Lima pemimpin Kosovo dibunuh

 

KASIH CUCU...Seorang pelarian Kosovo sedang menyorong neneknya ketika menyeberang masuk sempadan Morini, Albania minggu lalu.
KETIKA Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu meluluskan usul membenarkan tentera bersekutu yang diketuai oleh Amerika menyerang Iraq pada tahun 1990 dahulu, Malaysia menjadi anggota majlis itu dan sehingga hari ini sekatan yang dikenakan ke atas negara itu masih berkuatkuasa.

Kali ini, ketika tentera Nato melancarkan serangan ke atas Serbia Malaysia juga menganggotai majlis itu walaupun isu yang dihadapi berbeza iaitu mengenai keganasan dan kekejaman ke atas rakyat Kosovo etnik Albania yang berjuang menentang tentera Serbia yang dibantu oleh Yugoslavia.

Wakil tetap Malaysia ke Majlis Keselamatan, menyalahkan anggota majlis itu kerana gagal menyelesaikan isu Kosovo lebih awal, yang akhirnya Nato melancarkan serangan udara ke atas Yugoslavia. Ini kerana perbezaan politik di kalangan anggota tetap majlis menyebabkan isu ditangani di luar Majlis Keselamatan.

Sementara itu, Nato mengumumkan di Belgrade bahawa lima pemimpin etnik Albania yang terlibat dalam rundingan damai di Perancis telah dibunuh dengan kejam di Kosovo.

Jurucakap Nato di Brussels berkata mereka yang dibunuh antaranya ialah Fehmi Agani, anggota delegasi Kosovo Albania yang menghadiri rundingan damai di Perancis baru-baru ini, seorang lagi ialah Baton Haxhiu, ketua pengarang akhbar Koha Ditore.

Pembunuhan itu berlaku selepas mereka menghadiri pengebumian peguam Bajram Kelmendi, yang ditembak oleh polis Serbia bersama dua anak lelakinya pada malam pertama serangan Nato Rabu lalu.

Nato menganggarkan bahawa 500,000 etnik Albania telah meninggalkan kampung halaman mereka sejak sengketa itu meletus tahun lalu.

 

Halaman Berita