KAJI LEBUH RAYA KERANA POLITIK

Sebelum ini sampai Terengganu saja, kini sampai ke Pahang pula - MB Terengganu

Oleh SAIDAH HAIRAN

 


Orang ramai berebut-rebut untuk bersalam dengan Menteri Besar Terengganu yang baru ketika beliau bersama mereka bersolat tarawih di Markas Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan kerajaan pusat mengkaji balik pembinaan lebuh raya di Terengganu bukan kerana tol tetapi kerana penderaan politik.

Beliau berkata, sebelum pilihan raya, Kerajaan BN mengumumkan lebuh raya Timur Barat akan dibina sehingga Terengganu sahaja tidak sampai ke Kelantan tetapi apabila Terengganu juga dimenangi oleh PAS, lebuh raya hanya dibina hingga Pahang sahaja.

"Ini membuktikan tindakan ini ada motif politik," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ceramahnya yang pertama selepas menjadi Menteri Besar di Markas Tarbiyah PAS Pusat baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa hasil negeri Terengganu sudah mencukupi untuk menampung keperluan negeri dan seterusnya dinikmati oleh rakyat.

Oleh kerana itu katanya, kerajaan negeri Terengganu berhak untuk menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmod kerana selama ini tol itu mendatangkan masalah kepada rakyat.

Ia tidak ada kena-mengena dengan sikap kerajaan negeri mengenai tol.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) tidak perlu terasa hati apabila PAS membatalkan tol di situ kerana itu hak rakyat negeri Terengganu dan PAS akan menunaikan apa yang dijanjikan terhadap rakyat.

Penulis jangan jauhkan bukan Islam

Sebelum itu Tuan Guru Haji Abdul Hadi berbuka puasa dan solat tarawih bersama exco Pemuda PAS Pusat. Lebih 3,000 muslimin dan muslimat turut serta sembahyang tarawih pada malam tersebut.

Sementara itu, lebih 10,000 orang membanjiri Markas Taman Melewar untuk mendengar ceramah dari Menteri Besar dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah, Haji Mahfuz Omar.

Ketika memberikan ceramahnya, Ustaz Abdul Hadi kesal dengan sikap media massa negara ini.

"Bila saya sebut `kharaj' seluruh negara menjadi bising dan semua penulis menulis dan apa yang menyedihkan kita penulis belum tahu apa-apa sudah menulis dan mereka merupakan wartawan beragama Islam. Sepatutnya mereka menulis untuk menjinakkan orang bukan Islam bukan mengajar supaya orang menghina Islam," tegasnya.

Menurut beliau, 'kharaj' adalah cukai yang dikenakan kepada rakyat yang bukan Islam. Kalau orang Islam dikenakan zakat pertanian yang bukan Islam dikenakan kharaj daripada pertanian iaitu cukai tanah.

Di samping itu beliau mengingatkan supaya para penulis jangan terburu-buru di dalam mengulas tentang Islam sehingga menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap Islam.

 

Dipetik daripada HARAKAH