PROJEK LEBUH RAYA PANTAI TIMUR PERLU DITERUSKAN

KUALA TERENGGANU, 15 Dis - Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang hari ini meminta kerajaan pusat meneruskan projek pembinaan projek lebuh raya pantai timur yang dirancangkan dari Karak di Pahang ke Cendering di sini.

"Kita memerlukan lebuh raya itu dan setakat ini tiada timbul masalah...sekiranya ada ia perlu rundingan antara kerajaan negeri dan pusat," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu baru-baru ini yang menyatakan projek lebuh raya berkenaan akan diteruskan hanya setakat negeri Pahang.

Menteri Besar berkata Samy Vellu sebenarnya tidak faham mengenai projek itu dan membuat kenyataan berdasarkan tindakan kerajaan negeri pimpinan Pas itu menghapuskan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud sehari selepas PAS menawan Terengganu dalam pilihan raya umum 29 Nov lepas.

"Samy tak faham. Ini (kenyataannya itu) ekoran kita (kerajaan Pas Terengganu) hapus tol di Jambatan Sultan Mahmud... sebenarnya setakat ini tidak ada masalah (untuk meneruskan projek itu di sini)," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan 10 pemimpin DAP yang diketuai oleh Pengerusi kebangsaan Lim Kit Siang di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata jika hendak membatalkan projek itu di sini sekalipun, perlu ada perundingan antara kerajaan negeri Terengganu dan pusat kerana ia bergantung kepada soal dasar dan prinsip.

Menteri Besar berkata projek berkenaan adalah projek kerajaan pusat dan pastinya ia akan diteruskan tanpa mengira negeri ini diperintah oleh parti pembangkang.

Mengenai kharaj, Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkata perkara itu masih di peringkat kajian dan jika ingin dilaksanakan, kajian secara menyeluruh perlu dibuat oleh kerajaan negeri melalui sudut perundangan dan pandangan rakyat.

Beliau berkata perkara itu juga perlu dibincangkan dengan kerajaan pusat terlebih dahulu. Bagaimanapun Hadi tidak menyebut bila akan dibawa kepada kerajaan pusat.

Kharaj ialah pungutan yang dikenakan ke atas masyarakat bukan Islam dalam kegiatan ekonomi mereka.

Mengenai pelantikan wakil bukan Islam dalam majlis daerah dan perbandaran, Haji Abdul Hadi berkata perkara itu akan diuruskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Hj. Wan Abdul Mutalib Embong.

"Kerajaan akan mendapatkan padangan daripada masyarakat bukan Islam mengenai wakil mereka di majlis daerah atau perbandaran tanpa mengira kaum, agama dan parti politik mereka," katanya.

Mengenai wakil bukan Islam di peringkat kerajaan negeri, beliau berkata perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu sama ada ia melibatkan kepada implikasi undang-undang atau tidak.

Kepada soalan mengadakan jawatan timbalan menteri besar, Haji Abdul Hadi berkata ia terserah kepada kerajaan negeri sama ada untuk melantiknya atau tidak.

Beliau berkata tidak menjadi masalah kepadanya untuk melaksanakan tugas-tugas menteri besar di samping menjadi ahli Parlimen Marang kerana di Sabah dan Sarawak juga Ketua Menteri mereka turut menjadi anggota parlimen.