Make your own free website on Tripod.com

KHARAJ: KELANTAN AKAN KAJI SECARA TERPERINCI

KOTA BAHARU, 15 Dis - Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa kajian terperinci akan dijalankan jika ia bercadang mengenakan kharaj (cukai) terhadap masyarakat bukan Islam di negeri ini pada masa depan.

Timbalan Menteri Besar Hj Abdul Halim Abdul Rahman berkata, buat masa ini kerajaan negeri belum ada cadangan untuk mengenakan kharaj kepada masyarakat bukan Islam.

"Di Terengganu pun, ia masih dalam peringkat kajian, ia mesti melalui pelbagai proses undang-undang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini, hari ini.

Hj Abdul Halim berkata demikian ketika ditanya adakah kerajaan Kelantan akan mengikut jejak kerajaan Terengganu yang bercadang mengenakan kharaj kepada masyarakat bukan Islam di negeri itu membabitkan kegiatan ekonomi seperti perniagaan, pertanian, perlombongan dan perindustrian.

Beliau berkata kharaj dikenakan untuk mengantikan cukai tanah tetapi di Kelantan sekarang ini hasil tanah merupakan hasil utama negeri.

"Kita di Kelantan ada sumber gas, mungkin kalau dapat royalti pada 2003, kita boleh mempertimbang dari situ sama ada hendak mengenakan kharaj," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan sistem itu juga mesti diselaraskan dengan Kanun Tanah Negara.

Dalam perkembangan lain, Hj Abdul Halim berkata kesemua anggota Dewan Undangan Negeri dan Speaker akan mengangkat sumpah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan 30 Dis ini.

Pada pilihan raya umum ke-10 yang baru berakhir, PAS memenangi 41 daripada 43 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan manakala dua kerusi lagi dimenangi oleh Barisan Nasional.