KAKITANGAN YANG DITUKAR PERLU UNTUK LICIN PENTADBIRAN

BESUT, 15 Dis - Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata mana-mana kakitangan Kerajaan Negeri yang ditukar atau diberhentikan kerja ketika pemerintahan PAS di Terengganu sekarang supaya menganggapnya sebagai takdir Allah.

Kakitangan yang terbabit tidak harus berkecil hati atau membuat tuduhan melulu kerana Kerajaan Negeri berbuat demikian bukan atas dasar membalas dendam, tetapi membuat pengurusan semuala pentadbiran, katanya.

"Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang maha berkuasa untuk menentukannya," katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Kerajaan Negeri di kediaman pegawai daerah Besut di Pantai Peranginan Air Tawar dekat sini, petang semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan pentadbirannya berjalan dengan baik dengan mengamalkan pendekatan keimanan yang tinggi.

Beliau yakin dengan keimanan yang tinggi segala bentuk kemungkaran akan dapat dihindar termasuk amalan rasuah.

Sementara itu, di DUNGUN, Naib Presiden PAS Haji Mustafa Ali berkata Haji Abdul Hadi yang memutuskan untuk tidak tinggal di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Sultan Mahmud di Batu Buruk, tidak akan akan mengambil elaun rumah yang ditetapkan kepada Menteri Besar yang tidak tinggal di kediaman rasmi.

Haji Mustafa yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, elaun rumah Menteri Besar bernilai antara RM3,000 dan RM4,000 setiap bulan itu akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Kediaman rasmi Menteri Besar itu hanya akan dijadikan tempat menerima tetamu, katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan penyokong-penyokong PAS di masjid Sura di sini, hari ini.

Haji Abdul Hadi akan terus tinggal di rumahnya di perkarangan Masjid Rusila, Marang, dekat sini.