramai.

Tetapi yang amat mendukacitakan, hingga kini Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) terus membisu, hanya memerhatikan pelarian Islam itu menjalani kehidupan yang amat menyeksa, sementara saudara Islam yang tidak dapat keluar dari Kosovo itu sedang berada di tangan pengganas Serbia. Tidak ada suara dan jauh sekali dari tindakan pihak OIC, menggambarkan betapa lemah dan tidak sensitifnya pertubuhan Islam itu terhadap nasib umat Islam di negara Balkan tersebut.

Mana dia negara umat Islam yang kaya raya, seperti Saudi Arabia, Kuwait dan negara teluk yang lain, yang dulunya sanggup membiayai belanja serangan tentera Amerika dan sekutunya terhadap Iraq. Mana dia negara umat Islam yang kaya minyak dan galian yang lain? Apakah mereka tidak melihat penderitaan umat Islam Kosovo yang sedang diburu ke sana kemari dan dibunuh?

Pemimpin negara umat Islam sudah begitu banyak bercakap mengenai nasib ummah, persidangan demi persidangan, seminar demi seminar, dialog demi dialog diadakan. Tetapi malangnya, tidak ada sebarang tindakan berkesan dilakukan. Pelarian itu kini menghadapi kesengsaraan amat sangat, kebuluran dan penyakit, cuaca sejuk dan pelbagai ancaman.

Bilakah agaknya pemimpin negara umat Islam sedar dan berusaha membantu pelarian ini yang majoritinya beragama Islam. Setakat ini tidak ada sebarang usaha membantu mereka, khususnya dari OIC, menggambarkan betapa lemah dan tidak sensitifnya negara yang diperintah umat Islam.


 

Ke Laman DPPKD