Bawa cerita burukkan kumpulan Islam

JANGAN TERPEDAYA TUKANG KARUT MAHATHIR

 

Dato' Fadzil Noor

Syed Husin Ali.
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr. Syed Husin Ali membidas 'tukang karut Dr. Mahathir yang membawa cerita karut memburukkan kumpulan Islam dalam negara ini'.

Dalam satu kenyataannya, kedua pemimpin itu berkata:

"Tukang karut Dr. Mahathir, iaitu Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin dan Dato' Ibrahim Ali sudah mulai membuat cerita karut untuk memburukkan kumpulan Islam dalam negara ini bagi mendapatkan simpati untuk Dr. Mahathir menjelang pilihanraya umum yang dijangka tahun ini."

Pada hari Dr. Mahathir berangkat ke Makkah untuk menunaikan Haji, kata kenyataan itu, Abdul Hamid menuduh parti politik, dan kumpulan universiti serta Islam kononnya telah disusupi oleh 'sebuah Majlis Fatwa Islam sulit' yang bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui perbalahan politik dan kekacauan kaum. Pada hari yang sama, kata kenyataan itu lagi, Ibrahim Ali, mendakwa 'Majlis Fatwa Islam' yang tidak jelas itu telah mengeluarkan fatwa kononnya supaya Dr. Mahathir Mohamad dibunuh dan menyeru tentera dan polis menjatuhkan kerajaan. (Sun 25 March, 1999).

"Tuduhan oleh tukang karut ini adalah pembohongan besar dan kami mencabar mereka mendedahkan nama-nama anggota yang dikatakan Majlis Fatwa itu, dan juga parti serta badan pelajar Islam yang telah disusupi itu," kata kenyataan Dato' Haji Fadzil dan Dr. Syed Husin.

Dalam beberapa bulan lalu, kata kenyataan itu, Dr. Mahathir telah menjadi seorang yang tidak disukai ramai di kalangan rakyat Malaysia, terutama sekali orang Islam, kerana ketidakadilannya terhadap Anwar Ibrahim dan mempersendakan Nabi Muhammad (saw) serta ulama'. "Tukang-tukang karut ini sedang cuba mendapatkan simpati umum terhadap Dr. Mahathir dengan membuat cerita tentang kumpulan Islam yang cuba membunuhnya. Jikalau ada kumpulan yang hendak membunuh Dr.Mahathir, mereka tidak akan membuat tape dan meninggalkan di sekolah untuk didengar oleh Ibrahim Ali dan Abdul Hamid," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga berkata, pihaknya ingin mengingatkan tukang karut ini bahawa rakyat Malaysia tidak lagi bodoh atau mudah ditipu untuk mempercayai cerita karut ini.

Apabila pilihan raya semakin hampir, kata keduanya, lebih banyak cerita karut akan dibuat oleh tukang karut. Menurut kenyataan itu, kini, TV3 sudah pun menerbitkan rancangan bernama Jendela Dunia yang menunjukkan keganasan dan tumpah darah semasa rusuhan baru-baru ini di Indonesia. Keganasan itu dikaitkan dengan mereka yang menyuarakan reformasi. "Mesejnya jelas, iaitu jikalau kamu tidak menyokong BN dalam pilihan raya akan datang, keganasan dan tumpah darah akan berlaku." kata kenyataan itu.

Dato' Fadzil dan Dr. Syed Husin mengutuk cara kerajaan BN menakut-nakutkan rakyat Malaysia dan mengapi-apikan kebencian kaum untuk terus berkuasa. Keduanya menyeru supaya rakyat Malaysia sentiasa berjaga-jaga dan jangan mempercayai cerita-cerita tukang-tukang karut BN yang akan sentiasa diberi liputan meluas melalui media elektronik dan cetak yang dikuasai oleh BN.


GAMBAR PENGKHIANAT

 

Ke Berita Utama