Make your own free website on Tripod.com

JANJI TAK DAPAT DITUNAI TANPA KERJASAMA RAKYAT, KATA MB

MARANG, 6 Dis - Kerajaan PAS Terengganu mungkin tidak dapat menunaikan semua janjinya dalam manifestonya sewaktu pilihan raya umum lepas jika tidak mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua rakyat negeri itu.

Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata dasar kerajaan negeri ialah untuk memperbetulkan kesilapan yang berlaku dan menegakkan keadilan di negeri itu.

"Kita mungkin tidak perlu menunaikan janji dalam manifesto sewaktu pilihan raya umum lepas jika tidak dapat kerjasama semua pihak...perkara ini perlu difahami oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman politknya," katanya ketika berucap di majlis jamuan menyambut ramadan di Pasar Binjai Rendah dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri Mustafa Ali yang juga Setiausaha PAS Terengganu.

Hadi yang juga Persuruhjaya PAS Terengganu berkata kerajaan negeri juga akan membentuk satu majlis yang dipanggil "syura rakyat" untuk memberi peluang kepada orang ramai menyatakan pandangannya terhadap pentadbiran kerajaan.

"Kita akan melaksanakan syura rakyat untuk memberi peluang kepada rakyat memberi pandangan mereka kepada kerajaan," katanya.

Bagaimanapun, Hadi berkata setiap pandangan yang hendak diberi itu mestilah mengikut saluran yang akan disediakan oleh kerajaan negeri.

Ketika diminta mengulas mengenai masyarakat bukan Islam di negeri ini yang akan dikenakan kharaj (cukai) antara lima dan 10 peratus, Hadi berkata :"Tunggu...tunggu, kalau nak cerita panjang...saya nak cepat (pergi ke satu majlis lain pula)."

Laporan akhbar hari ini memetik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Harun Taib sebagai berkata cukai akan dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam bagi semua pendapatan tahunan bagi urusan perniagaan, pertanian, perlombongan dan perindustrian.