Ibrahim Saad Sengaja Dikorbankan Mahathir  

Dr. Ibrahim Saad  mahukan lebih kurang 5,000 ahli-ahli UMNO Permatang Pauh dipecat kerana mengundi Parti Keadilan dan PAS dalam pilihanraya lepas. Dalam pemilu itu Dr.Ibrahim  menerima 14,743 undi berbanding dengan 23,820 undi yang diterima oleh Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail  dan menang dengan majoriti 9,077 undi. Mahathir tahu dan UMNO tahu bahawa UMNO Permatang Pauh tidak lagi mendapat sokongan  rakyat di situ. Perbandingan undi yang diterima oleh calon-calon yang ditunjukkan di bawah ini jelas mengesahkan keadaan sebenarnya.  

PARLIMEN – Permatang Pauh
BN  :          14743(‘99) 27945(‘95)kurang    10,202 undi
ADIL/DAP/PAS : 23820 (‘99)  8786 (‘95)bertambah 15,034 undi

DEWAN UNDANGAN NEGERI  
Seberang Jaya : BN  7423(’99) 11,063(’95) kurang  3640 undi
Permatang Pasir : BN 5236(’99) 8764(’95)  kurang  3528 undi 
Penanti         : BN 4422(’99) 8577(’95)  kurang  4155 undi  

Seberang Jaya :  Adil/DAP 6570(’99) 2093(’95)bertambah 4477 undi  
Permatang Pasir :PAS      8430(’99) 2566(’95)bertambah 5864 undi  
Penanti      :   Adil/S46 6405(’99) 1759(’95)bertambah 4646 undi  

Pada 1995 DSAI telah memenangi  kerusi Permatang Pauh dengan menerima 27,945 undi  menewaskan calon DAP yang mendapat 4715 undi dan PAS  yang mendapat 4071 undi. Kombinasi undi yang diterima pembangkang pada 1995 ialah 8786 berbanding dengan  23,820 undi yang diterima pada 1999, bererti undi pembangkang sekali ini meningkat jika dibandingkan dengan undi yang diterima oleh pembangkang pada 1995.  

Di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Permatang Pauh ini undi yang diterima oleh calon-calon UMNO (BN) berkurangan, sedangkan undi untuk calon-calon pembangkang bertambah. Malah di Seberang Jaya di mana BN menang dengan majoriti 853 berbanding dengan majoriti  8970 yang diperolehi pada 1995 menunjukkan bahawa populariti calon UMNO (BN)  juga meleset.  Di Permatang Pasir dan Penanti prestasi calon-calon UMNO ini terjejas teruk. Perangkaan di atas jelas membuktikan bahawa selera pengundi Permatang Pauh, khususnya orang-orang Melayu beralih dari UMNO kepada pembangkang.  

Sejak pemecatan DSAI, Mahathir dan UMNO tahu akan dilema yang dihadapi oleh UMNO Permatang Pauh. Lawatan Mahathir ke Permatang Pauh tidak memberi apa-apa kesan kepada pemulihan UMNO Permatang Pauh sebaliknya  orang-orang Melayu di situ bertambah bencikan UMNO. Namun demikian Mahathir  masih yakin bahawa pengaruh DSAI tidak akan mengugat prestasi UMNO di situ.  

Mahathir fikir dengan meletakkan Dr. Ibrahim Saad, rakan karib DSAI boleh mengembalikan kepercayaan orang-orang Permatang Pauh kepada UMNO.  Tetapi apakah tindakan Mahathir itu ikhlas atau semata-mata untuk mengorbankan karier politik Dr.Ibrahim Saad, kerana Mahathir tahu bahawa peluang UMNO menang di sini sangat tipis 

Mahathir  boleh letak calon-calon  lain di Permatang Pauh seperti  Mohd. Sharif Omar atau Ahmad Saad atau Zulkifli Bakar atau Daud Taha, kerana mereka ini lebih rapat dengan orang-orang Permatang Pauh berbanding dengan Dr. Ibrahim Saad yang sibuk dengan tugas di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Menteri Jabatan tersebut.  

Mahathir tahu bahawa  Dr.I brahim Saad tidak mempunyai pengaruh di kalangan UMNO Pulau Pinang  setelah prestasi Dr. Ibrahim Saad sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang begitu buruk akibat salahguna kuasa dan amalan rasuah. Bagi Mahathir, Dr. Ibrahim Saad bukanlah satu aset kepada UMNO dan perlu dihapus-kirakan walau dengan apa cara sekalipun.  

Dengan meletakkan Dr. Ibrahim Saad di Permatang Pauh, satu kawasan yang Mahathir sememangnya tahu UMNO pasti kalah, hasrat untuk mematikan karier politik Dr.Ibrahim Saad tercapai.  

Mahathir korbankan DSAI kerana DSAI membela dan mempertahankan hak dan keadilan rakyat jelata.  Dr. Ibrahim Saad dikorbankan demi mempertahankan politik  kotor  Mahathir.  

ALI ALLAH DITTA. 5 Disember, 1999.