UST FADZIL NOOR DIPILIH KETUA PEMBANGKANG YANG BARU

PETALING JAYA, 8 Dis - Presiden PAS Datuk Fadzil Noor hari ini dipilih sebagai ketua pembangkang di Parlimen yang baru menggantikan Lim Kit Siang dari DAP.

Pemilihan itu dibuat pada mesyuarat pakatan pembangkang yang dikenali sebagai barisan alternatif di sebuah hotel di sini dengan dipengerusikan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika bercakap bagi pihak barisan alternatif selepas mesyuarat tiga jam itu, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Syed Husin Ali berkata keputusan itu diambil memandangkan PAS mempunyai kerusi terbanyak di pihak pembangkang.

Di kalangan anggota barisan alternatif PAS memenangi 27 kerusi Parlimen, DAP (10), Keadilan (lima) manakala PRM tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum 29 Nov lepas. Jumlah keseluruhan kerusi Parlimen ialah 193.

Lim tewas bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera yang ditandinginya pada pilihan raya itu.

"Atas cadangan DAP yang disokong oleh Keadilan, kita bersetuju memilih Fadzil Noor sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen," kata Syed Husin.

Mesyuarat hari ini dihadiri oleh pengerusi atau presiden serta setiausaha agung keempat-empat parti dalam barisan alternatif yang merangkumi Keadilan, PAS, DAP dan PRM.

Selain Wan Azizah, yang turut hadir ialah Fadzil, Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan penasihat seumur hidup DAP Dr Chen Man Hin.

Syed Husin berkata mereka juga memperakui pandangan Lim yang dinyatakan semalam bahawa Ketua Pembangkang di Parlimen harus diberikan status menteri.

Lim antara lain berkata dengan status baru itu, ia akan meningkatkan demokrasi di Malaysia.

Menurut Lim, elaun Ketua Pembangkang juga harus sama dengan elaun yang diberikan kepada seorang menteri kabinet. Ketua pembangkang juga perlu diberikan kemudahan dan keistimewaan lain seperti yang dinikmati oleh menteri kabinet.

Mengenai isu kharaj, Syed Husin berkata Fadzil telah menerangkan dalam mesyuarat itu bahawa perkara berkenaan sebenarnya sedang dikaji oleh kerajaan PAS Terengganu daripada segi kesesuaian serta implikasinya.

"Sebenarnya, soal ini timbul bila seorang pemberita bertanya (Menteri Besar Terengganu) apakah maksud kharaj itu dan dia terangkan, dan mulai daripada itulah, timbul perkara ini. Perkara ini belum dicadang untuk dilaksanakan, tetapi baru dikaji. Ia diperbesar-besarkan oleh media sahaja," katanya.

Syed Husin berkata tidak ada jangka masa tertentu yang ditetapkan bila kajian itu akan siap.

"Akan ada perundingan di antara parti-parti tentang pelaksanaan perkara seperti ini (kharaj)," katanya.

Mengenai masa depan barisan alternatif yang telah gagal menafikan majoriti dua pertiga BN dalam pilihan raya umum lepas, Syed Husin berkata pakatan itu akan diteruskan.

"BA akan berterusan dan masih kukuh dan akan diperkukuhkan," katanya.

Beliau berkata mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana terbuka dan membincangkan pelbagai perkara termasuk mengenai masa depan pakatan itu.

"Masa depan kita baik, kalau ada pilihan raya kecil pun kita bersedia,"katanya.