TERENGGANU BENARKAN TERNAK KHIZIR

KUALA TERENGGANU, 15 Dis - Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan kerajaan PAS pimpinannya menarik balik larangan menternak khinzir di negeri itu. Larangan tersebut diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak 1990. "Penternakan khinzir merupakan hak orang bukan Islam," jelas Hadi kepada malaysiakini.

Sebelum ini, kerajaan negeri pimpinan BN mengenakan larangan tersebut atas alasan negeri itu tidak mempunyai cukup tanah untuk tujuan berkenaan. Satu sumber di Terengganu menyebutkan ekoran larangan itu, sebuah ladang penternakan khinzir ditutup tanpa sebarang pampasan.

Menurut Hadi, dasar BN itu semata-mata bertujuan memancing undi orang Islam dan bukannya bersandarkan hujah-hujah agama.

Bagaimanapun, beliau menekankan hak untuk menternak khinzir akan dikenakan syarat-syarat tertentu. Penternak, katanya, mestilah memastikan ladang-ladang mereka sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang penyakit, dan juga ladang itu mestilah dibangunkan di kawasan yang tidak mengganggu perasaan orang Islam.

"Mereka haruslah mencari satu tempat yang sesuai," jelasnya lagi.

Kebenaran menternak semula khinzir itu bermakna masyarakat bukan Islam di Terengganu akan menikmati daging khinzir yang lebih murah dan bermutu. Sekarang daging khinzir dibawa masuk dari negeri jiran, Kelantan, sebuah lagi negeri di bawah pimpinan PAS sejak 1990.

Setiausaha Jawatankuasa Tuntutan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina Malaysia, Ser Choon Ing berkata penarikan balik larangan itu membuktikan PAS bersedia menghormati hak-hak kaum bukan Islam.

"PAS tidak mesti lebih Islam daripada BN," katanya. Bagaimanapun, beliau menggesa PAS agar tidak melaksanakan dasar-dasar Islam ke atas masyarakat bukan Islam.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Menteri Besar itu juga menyebutkan bahawa cadangan untuk mengenakan kharaj, sejenis cukai tanah, ke atas bukan Islam masih dalam proses kajian di peringkat kerajaan negeri. Jika kharaj diperkenalkan, orang bukan Islam akan diberikan pilihan sewajarnya, tambahnya lagi.

"Terpulang kepada orang bukan Islam sama ada mahu memilih untuk membayar kharaj ataupun cukai tanah yang ada sekarang," jelasnya. "Tidak ada sesiapa akan memaksa mereka."