Kharaj: Ke arah pemantapan dan keadilan ekonomi umat

Oleh Ust. Kamal Abu 'ammar


Kharaj adalah cukai tanah yang dikenakan ke atas orang-orang bukan Islam, sebagaimana orang-orang Islam yang dikenakan zakat pertanian.

KHAZANAH Islam nampak semakin terserlah di bumi pertiwi ini. PAS adalah penggerak pembaharuan, pencetus idea-idea baru yang berlandaskan kepada paradigma Ilahiyah. Sekali lagi PAS membuktikan misi dan eksistensinya sebagai wahana yang boleh merealisasikan aspirasi umat ke arah kemajuan dan keberkatan. PAS adalah satu-satunya wadah perjuangan yang mahukan Islam dan pelaksanaan Syariahnya.

Bermula dengan pembaharuan sistem pemerintahan di Kelantan, PAS mula memperakukan sistem kewangan kerajaan negeri itu dengan tanpa melibatkan instrumen riba. Menyemarakkan pinjaman Qardhul Hasan (interest free loan) kepada kakitangan kerajaan negeri.

Memperkenalkan dan mengembangkan Ar Rahn (pajak gadai Islam), hospital Islam dan hotel Islam (Al Ansar). Menggalakan pelaksanaan sistem perdagangan dan perniagaan melalui instrumen Musyarakah dan Mudharabah.

Kedaulatan Islam hanya boleh ditegakkan di atas usaha dan inisiatif umatnya. Agama kita adalah tanggungjawab kita. Kemurnian ajarannya patut dipertahankan dengan cara apa sekalipun, meskipun ditentang hebat oleh golongan orientalis barat dan nasionalisme sekular.

Segala usaha untuk menyudut dan menyempitkan ajaran Islam, serta menakut-nakutkan bukan muslim tentang Islam, sehingga mereka menjadi phobia terhadap Islam, maka tindakan sedemikian adalah satu pengkhianatan yang mesti ditolak. Fikrah songsang ini adalah penyakit kronik golongan politik yang dijelmakan oleh nasionalisme-sekular.

Ketika PAS berjaya meningkatkan dan menguatkan pengaruh serta kedudukannya melalui sistem demokrasi di negara ini, maka secara lazimnya kerajaan pusat mesti menerima segala perancangan yang akan diperkenalkan oleh PAS dengan hati terbuka dan penuh kematangan.

Ketika kerajaan negeri Terengganu baru memperkenalkan sistem percukaian Islam, kharaj, sepatutnya semua pihak mesti melihat dari perspektif positif, terbuka dan bebas. Anggaplah ianya sebagai membuka pintu gerbang perbahasan ilmu daripada khazanah Islam yang maha luas. Bukan menanggapinya dengan prejudis politik, kebencian dan permusuhan.

Kharaj adalah cukai tanah yang dikenakan ke atas orang-orang bukan Islam, sebagaimana orang-orang Islam yang dikenakan zakat pertanian. Perkara ini secara ringkasnya telah disentuh oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu, dalam Harakah terdahulu.

Kharaj merupakan salah satu instrumen dalam sistem percukaian Islam yang biasa diperbahaskan dalam kitab-kitab Muamalah Islamiyah. Ia banyak disentuh dalam tafsir Al Qurtubi, Al shafi'e dalam Al Umm, Al Mawardi dalam Al Ahkam Al Sulthaniyah, Muhammad Baqir dalam Iqtishaduna, Abu Yusuf dalam Al Kharaj, dan pelbagai kitab lainnya, dalam pelbagai versi bahasa.

Cukai merupakan sumber utama dalam kumpulan harta negara (Baitul mal). Percukaian yang biasa diaplikasikan dan diperbahaskan antara lain ialah cukai tanah (kharaj dan ushr), cukai perlindungan (sulh al jizyah), cukai diri (jizyah al ru'us), dan cukai perdagangan (al ushur).

Kharaj telah menjadi amalan sejak di awal pemerintahan Islam lagi, di era para Khalifah terdahulu serta disokong oleh para sahabat seperti Talha, Mu'adh dan Ibnu Omar. Berbeza dengan sistem percukaian konvensional yang sumber asasnya adalah sekularisme barat.

Kharaj, ketentuan hukumnya adalah bersumberkan Quran dan Sunnah Rasul. Sementara ijtihad digunakan oleh para sahabat kemudiannya, dengan bantuan Majlis Syura, yang bertujuan untuk penyesuaian dan boleh mendatangkan manfaat yang lebih besar, bagi mewujudkan suatu koleksi sumber pendapatan negara yang baik dan berkesan.

Bentuk, kaedah dan aplikasi teknikalnya adalah berbeza-beza disesuaikan dengan maslahah penduduk dan negara. Pada prinsipnya tidak membebankan atau menyusahkan mana-mana pihak, tetapi pada hakikatnya cuba untuk melahirkan hubungan duahala antara rakyat dan kerajaan yang lebih mesra dan harmonis.

Kharaj merupakan instrumen percukaian alternatif yang memberi keadilan dan kemaslahatan untuk semua. Kerjasama dan persefahaman antara kerajaan dan rakyatnya dalam menggulirkan kharaj merupakan salah satu usaha yang menjana semangat baru untuk menuju matlamat yang satu, iaitu mewujudkan sebuah negeri yang mempunyai keteguhan dari segi pembangunan fizikal, mental dan spiritual dengan kesatuan tekad dan akidah, serta mendapat keredaan Allah S.W.T.

Hasil koleksi cukai dari sistem kharaj menjadi satu daripada sumber terpenting dalam kemasukan hasil pendapatan negara. Manfaat yang dicapai adalah kemaslahatan global, untuk segenap lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang membayar kharaj tersebut.

Dalam perkembangan semasa, kharaj banyak ditulis oleh pakar-pakar ekonomi Islam. Tajuk berkenaan dengan 'Fiscal System of Islam' selalu diperbahaskan dalam pelbagai seminar mahupun forum internasional. Kertas kerjanya sentiasa dibentangkan seiring dengan perbahasan Islamic Economics and Banking System of Islam'.

Kami menyeru para pejuang Islam dan reformis sejati untuk proaktif di dalam menaja dan mengkoordinasikan perbahasan dan dialog khazanah ilmu-ilmu Islam. Ini merupakan salah satu pendekatan yang cukup baik dan berkesan kepada masyarakat majmuk. Dan ia juga bagi membuktikan bahawa kita adalah para pendukung pembaharuan sejati yang cintakan ilmu, intelektualiti dan profesionalisme.

 

Dipetik daripada HARAKAH