SUK, KHINZIR DAN JUDI - KETERANGAN MB

MARANG, 17 Dis - Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang hari ini berkata kerajaan negeri akan mengumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru, esok.

Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat di pejabatnya di Wisma Darul Iman dan beberapa pertukaran yang dilakukan oleh kerajaan negeri baru-baru ini bukan bersifat penindasan tetapi adalah perkara biasa dalam kerajaan.

"Pertukaran pegawai adalah untuk meletakkan mereka yang sesuai dengan dasar kerajaan yang memerintah dan membetulkan kesilapan kerajaan lalu melibatkan kenaikan pangkat secara langkah melangkah," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada pemimpim-pemimpin Pemuda Keadilan Nasional yang diketuai oleh Ketuanya Mohd Ezam Mohd Noor di Rusila, Marang.

Ketika ditanya mengenai persaraan awal Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Che Mat Jusoh semalam, Hadi berkata ia adalah perkara biasa dalam mana-mana kerajaan untuk meletakkan pegawai yang sesuai dengan kerajaan negeri berkenaan.

"Kita memberi pilihan kepada beliau (Che Mat) supaya memegang jawatan lain yang sesuai dengannya tanpa menurunkan tarafnya dan beliau memilih untuk bersara awal," katanya.

Che Mat, 50, yang sebelum ini Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) dilantik sebagai SUK Terengganu pada 20 April lepas menggantikan Datuk Baharuddin Ismail yang meninggal dunia pada 2 April.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri pimpinan Pas memberi hak kepada masyarakat bukan Islam di negeri ini untuk memelihara khinzir bagaimanapun mereka perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Syarat-syarat itu antaranya ialah penternakan khinzir berkenaan tidak mengganggu masyarakat Islam, kebersihan yang terjamin dengan saliran yang betul serta memastikan tiada sebarang wabak penyakit yang berlaku apabila ia diternak.

Bagaimanapun, penternakan khinzir itu adalah untuk masyarakat bukan Islam di Terengganu sahaja, katanya.

Ditanya mengenai untuk membuka pusat penyembelihan khinzir pula, Haji Abdul Hadi berkata ia melihat kepada keperluan di negeri ini dan jumlah penduduk bukan Islam yang ada serta kawasan yang sesuai.

"Mungkin orang bukan Islam di Terengganu tak mahu ternak khinzir dan mencukupi bagi mereka dengan mendapatkan bekalan itu dari luar seperti di Singapura yang tidak mempunyai pusat ternak khinzir dan mendapatkan bekalan itu dari luar republik itu," katanya.

Haji Abdul Hadi berkata kerajaan negeri memberi masa kepada premis-premis perjudian di negeri ini untuk menguruskan masalah pekerja mereka dengan memberi tempoh tertentu untuk menutup kegiatan perjudian itu di negeri ini.

Setakat ini terdapat lapan premis perjudian di Terengganu iaitu dua beroperasi di Dungun dan selebihnya di Kuala Terengganu. Tempoh lesen premis mereka berakhir 31 Dis ini.

Mengenai pengharaman penjualan arak pula, Haji Abdul Hadi berkata pengharaman itu hanya tertakluk kepada masyarakat Islam sahaja dan orang bukan Islam pula hanya boleh menjual arak di kalangan mereka.

"Arahan itu hanya pada orang Islam dan bukan Islam sesama mereka berhak menjualnya...pengharaman itu untuk premis sahaja bagaimanapun lesen arak adalah tertakluk kepada kerajaan pusat," katanya.

Bagi hotel-hotel yang ada menjual arak, ia tidak dibenarkan menjualnya kepada orang Islam, katanya.